Friday, 9 November 2018

TEGURAN PERSAUDARAAN TUN DAIM TERHADAP TUN MAHATHIR.

Bila sahaja Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan,Tun Daim Zainuddin  membuat  teguran terbuka  supaya  kerajaan berhenti  mengungkit  kesilapan kerajaan lalu dengan  sekaligus rakyat  memikirkan bahawa teguran itu ditunjukkan kepada Tun Mahathir.

Teguran ini   tepat pada masanya dan dilihat  sebagai teguran  ikhlas dan berani seorang  sahabat kepada sahabat  kerana jika berterusan, kerajaan akan terdedah sebagai  lebih mengutamakan permainan politik dari mengutamakan kerja-kerja untuk rakyat  yang banyak dijanjkan  dalam pilihanraya lalu.

Adalah wajar bagi pemimpin  pembangkang atau UMNO untuk bermain politik kerana mereka dalam keadaan sasau hilang kuasa   tetapi PH tidak seharusnya terperangkap menari mengikut rentak gendang mereka kerana kerajaan boleh membuktikan kesilapan mereka menerusi  proses keadilan sekarang.

Tindakan ini sedang diambil oleh kerajaan bagi memenuhi  harapan paling besar dan paling utama  rakyat dan direstui oleh rakyat bagi melihat sebuah kerajaan yang bersih cekap dan amanah.

Kesedaran ini ada pada  Tun Dr.Mahathir  sendiri yang dalam jawapannya kepada teguran Tun Daim  berkata  " Let the law take care of that and not us".Tetapi beliau mungkin tidak sedar telah terlanjur.

Rakyat yang menyokong PH sedar bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib bertungkus lumus untuk  membasuh dosanya di luar mahkamah tetapi kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana kerajaan ada hakim dan mahkamah yang diserahkan kuasanya oleh rakyat kepada PH apabila mereka mencampakkan keluar  Najib dari kerajaan kleptocracy yang dikuasainya.

Kalau kerajaan juga mahu  menegakkan kebenarannya menerusi politik maka kerajaan   akan terlihat sebagai menyalahgunakan kuasa dan tidak yakin kepada kuasa yang telah diberikan oleh rakyat.

Langkah segera kerajaan untuk mendedahkan, menangkap dan membicarakan perasuah dan perompak negara tidak sahaja dari kalangan politik tetapi juga pegawai-pegawai tinggi kerajaan selepas sahaja berkuasa dilihat oleh rakyat sebagai telah memenuhi harapan utama mereka dalam menunaikan janji utama manifesto PH yang mendorongkan mereka  memberikan undi kepada PH.

Rakyat yang rasional dan waras  dapat befikir bahawa kerajaan tidak mungkin akan dapat menunaikan semua janjinya dalam masa enam  bulan tetapi mereka diyakinkan oleh keupayaan kerajaan   mengemukakan belanjawan pertama 2019  yang boleh diharapkan  untuk membetulkan kesilapan lalu terutama dalam penjimatan wang negara dari pengurangan rasuah dan penilaian semula projek-projek mega.

Sekarang rakyat telah mengenali syarikat-syarikat besar yang berpengaruh yang menipu kerajaan dengan harga yang dilipat gandakan dan membohongi kerajaan dengan menggunakan alasan ribuan pekerja mereka akan hilang kerja.

Tindakan-tindakan yang lebih tegas tanpa tolak ansur ke atas pihak  birokrasi kerajaan yang selama ini  dikenali  sebagai ladang rasuah terutamanya Polis Diraja Malaysia,Jabatan Imigrasi dan Jabatan Pengangkutan akan merawat perasaan rakyat yang terpendam  sekian lama.

Pembaruan cara kerja wakil- wakil rakyat dalam mendekati rakyat tanpa kemegahan gelaran datuk dan sebagainya, baju korporat  dan baju batik tetapi lebih dalam sikap dan pakaian  rakyat biasa tanpa majlis dan sambutan rasmi dan mengenali masalah harian mereka akan mengalahkan perasaan kekecewaan rakyat dalam menunggu faedah dari projek-projek mega kerajaan yang menelan belanja berjuta atau berbilion ringgit.

