Tuesday, 26 December 2017

MENGENANG SASTERAWAN NEGARA SHAHNON AHMAD YANG MENINGGAL DUNIA HARI INI

Saya amat sedih mendapat berita kembalinya ke rahmatullah sahabat karib saya Shahnon Ahmad, sasterawan negara yang berjuang bersama saya sejak dari Alor Setar lebih 50tahun dulu. Saya sedih kerana mendapat berita ini semasa saya dalam perjalanan ke Pulau Pinang pada kira2 jam 8 pagi ini dan tidak dapat menziarahi jenazahnya. Semoga Allah merahmati rohnya dan mengampunkan dosanya. Al-Fatihah. -ZAM-

CATATANNYA MEMBUKA LAMBARAN  HIDUP SAYA


Apabila Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad mencatatkan  di buku autobioghrafinya " Kepada sahabat lama yang sibuk di Pasar Yaakob", yang diberikan,saya terpegun kerana dalam keuzurannya masih mengingati  suatu episod terpenting dalam permulaan kehidupan seorang kawan.

Catitan itu membuka lambaran sejarah hidup saya ketika memulakan karier kewartawanan di akhir tahun 50an  sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di usia  lebih 18 tahun kerana  di Pasar Yaakoblah   saya menyewa  sebuah bilik kecil dengan bayaran  lima dollar sebulan(RM5) untuk menjalankan tugas

Disinilah saya mula terdedah kepada kehidupan manusia yang berbagai dari remaja hingga ke tua, peniaga dan pengusaha Melayu kecil dan besar, pemimpin politik dan aktivis masyarakat dan rakan-rakan dari berbagai bidang pekerjaan terutama kaum guru.

Pejabat kecil saya yang sentiasa terbuka pintunya  menjadi  tempat  bertandang ramai orang yang mengenali saya  termasuk Shahnon Ahmad seorang guru  yang mulai menempah nama besar di alam sastera selain dari  mereka  yang bersemangat tinggi sebagai aktivis yang mahu menjadi pemimpin masa depan.

Syed Kechik bin Syed Mohamed yang baru pulang dari belajar secara mengembara  di Amerika Syarikat juga melepak di pejabat saya hampir setiap hari sebelum meninggalkan negara bagi kali kedua untuk belajar undang-undang di London kerana Ijazah Amerikanya tidak diiktiraf. Di sebalik kejayaannya dalam peranan politik dan ahli pernigaan,beliau mempunyai keperibadian bersih.

Syed Kechik  banyak  memberikan inspirasi kepada saya kerana kenikatannya untuk belajar dan menjadi orang yang tersohor sejak sebelum merdeka. Beliau menjadi sahabat setia saya hingga ke akhir hayatnya.

Oleh kerana kedudukan Pasar Yaakob berhadapan dengan jalan raya di Jalan Tunku Ibrahim  yang dihadapannya Pekan Rabu pusat perniagaan orang Melayu di Alor Setar, maka  Pasar Yaakob menjadi pusat  pertemuan ramai dengan di kedai buku, kedai gunting rambut, kedai kopi, kedai-kedai jahitan dan sebagainya.

Mereka terdiri darpada  pegawai-pegawai kerajaan kebanyakannya  guru-guru  yang melepak di sebuah kedai buku atau dikedai jahit dan kedai penggunting rambut.

Disinilah juga terletak  pejabat Azhari Taib Wakil Utusan Melayu Kedah Perlis sebelum saya mengambil tempatnya. Beliau juga adalah ADUN negeri Kedah.

Yang menceriakan kenangan hidup saya disini di hari tua  ialah pendedahan kepada kehidupan remaja yang penuh dengan hiburan, kenakalan, keliaran, kelucuan, dan kecerian.

Disinilah saya mengenali  kaki Hadyai, kaki minum, kaki hisap ganja, kaki judi, kaki ekor, kaki joget , rambong dan sebagainya. Saya bersyukur kerana dapat bergaul dengan mereka ini yang membantu membentuk pertimbangan dan  sikap rasional dalam menilai kehidupan manusia.

Di hari tua bila menemui kawan-kawan ini yang telah pun menjadi "orang baik", kami ketawa bersama kerana setiap wajah yang insaf dan taubat mempunyai cerita yang tersendiri tetapi Shahnon tidak mampu lagi untuk ketawa dalam keuzurannya.

Amatlah kuat dan tepat  ingatan  Shahnon di usia 84 tahun  bila mengatakan   "Pasar Yaakob tempat saya sibok", sesudah saya tidak menemuinya lebih dua puluh tahun. Masih cerah,kuat dan tajam ingatannya.

Di Pasar Yaakoblah  bermulanya hubungan saya yang rapat dengan Shahnon. Beliau pernah  menggunakan nama saya untuk  sebuah cerpennya yang disiarkan oleh Berita Minggu.

