Monday, 12 June 2017

S.M. SHAH TAK SEMPAT MELIHAT TERBITAN BUKU SALASILAH KELUARGANYA




Baru-baru ini buku salasilah keluarga Ali Shah Khan(ASK) yang merupakan Datuk kepada Allahyarham Tan Sri H.M.Shah seorang tokoh perniagaan terkemuka di negara ini telah dilancarkan di Shah's Village Hotel Petaling jaya dengan dihadiri ramai kaum keluarganya.

H.M Shah telah memainkan peranan penting mengusahakan buku ini sejak30 tahun lalu tetapi hanya dapat diterbitkan  setelah beliau meningggal dunia.

Cicit kepada Ali Shah Khan, Azharuddin M.Kassim  mengambil tanggungjawab sebagai pengarang yang  mengumpul dan menyusun bahan-bahan  dan menerbitkannya   dalam kualiti yang tinggi sebagai biografi bergambar setebal 400 muka  tetapi  cetakannya terbatas untuk  pengedaran kepada anggota  keluarga ASK sahaja.

Dalam keluarga ini Tan Sri H.M.Shah  merupakan tokoh  yang paling terkenal di Malaya dan Malaysia dan juga Singapura,tidak sahaja kerana kejayaannnya di bidang perniagaan tetapi juga keupayaan sosialnya sehingga kerpingkat  kepimpinan  kedua negara.negara  sejak dari awal tahun 40n.

Beliau tidak sahaja dikenali rapat oleh Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman tetapi juga Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew walaupun beliau tidak terlibat secara langsung dalam politik di kedua negara.

Umum mengetahui Tan Sri H .M Shah sebagai seorang ahli perniagaan yang pintar,licin,cekap,berani dan optimistik  tetapi tidak tahu peranannya dalam membantu kemajuan perniagaan dan pembangunan Utusan Melayu sejak awal penerbitannya di Singapura .

Penaja Utusan Melayu ,Yusuf Ishak yang  melihat potensi S.H.Shah sebagai tokoh perniagaan yang aktif  dalam bidang sosial  di Singapura  telah membawanya masuk ke Utusan untuk mencari iklan bagi akhbar Utusan di awal penubuhan Utusan Melayu dalam tahun 40an.

Beliau banyak membawa masuk iklan ke Utusan Melayu sebagai punca penambahan kewangan dan kemudianya setelah Utusan berpindah ke Malaya dari Singapura dalam tahun 1957 beliau telah membantu pengedaran Utusan di Utara tanah air  sebagai wakilnya.

Sesudah pemogokan pekerja Utusan Melayu pada tahun 1961,beliau telah menjadi Pengarah Urusan Utusan Melayu.Walaupun singkat khidmatnya  tetapi beliau dapat membina bangunan tambahan  bagi Utusan Melayu  di Jalan Chan Sowa Lin.

Sebelum itu beliau juga membantu Yusuf bagi mendapatkan beberapa keping tanah bagi Utusan Melyu di jalan yang sama dengan menggunakan hubungan baik  dengan Almarhum  Sultan Selangor datuk kepada Sultan sekarang.

Saya sendiri terhutang budi kepadanya kerana beliaulah yang melihat saya lebih berpotensi untuk bertugas di Kuala Lumpur dari terus kekal di Alor Setar sebagai pemberita .Walaupun beliau telah berhenti dari Utusan Melayu tetapi beliau tidak pernah lupa untuk menjemput saya ke majlis-majlis  yang diadakanya dan demikian juga menghadiri jemputan-jemputan dari Utusan Melayu.

Ali Shah Khan (atau ASK)  merupakan datuk kepada Almarhum Tan Sri H.M Shah dan moyang kepada pengarang buku Salasilah Keluarga Ali Shah Khan(ASK) . 

ASK yang lahir sekitar 1860an berasal dari Bareilly, Uttar Pradesh, British India, telah dibawa masuk oleh  British untuk kerja-kerja ukur tanah di Tanah Melayu pada penghujung abad ke 19. Beliau merupakan seorang juruukur tanah. 

Di Malaya, beliau mempunyai keluarga yang agak besar iaitu melalui 4 dari 5 perkahwinan. Isteri pertama berkeluarga di Pulau Pinang dan yang lainnya berkeluarga di Melaka. Sehingga kini sudah memiliki 7 keturunan dengan lebih 1000 ahli keluarga. Namun oleh kerana perbezaan lokasi dan peredaran masa , hubungan sesama ahli keluarga mulai rapuh atau jauh. Keluarga telah berkembang ke seluruh negara terutama sekitar bandar Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru dan Singapura. Ada juga yang berhijrah keluar negara.

Tan Sri H.M Shah adalah merupakan antara pemain utama di dalam usaha merapatkan semula hubungan antara ahli keluarga ASK. Pelbagai usaha telah beliau jalankan kearah penyatuan tersebut dengan impian terakhir beliau adalah untuk melihat satu dokumen salasilah dihasilkan dan boleh dijadikan sebagai rujukan. Usaha ini dijalankan sejak lebih 30 tahun dahulu namun atas beberapa kekangan , usaha ini  tidak berhasil sehingga pemergian beliau ke rahmatullah beberapa tahun dahulu.


Bagaimanapun usaha mengumpul  maklumat salasilah terus  dikemaskini melalui data  yang terkumpul sewaktu hayat Tan Sri H.M. Shah dan banyak maklumat baru hasil sembang di grup WhatsApp ASK. 

Akhirnya, kini impian Almarhum Tan Sri H.M. Shah telah tercapai dengan terhasilnya buku yang dinantikan oleh semua ahli keluarga. Pelancarannya telah berjaya di jalankan seperti dihasratkan iaitu sebelum Ramadhan dan Shawal  pada 14 Mei lalu di Shah's Village Hotel  . Ini  adalah untuk membolehkan ahli keluarga menjadikan buku tersebut  sebagai  rujukan menjalinkan atau menguatkan ikatan silaturrahim terutama sempena pertemuan  Shawal (Hari Raya) nanti. 

Kata Pengarangnya Azharuddin,  Buku Salasilah Keluarga ASK ini merupakan satu dokumen hidup di mana penambahbaikan diharapkan akan dapat  dilakukan  pada masa akan datang oleh generasi  seterusnya.
Balu  Allahyarham S.M.Shah, Puan Sri Sarina sedang menyampaikan buku Salasilah keluarga Ali Shah Khan kepada salah seorang rakan rapat S.M. Shah

Sebahagian dari anggota keluarga Ali Shah Khan yang menghadhiri upacara pelacaran buku Salasilah ASK
Nota: Terima Kasih kepada anggota keluarga Allahyarham S.M.Shah  yang menghadiahkan buku ini kepada saya. Mohon maaf  majlis pelancarannnya, saya tidak dapat ikut serta.

No comments:

Post a Comment