Kerajaan tidak seharusnya menganggap rakyat yang telah berkorban masa dan tenaga dengan sukarela malah ada yang sanggup mengumpul wang untuk pulang  dari luar negara bagi mengundi untuk jatuhkan  kerajaan rasuah Najib Rosmah, akan mudah terpengaruh dengan drama Bugis yang tidak pernah kelihatan jati diri rakyat biasa.

Nota:
Maaf atas kesilapan ejaan dalam posting terdahulu.

Thursday, 25 October 2018

UTUSAN MELAYU MERANDUK API TAK PASTI HIDUP ATAU MATI


PRESIDEN Universiti Islam Malaysia(UIM) Tan Sri  Mohd Nur Yusuf sedang menerima beberapa buah  buku  sebagai simbolik penyerahan lebih 500 buah koleksi Zam (Zainudin Maidin) kepada UIM. Di kanan sekali Ketua Perpustakaan UIM Encik Azman   

Krisis kewangan dan keyakinan yang  sekarang menggugat Utusan Melayu (Utusan Malaysia)  akhbar Melayu tertua  di Malaysia  adalah sama dengan krisis yang dihadapi oleh akhbar ini dalam tahun 1961.

Punca utamanya adalah kerana ia  tidak dapat menghayati perasaaan semasa  rakyat dalam perubahan politik dan sosial   dan para wartawannya terus berada  dalam  sentimen politik berasaskan ideologi wang yang mereka percayai  akan menjamin survivalnya.

Pendukong-pendukong  Utusan Melayu dari sejak awal termasuk pengasasnya Yusuf Ishak digerakkan oleh  nasionaliosme Melayu  anti DKA (Darah Keturunan Arab) dan DKK ( Darah Keturunan Keling)  yang   mendahului nasionalisme  anti penjajah yang bangkit dalam masa  pemerintahan Jepun dan  penjajahan British selepas perang pada awal tahun 40an .

Presiden pertama  UMNO, Datok Onn Jaafar berterima kasih secara terbuka kepada Utusan Melayu kerana seruan Utusan Melayulah  yang membawa kepada perhimpunan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang mendorongkan kepada penubuhan UMNO untuk menentang  gagasan Malayan Union British  bagi mengekalkan penguasaannya.

Zam mengautograpkan buku karyanya Di Depan pi di Belakang Duri kepada seorang pembelinya di Majlis Penyerahan buku-buku koleksinya kepada UIM
Bagaimanapun hubungan  Utusan Melayu dengan UMNO tidak kekal kerana pendukong-pendukong  Utusan Melayu bersama dengan nasionanalis Melayu kiri dan gulongan sosialis dan  komunis  menentang Perlembagaan Persekutuan cadangan  British  sebaliknya Utusan bersama dengan  PKM (Parti Kebangsaan Melayu) dalam   AMCJA( All Malayan Council of Joint Action )   mahukan Perlembagaan Rakyat yang lebih adil dan saksama  dan tidak memberikan kuasa dominan kepada Raja-Raja Melayu

Utusan Melayu bersemangat republik berada dihadapan  dalam memperjuangkan gagasan Melayu Raya untuk penyatuan  Indonesia dan Malaya,menentang Imperialisme Barat, menolak pasaran bebas,menentang  kapitalisme dan bersikap pro blog Timur yang didalangkan oleh Russia dan China.

Perjuangan ini berterusan  walaupun setelah berpindah ke Malaya pada tahun 1957 yang berada di bawah pemerintahan Perikatan dengan tulang belakangnya UMNO yang dasarnya anti komunis, pro Barat dan percaya keselamatan dan kekuatan  masa depan  ekonomi negara bergantung  kepada perlindungan Barat.

 Yusuf Ishak sebagai Pengarah Urusan Utusan Melayu walaupun seorang  sosialis tetapi mementingkan  perniagaan dan survival  Utusan Melayu, berada dalam dilema. Beliau tidak dapat  mengawal wartawan-wartawannya yang berhaluan kiri  dan dalam masa yang sama menghadapi tekanan  dari Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman yang tidak senang dengan dasar Utusan.

Kekuatan Tunku adalah orang Melayu dan rakyat yang menyokongnya yang juga menolak Utusan yang  memberi kesan kepada penjualannya.

Kekecewaan terhadap kegagalan Yusuf Ishak,akhirnya memaksa Tunku  mengarah UMNO mengambil alih Utusan Melayu dengan membeli sebahagian besar dari saham Utusan yang dipegang oleh seorang rakyat Singapura dan sebahagian lagi masih di pegang oleh Yusuf Ishak.