Saya boleh mendakwa  mengenali dan  mengetahui Shahnon lebih rapat dan lebih mendalam dari orang lain. Saya mengenali Shahnon  yang biasa dan yang luar biasa disebalik keterampilannya sebagai seorang Sasterawan Negara, sebagai anggota  Al Arqam dan sebagai orang Pas yang akhirnya kembali kepada darah dagingnya sebagai seorang sasterawan .

Beliau mendahului A.Samad Said dalam usaha untuk membetulkan dunia menerusi penulisan dan perjuangan  politik tetapi akhirnya kecewa untuk membetulkan dunia dengan katanya "Aku sudah tidak punya tangan dan kuasa lagi untuk mengubah masyarakat dari yang mungkar kepada yang ma'aruf,aku tahu aku tidak punya lidah atau suara lagi untuk menjerit seperti dulu untuk mengembalikan kemanusiaan ke kefitrahannya yang usul."

Shahnon berkata sekarang " Aku diatas ranjang menunggu saat untuk berpindah ke alam lain bagi menunggu saat kebangkitan semula yang dijanjikan olehNya disana bersama arwah-arwah yang terdahulu'(halaman 182 Perjalananku Sejauh ini- Sebuah autobiografi-Shahnon Ahmad).

Buku ini dihadiahkan  kepada saya ketika saya mengunjunginya bersama dengan Tan Sri Johan Jaafar dan seorang rakan bekas pegawai Utusan Rosle Azmi di rumah anaknya di Bangi baru baru ini. Saya mencari alamatnya di Pulau Pinang tetapi Johan menemuinya sudah berpindah tinggal bersama anak lelakinya Asrol  di Bangi.

Generasi sekarang  tentu masih mengingati  novelnya Ranjau Sepanjang Jalan yang juga telah difilemkan dan  tidak lupa Shahnon  menggemparkan pilihanraya 1999 dengan novelnya  Shit @PukiMak.

Shahnon yang saya temui ini bukanlah Shahnon yang dulu lagi sebaliknya Shahnon yang telah melalui dua proses indoktrinasi  politik dan  keugamaan  yang banyak mengubah fahaman dan  cara berfikirnya  yang membawa keinsafan kepadanya sebagai pernah berada dalam kesesatan sedangkan saya tetap berada di pihak yang tidak pernah melihat kebenaran dalam kedua pertubuhan ini.

Shahnon juga tidak menemui kebenaran tetapi melihat kejatian diri manusia dengan segala kelemahannya disebalik gambaran kehebatan imej mereka. Inilah kebenaran yang menginsafkannya.

Menurut isterinya Kak Wan Fatimah dalam keuzuranya pun  sekarang, Shahnon masih mencatitkan sesuatu di atas kertas  ketika di sorong di kerusi rodanya.

Beliau tidak boleh duduk  lama di atas  kerusi rodanya tanpa ditolak oleh isteri atau anaknya. Buku Perjalananku Sejauh Ini  adalah sebahagian dari hasil tulisannya  di atas kerusi roda.

Shahnon diserang penyakit saraf yang dikenali sebagai Myasthenia Gravis (MG)ketika masih menjadi wakil rakyat setelah menang dalam pilihanraya 1999. Penyakit ini membuatnya suka bersendirian dan lebih mendekati dirinya dengan Allah.

Dalam sakitnya yang panjang, keluar dan masuk hospital, beliau juga menemui bomoh  tetapi akhirnya kembali kepada pakar perubatan yang menyembuhkannya.

Bezanya antara Shahnon dengan saya ialah beliau mengenali haiwan, iblis dan syaitan dalam kalangan manusia  setelah menyertai politik tetapi sebagai wartawan saya  telah berpeluang lebih dahulu mengenali haiwan dan syaitan dalam politik sebelum menyertai politik.

Kewartawanan mendedahkan saya lebih awal  di sebalik keterampilan seseorang yang gagah dan dianggap bersih. Maka itu saya menjadi sinis disebalik pengagungan manusia kepada seseorang pemimpin termasuk pemimpin agama.

Bagi Shahnon semasa dalam harakah PASlah beliau banyak menangis dari ketawa, banyak berdukalara dari senyum gembira kerana langsung bersimpati dan kasihan belas terhadap insan-insan yang merupakan para pemimpin politik yang terlibat dalam berbagai kemaksiatan dan kemungkaran. Realiti ini juga menyebabkan beliau sakit.