Yusuf terpaksa menyerah kalah dan seluruh para pekerja Utusan Melayu dengan diketuai oleh wartawan-wartawannnya telah membantah pengambilan alih ini dengan melancarkan  mogok seluruh pekerja Utusan Melayu pada tahun 1961 atas alasan mempertahankan kebebasan akhbar.

Saya berada dalam dua era Utuan Melayu  iaitu sebelum mogok dan sesudah mogok yang dapat merasa dan menyaksikan peralihan kuasa dan perubahan dasarnya secara dramatik.

Dakwaan bahawa mogok  Utusan   untuk mempertahankan kebebasan akhbar  adalah tidak benar sama sekali. Ia lebih kepada mempertahankan kebebasan  memperjuangkan  Melayu Raya yang dihayati, didalang dan  dibiayai oleh Indonesia. Jika gagasan  ini diterima rakyat maka Malaya sekarang berada dalam kemiskinan sebagai tanah jajahan Indonesia. Kerana kegagalan dasar ini  maka Indonesia melancarkan konfrantasi terhadap penubuhan Malaysia yang gagal dan melumpuhkan cita-cita empayar Soekarno.

Kerajaan terpaksa bertindak  tegas mematahkan mogok  Utusan Melayu yang diketuai oleh pengarangnya  Said Zahari rakyat Singapura yang ditahan oleh Lee Kuan Yew setelah kembali ke Indonesia  selepas mogok kerana kegiatannya dalam Parti Rakyat  Singapura  menyokong Indonesia.

Sebelum mogok edaran  akhbar Utusan Melayu telah merosot  dari lebih  40,000  kepada hanya kira-kira  20,000  kerana rakyat tidak senang dengan dasarnya anti kerajaan. Keadaan kewangannnya semakin genting sehingga tidak dapat membayar gaji pegawai dan kakitangan mengikut jadual.Pembayaran gaji tertangguh dan lewat seperti yang berlaku dalam Utusan Melayu sekarang.

Bagaimanapun selepas mogok dan penyusunan semula  jabatan pengarangnya yang menyesuaikan diri dengan  dasar   UMNO dan  kerajaan, pengedaran Utusan telah melonjak dengan pantas kepada lebih 50,000 sehari dan seterusnya  mencapai kemajuan pesat dengan  mempelbagaikan penerbitan dan perniagaannnya.

Krisis kewangan Utusan Melayu sekarang adalah dalam keadaan yang  sama dengan sikap Wartawan-wartawan  kiri Utusan Melayu  sebelum mogok yang tidak prihatin terhadap perubahan  perasaan rakyat di akar umbi. Bezanya ialah yang pertama semata-mata kerana ideologi  dan yang kedua  berada dalam keimanan  cash is king akan menjamin  mereka ke syurga.

Walaupun Utusan diketahui sebagai sebuah akhbar pro UMNO dan pro kerajaan sejak sebelum era Datuk seri Najib setelah diambilalih oleh UMNO  tetapi tidaklah sampai kepada memulaukan terus suara parti pembangkang sehingga sampai keperingkat para pembaca membuat kesimpulan telah  mengetahui isinya tanpa membacanya. Utusan tidak meanggap akhbar  tak laku sebagai tanda orang menolak Najib dan UMNO.

Apabila Kerajaan UMNO jatuh dan berganti dengan kerajaan Pakatan Harapan,  Utusan terus tidak mengambil kesempatan untuk memulihkan jualannya dengan membetulkan imejnya kecuali sehari dua tetapi kemudian kembali kepada kepercayaan cash is king dan Najib Raja Wang  akan kembali berkuasa dengan segera.

Ini berbanding dengan akhbar-akhbar  lain yang segera membuat perubahan dengan mementingkan cita rasa rakyat dan perniagaan  dengan mengutamakan pofesionalisme journalisme dalam suasana kebebasan  Malaysia Baru.

Utusan terus berada dalam mimpi walaupun dihadapannya adalah api.Masa depannya tidak pasti,akan  tebakar atau suaranya akan terus sepi.Para wartawannya tidak pasti apakah Pengarah Urusannya yang baru Datuk Aziz Sheikh Fadhil  mewakili Presiden Parti atau mewakili UMNO atau mewakili kepentingan dirinya sendiri.

 Dalam membicarakan buku saya tentang sejarah 70 tahun Utusan Melayu Di Depan Api di Belakang Duri di majlis penyerahan buku-buku koleksi  saya   kepada Universiti Islam Malaysia di Cyeberjaya baru-baru ini, saya  sendiri tidak faham mengapa saya tiba-tiba sebak ketika membaca sajak Usman Awang Didepan Api di Belakang Duri ketika mengakhiri pembicaraan buku yang megambil tajuk dari sajaknya  bila tiba di perenggan :

Kawan-kawan ku yang dikasihi
Di belakang duri di depan api
Kita tidak bisa berundur lagi
Tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
Di mana air mata tidak akan menitik tumpah
Sebab kebulatan ikrar tak akan berubah
Apa sahaja kita tidak menyerah.


Buku-buku karya Zam turut dipamerkan 




Wednesday, 17 October 2018

BEKAS KETUA PEMUDA UMNO RASA MUKANYA TERTAMPAR BILA DAP TAK MAHU DATUK


    1. Bekas Ketua Pemuda Umno Mohd Razlan anggap DAP tak iktiraf Sistem Raja Berperlembagaan bila tolak anugerah Diraja bagi wakil rakyatnya yg belum berjasa.Barangkali Razlan rasa mukanya tertampar.Penolakan DAP itu kerana ia memberikan nilai yg mulia dan tinggi kp kurniaan Diraja, DAP tak mahu wakil rakyatnya menggunakan gelaran Datuk untuk rasuah atau untuk dapat projek atau lebih buruk lagi bagi mencuri wang negara untuk diri sendiri dan isteri.(lihat berita di bawah sekali)
    2. Keputusan DAP tak membenarkan wakil rakyatnya terima sebarang anugerah adalah suatu keputusan terpuji.Dg itu rakyat dapat menilai bukan semua wakil rakyat yg bergelar Datuk telah berjasa. Istilah YB juga patut ditukar kp Yg Berkhidmat dan bukan Yg Berhormat
    3. Syabas Lim Guan Eng kerana suarakan perasaan sinis rakyat yg tak senang dg wakil rakyat yg sanggup terima kurniaan dari raja2 dan governors sebelum buktikan jasa mereka.Jika tak ditegur ramai lagi yg akan seronok dg gelaran Datuk tanpa YB(Yg Berkhidmat)

DAP iktiraf sistem parlimen tanpa raja-raja, dakwa Razlan(Dari malaysiakini)

Diterbitkan   |  Dikemaskini 
Bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii mendakwa teguran DAP kepada pemimpinnya yang menerima darjah kebesaran sebagai bukti parti itu tidak mengiktiraf sistem raja berpembagaan.
Malah Razlan berkata perlembagaan DAP sendiri tidak langsung menyatakan sokongan terhadap sistem raja berpelembagaan.
"Jelas DAP adalah sebuah parti yang mengiktiraf sistem pentadbiran berpalimen tanpa raja-raja.
"Itu sebab sekian lama pemimpin DAP dilarang memegang gelaran yang dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu kepada mereka," dakwa Razlan dalam kenyataan hari ini.

Saturday, 6 October 2018

PENDEKATAN MENTERI AGAMA MUJAHID AKAN CABUT PAS DARI TERUS JADI DURI NEGARA

PENJELASAN
Saya tidak bersetuju dengan tangkapan khalwat bukan secara total. Tapi bergantung selagi tidak melanggar tatasusila masyarakat setempat seumpamanya berkhalwat dalam masyarakat kampung(lihat para 2). Tetapi tidaklah wajar tangkapan dilakukan terhadap pasangan di taman awam dan demikian juga tindakan mesti diambil terhadap seseorang yang mabuk mengganggu ketenteraman umum. -Zam-



Sesiapa yang membaca interviu The Star hari ini  dengan Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr.Mujahid Yusof Rawa akan  nampak jelas visi Dasar Pengislaman(Islamization) dan pembangunan Islam yang akan menjadi pendekatan kerajaan Pakatan Harapan dengan penekanan  kepada  hak perseorangan dalam  kepercayaan agama yang tidak memerlukan sepenuhnya penguasaan undang-undang atau moral  policing.

Dibawah polisi ini penangkapan khalwat yang tidak menganggu ketenteraman nilai awam  sehingga terpaksa mengetuk pintu hotel mungkin tidak lagi akan diperlukan seperti juga orang Islam yang minum arak di rumah sendiri  dan pemisahan lelaki perempuan  di lorong bayaran dipusat-pusat  membeli belah.

Ini bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah pun termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak merdeka tentang  keterbatasan , kebebasan dan ketertiban.Umpamanya dalam etika pakaian ditempat awam  polis sendiri memahaminya.Tidak salah  seorang lelaki berseluar pendek atas paras lutut  dan juga wanita  tidak menutup aurat ikut Islam diiklan,dikaca TV atau ditempat awam.

(Larangan terhadap lelaki berseluar pendek atas paras lutut pernah  berlaku semasa Terengganu dikuasai oleh Pas bagi pertama kali)

Menghayati interviu Dr.Mujahid itu maka pada  pandangan saya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah membuat pilihan tepat dalam meletakkan Dr.Mujahid  kejawatan menteri agama  kerana beliau adalah memahami dan mempunyai visi untuk mengekalkan cara pendekatan  dalam semangat perlembagaan negara yang dijuarai oleh Kerajaan Perikatan Pimpinan Tunku Abdul Rahman sehingga kepada Tun Mahathir.

Bagaimanapun dasar telah dicemarkan  oleh Regim Najib yang mahu menggunakan agama untuk tujuan politik termasuk untuk bekerjasama  dengan PAS dalam  melaksanakan  hukum hudud yang turut menjadi bantahah bukan Islam dan menyebabkan UMNO dipandang serong oleh bukan Islam.

Dengan pendedahan dirinya sebagai seorang Islamis yang berjiwa besar yang percaya kepada keimanan dan ketahanan  diri sendiri dalam masyarakat yang terbuka dan terdedah kepada berbagai anasir yag unIslamic maka saya percaya Dr.Mujahid akan dapat membina masyarakat Islam yang dinamik dan progresif  yang percaya kepada  ketahanan  diri sebagai seorang Islam yang beriman.

Dengan itu juga Mujahid mendedahkan dirinya bahawa  telah sekian lama beliau  menjadi duri dalam daging kepada PAS dan sekarang mahu menjalankan tugasnya untuk mencabut PAS dari terus menjadi duri dalam jasad negara yang akan menjadi kanser dalam keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Orang Islam boleh hidup di dunia Barat yang penuh dengan nilai-nilai kekafiran  malah generasi Islam  sebelum Malaya merdeka belajar di sekolah-sekolah Kristian tetapi mereka tetap beriman kepada Islam dan tidak  menjadi kafir.

Pendekatan-pendekatan Islam yang bengis dan menakutkan menampakkan ketipisan keimanan mereka.

Terkini pendekatan Islam yang menyebabkan Islam dipandang rendah oleh bukan Islam ialah  menyebat wanita lesbian untuk tontonan  umum termasuk kaum lelaki kerana melakukan kesilapan pertama kali dan menghukum wanita Islam yang miskin yang melacurkan diri di Terengganu.Mereka juga tidak membantah  perkahwinan di bawah umur dan membiarkan sekolah-sekolah tahfiz berkembang tanpa kawalan.

Semua ini adalah menampakkan pendekatan Islam yang tiada simpati,tidak prihatian dan tanpa kemesraan dan kemanusian.

Walaupun sebagai Menteri Agama Dr.Mujahid berhasrat  menyamakan langkah pendekatan Islam yang mesra di seluruh negara tetapi tidak semuanya dalam bidang kuasannya.Bagaimanapun beliau   telah menampakkan keazaman yang kuat  untuk melaksanakannya bila beliau berkata hal itu  tidak seharusnya menjadi halangan kerana  beliau juga mempunyai kuasa untuk menjalankan dasar yang terletak di bawah bidang kuasa   kerajaan persekutuan.

Dengan JAKIM  berada di bawah beliau maka saya percaya ia akan dapat membantu Dr. Mujahid unuk menyelaras dan melaksanakan polisi yang sama antara  negeri walaupun  tidak mudah dan menghadapi penentangan dalaman.

Kata Dr. Mujahid "awak boleh membuat interpretasi sendiri tetapi awak juga mesti menghormati dasar yang akan dijalankan oleh kerajaan sekarang".


PETIKAN SEBAHAGIAN TERJEMAHAN MALAYSIAKINI DARI THE STAR

LANGKAH MENTERI AGAMA UNTUK BATASKAN  TANGKAPAN KHALWAT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof berkata pihaknya percaya apa yang dilakukan oleh orang Islam di tempat tertutup bukan urusan kerajaan.
"Katakanlah anda melakukan sesuatu maksiat secara peribadi, dalam ruangan peribadi, saya takkan masuk campur.
"Sebagai contoh mengambil arak salah untuk orang Islam tetapi kalau seseorang itu meminumnya dalam tempat peribadi maka di pihak kerajaan saya takkan campur tangan," katanya dalam temu bual yang disiarkan The Star hari ini.
Menurut beliau apa yang menjadi kebimbangan kerajaan ialah sesuatu tindakan atau kesalahan yang dilakukan di khalayak ramai sehingga mengganggu sensitiviti atau menyentuh isu perundangan atau jenayah.
Katanya jika keadaan itu berlaku barulah kerajaan akan masuk campur.
Katanya pihak berkuasa Islam bukanlah mahu menjadi polis moral tetapi kerana ingin memastikan ruang awam sentiasa terpelihara.
Berfikiran konservatif
Keadaan sama, kata Mujahid, berlaku pada kes-kes yang melibatkan insiden disyaki khalwat.
Menurut anggota parlimen Parit Buntar itu beliau berharap kejadian seperti memecahkan pintu premis bagi menangkap suspek khalwat tidak lagi berlaku pada masa depan.
"Isu penguatkuasaan ke atas kesalahan khalwat disalahgunakan dan dalam sesetengah kes, dieksploitasi.
"Penting untuk mereka (pegawai penguat kuasa) tidak campur tangan dalam ruang individu," katanya.
Mengakui tindakan membuat serbuan sebegitu terletak dalam bidang kuasa jabatan agama Islam negeri, Mujahid menjelaskan, beliau sedang berhubung dengan agensi terbabit untuk meyakinkan mereka supaya mengambil pendirian sama dengan Putrajaya.
Dalam temu bual itu Mujahid juga mengakui beliau berdepan tugas berat untuk mengubah imej kementerian yang diketuainya sekarang.
The Star kemudian memetik kenyataan Mujahid yang berhasrat mengubah pemikiran kakitangan kerajaan yang "berfikiran konservatif" dengan berhasrat mempertahankan Islam mengikut kefahaman mereka saja.
Pada masa sama katanya beliau perlu bertegas dengan prinsip Islam sebagai rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam).
"Naratif kami mengenai Islam akan diterjemah ke dalam dasar-dasar kerajaan, semua kegiatan perundangan Islam dan hubungan dengan agama lain.
"Kecintaan kepada Islam tidak mengancam kepentingan orang ramai atau perpaduan dan keharmonian negara," katanya.




Tuesday, 2 October 2018

MAHATHIR TOLAK MANIFESTO KAMI TETAPI PAKAI MANIFESTONYA SENDIRI BAGI PILIHANRAYA 1999

BENAR MAHATHIR TUAN KEPADA KERJANYA SENDIRI


Ini adalah  draft Manifesto 1999 yang ditulis tangan oleh Mahathir sendiri yang masih dalam simpanan saya.

Para  wartawan yang sering mengikutinya  terutama keluar negara  lebih mengetahui  samada  Tun Dr. Mahathir  seorang manusia luar biasa ,sangat pintar,lucu dan selesa bagi semua orang.

Saya tidak bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq untuk meanggapnya sebagai perfectionist kerana perlantikan Syed Saddiq yang terlalu muda sebagai Menteri penuh boleh  dianggap sebagai kesilapannya yang sepatutya didahulukan sebagai Timbalan Menteri.

 Bagaimanapun  kenyataan Syed Saddiq  mengenai perwatakan  Tun adalah tepat semuannya yang  menyanggah anggapan salah  Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail (TMJ)yang memperbudakkannya kerana kenyataan itu.

Saya  anggap Syed Saddiq  pintar dan tajam pandangannya kerana dalam masa yang singkat berada dengan Mahathir telah dapat membaca dengan tepat perwatakannya dan kenyataannya  menampakkan kematangannya lebih dari menteri-menteri yang telah berkhidmat bertahun-tahun.Demikian juga dalam beberapa kenyataannya yang lain.Mungkin kerana itu juga Mahathir percaya untuk melantiknya terus  menjadi menteri penuh.

Saya memberikan suatu contoh ketepatan Syed Saddiq dalam mensifatkan Mahathir   "Tuan Kepada Kerjanya Sendiri" yang menjadi pengalaman saya  bersama beberapa orang lagi yang tidak mungkin akan dapat dilupakan buat selamanya yang berlaku dalam pilihanraya 1999.

Saya mencatitkan pengalaman masam dan manis ini  dalam buku saya Memoir Wartawan Negara( Saya Bukan Menteri)  yang diterbitkan oleh UUM (Universiti Utara Malaysia).Inilah catitan saya dalam Bab 11:

Atas pemintaan Mahathir Jawatankuasa Manifesto 1999 telah dibentuk dengan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO Abdullah Badawi yang dianggotai oleh antara lain Setiausaha Agung UNNO,Mohamed Rahmat, Allahyarham Dr.Nordin Sopiee daripada Institusi  Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS)  ,Abdul Kadir Jasin dari NST dan saya sendiri dari Utusan Melayu.

Apabila dikemukakan drafnya kepada Presiden UMNO Dr.Mahathir untuk pengesahannya beberapa hari sebelum pilihanraya,manifesto itu tidak keluar dari biliknya,tidak dikembalikan kepada kami yang menunggu di luar biliknya lebih dari tiga jam.

Apabila dikembalikan bukanlah manifesto kami tetapi manifesto tulisan tangan 10 muka daripada Dr.Mahathir sendiri yang langsung tidak berasaskan kepada draf kami.Ertinya manifesto kami yang kami  hasilkan menerusi proses perbincangan yang panjang yang memakan masa lebih dari sebulan telah ditolak.

" Biasalah" kata Dr.Nordin Sopiee yang berpengalaman menyediakan beberapa ucapan untuk Dr.Mahathir terutama yang melibatkan pentas antarabangsa tetapi tidak dipakai oleh Mahathir..

Ini adalah muka dua tulisan tangan manifesto Dr.Mahathir untuk Pilihanraya 1999.10muka semuanya.







Saturday, 29 September 2018

PENYELEWENGAN BERNAMA DARI KEBEBASAN DAN PEMISAHAN MARA DARI TRADISI



Wartawan-wartawan veteran mengadakan pertemuan setiakawan di Bernama baru-baru ini. Diantara yang turut hadir ialah penasihat media kepada PM, A.Kadir Jasin, bekas pengerusi Media Prima, Johan Jaafar, Ahmad Talib, bekas ketua pengarang NST dan Rijal Arbee, bekas pengarang Berita Harian dan wartawan Bernama

TANGGUNGJAWAB DATUK KADIR JASIN

Menggantikan orang politik dengan seorang profesional sebagai pengerusi MARA adalah memecahkan tradisi monopoli jawatan ini oleh  orang politik yang sewajarnya dilakukan kerana  telah terbukti MARA  dipolitikkan dan  digunakan oleh orang politik untuk  kepentingan diri sebagai payung politik bagi  mempopularkan diri dengan menyelewengkan peruntukannya dengan berbagai cara.


Ini merupakan dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan baru berasaskan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir di New York bahawa adalah  sesuatu yag positif melantik orang-orang profesional menjalankan institusi atau syarikat perniagaan  yang dulunya diuruskan oleh orang politik dri Barisan Nasional.


Kesanggupan kerajaan Pakatan Harapan untuk melepaskan naungan politik keatas institusinya  dengan melantik seorang profesional adalah satu langkah berani untuk membebaskan  MARA dari menjadi kronisme politik  sebagai strategi mengekalkan pengaruh parti keatas rakyat khususnya Melayu untuk menang pilihanraya atau mengekalkan kuasa.

Lebih mengejutkan apabila yang dilantik  adalah seorang wanita Dr.Hasnita Datuk Hashim yang  berkelayakan PHD dalam  Nuclear Physics Oxford University yang dibantu oleh beberapa orang lagi anggota pengarah Melayu yang juga tidak bersih dari politik.

Apakah perlantikan mereka ini akan menjamin MARA benar- benar berjalan sebagai badan profesional  yang cekap dan adil bagi  mempercepatkan pembangunan ekonomi orang Melayu  dalam semua bidang yang mereka masih ketinggalan.?

 Saya agak pesimistik  perlantikan orang profesional akan menjamin kecekapan ,keadilan dan  kejujuran  perjalanannya berasaskan kepada apa yang telah berlaku kepada perlantikan profesional  Melayu untuk menjalankan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan( GLC)

Mereka lebih cekap  menggunakan profesionalisme mereka dari orang politik untuk menyelewengkan wang  secara besar-besaran  ke poket mereka yang terlihat sebagai gaji.Rakyat tidak memantau mereka seperti mereka memantau orang-orang politik.Kecuali setelah gaji mereka didedahkan maka barulah rakyat terkejut.

Kita hanya berharap pemimpin MARA yang baru ini akan lebih  prihatin terhadap harapan baru rakyat yang telah memilih sebuah kerajaan baru dengan harapan menjadi kerajaan yang lebih baik dari kerajaan yang mereka jatuhkan.

Selain dari MARA,yang juga manarik perhatian rakyat  ialah percubaan menyelewengkan dan merosakan  kredibliti, reliabiliti, autoriti dan integriti  Bernama  sebagai  sebuah agensi berita yang telah  dihormati sejak penubuhannya pada tahun 1968 kerana kebebasannya dari penguasaan  politik atau menjalankan peranan politik yang bias  sekalipun dalam keadaan yang amat tertekan.

Ini bukan sahaja kerana kebebasan jabatan pengarangnya tetapi juga kerana dari sejak pengurus besar yang pertama hingga kepada yang akan bersara Datuk Zulkefli Salleh  adalah terdiri dari orang -orang yang tidak terikat dengan kerajaan atau pun orang politik

Mereka terdiri dari bekas pegawai tinggi kerajaan. Yang pertama bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerangan  Syed Zainal,bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK Datuk Sofie, diikuti dengan   bekas pegawai-pegawai  koporat sehingga kepada Datuk Zulkefli Salleh  dan Azman Ujang bekas-bekas wartwan Bernama.

Pengumuman oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia  Govind Sing Deo  untuk melantik   bekas Ketua Pengarang Rocket lidah rasmi DAP  dan juga Timbalan Pengarah Research for Social Advancment  DAP (Think Tank DAP)Wan Hamidi Hamid  dengan sekali gus menjatuhkan integriti Bernama dan maruah Jabatan Pengarangnya. Tindakan ini  merupakan pencabulan terang-terangan terhadap sumber utama  media yang  berkredebiliti  tinggi di negara ini.

Bernama berjaya menguruskan dirinya untuk terus terlihat bebas sekalipun media-media lain menghadapi tekanan yang bagitu dasyat dalam masa pemerinthan PM Datuk Seri  Najib Abdul Razak.

Apabila DAP yang menjuarai kebebasan media mahu melantik  orangnya  ke dalam Bernama maka ini dilihat sebagai percubaan pertama DAP untuk meresapkan dasar-dasar  kawalan  media seperti Kerajaan  PAP Sigapura ke dalam kerajaan Pakatan Harapan yang jika tidak disekat akan merosakan imej kerajaan PH dan kepimpinan Tun Mahathir.

Penasihat Media dan komunikasi kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir,Datuk Kadir Jasin tidak boleh mendiamkan  diri dalam soal ini.Tugas negara yang besar telah memanggil saudara  yang jika tidak dijalankan  dengan berkesan akan menghilangkan keyakinan media kepada saudara sendiri.

Ini  merupakan pencubaan  terang-terangan dan berani oleh DAP untuk mengganggu gugat  hak dan kebebasan menerusi agensi berita yang dilanggani oleh semua akhbar dan media di negara ini.Ini adalah suatu penguasaan yang luas menerusi sebuah media berkanun kerajaan.

Kenyataan Datuk Kadir bahawa pengarang -pengarang tidak lagi perlu menunggu wahyu dari pejabat Perdana Menteri seperti di bawah kerajaan Najib akan semakin benar bila tiap  parti dalam Pakatan Harapan mempunyai orang-orangnya sendiri untuk memacukan kuda dari dalam.Hal ini telah pun berlaku dalam sebuah dua portal berita yang cuba menampakkan dirinya bebas tetapi telah dikuasai penguasaan parti kerajaan menerusi satu-satunya  agensi berita kerajaan adalah lebih merbahaya.

Datuk Kadir :Sampaikanlah pandangan ini kepada Govind dan jika gagal kepada Tun Mahathir sendiri.