" Sewaktu dalam harakah ini jugalah aku dapat membezakan antara kepimpinan yang sejati dengan pemimpin yang palsu( Halaman 7 Perjalanan Ku Sejauh ini)


Shahnon(berbaju hitam) yang menjadi 
pengiring ke upacara akad nikah saya 
pada April 1965


37 comments:

  1. TS ZAM,

    Saya adalah anak kelahiran awal 80an. Namun saya membaca hampir semua karya Shahnon. Antara yang paling meninggalkan kesan di hati saya ialah Detik-detik Diri di Daerah Daif. Pertama kerana tajuknya bermula dengan huruf D. Saya merasakan Shahnon ada keistimewaan yang tersendiri. Dia adalah sasterawan yang bagi saya mampu menterjemah dan menggambarkan sesuatu perkara dalam bentuk penulisan dengan sentuhan yang amat baik berkenaan alam yang berjalan, angin yang bertiup, sungai dan darah yang mengalir. Layaklah beliau dianugerahkan gelaras Profesor Emeritus dalam bidanf sastera kerana kelebihannya itu. Dalam sebuah karyanya, beliau seolah2 memuji dan menerima semua PM termasuk Pak Lah, kecuali Mahathir. Saya tidak pasti apakah yang Mahathir telah lakukan kepada Kedah pada era tersebut yang membangkitkan kemarahannya. Wallahua'lam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar saudara, Shanon mempunyai identiti penulisannya yang tersendiri sama seperti penulis tersohor yang lain seperti Samad Said, Samad Ismail dan Azizi Haji Abdullah. Apabila kita membaca gaya penulisan seseorang tokoh penulis, kita terus boleh teka siapa penulisnya setelah membaca beberapa ayat. Itulah yang dinamakan bakat menulis yang tak semua orang ada.

      Delete
  2. Apakah penyesalannya sepanjang menjadi ahli PAS dan menyerang Mahathir?

    Shahnon adalah cermin di antara sebahagian yang selalu serang Mahathir...tak ke mana pun?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ini sasterawan mencarut kerana Allah pon mencarut juga. Kata pemimpinnya dia. Akhlaq letak dimana? Di kepala lutut?

      Delete
    2. Suci tun mahathir itu seperti sesuci dalam debut angkat tinggi oleh fanatik dia.

      22tahun baru aku tahu, ini ajaran tun mahathir ajar pada pengikut dia Sehinggakan penikut ajar tak reti berfikir.

      Orang telah meningal tak payah sebut keburukan dia lagi, cukup Cukap perkara yg telah lepas

      Delete
  3. Terima kasih Tan Sri kerna masih mengabdikan kisah2 dulu dan masakini untuk tatapan kami para pembaca.Pengalaman penulis2 lama seperti Tan Sri dan Datuk A Kadir Jassin banyak beri pengajaran pd kami para pembaca.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul. Saya juga banyak belajar dari 'penulis2 lama.

      terima Kasih Shane Zane TS Zam.

      Delete
  4. Terima kasih Tan Sri. Sudah lama saya tertanya-tanya di mana Cikgu Shahnon.

    ReplyDelete
  5. Mereka yang telah hantar komen mengenai Shahnon yang tidak tersiar sila hantar semula kerana saya telah ter delete

    ReplyDelete
  6. Selamat TSZ,

    Ingat lagi aku ketika mula meminati buku. Ranjau Sepanjang Jalan begitu menarik. Sehingga aku sering diganggu oleh mimpi berbayang ilustrasi kulit hadapan novel tersebut yang berbentuk wajah yang menakutkan.
    Juga tak lupa filemnya yang dibintangi Sarimah begitu mengesan.
    Rakan rakan sekelas di SAHC juga meminati buku ini sehingga akhirnya hilang tanpa dikesan. Tidak diketahui siapa peminjam yang akhir..

    Aku bertuah kerana dapat membaca banyak hasil karya beliau termasuklah SHIT yang memeningkan kepala aku...

    Terima kasih TSZ,
    Selamat.

    ReplyDelete
  7. AsSalam TSZ ...

    Salam takziah pado keluargo arwah Shahnon Ahmad dan Alfatihah.

    Den masih simpan novel Ranjau sepanjang jalan tu dan dah baco novel Shit arwah.

    Memang bonar arwah cukup marah dan tak berkenaan langsung dongan Turn M .
    Sobab ehh ..sumo oghang dah tahu .

    Camno pun didoakan semogo roh arwah dirahmati Allah SWT dan dilotakkan dikalangan mereko yg soleh.
    Aamiinn Ya Rabb..

    Waghih

    ReplyDelete
  8. Mungkin ramai lagi seperti saya yang masih tak tahu sebab apa dia marah dan tak berkenan dengan TDM!
    Apakah dia hanya terikut-ikut dengan puak-puaknya semasa itu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bolihlah baco ...
      1) Shit (1998).
      2) Maha maha (1999).
      3) Muntah (2000).

      Dituju khas pado Turn M.

      Waghih.

      Delete
    2. waghih ni pun spesis lebih kurang samo yo ni...macam shit jugalah.. atau pun terlebih shit.

      Delete
    3. waghih ni ada masalah mental sikit. kemahuannya tak tercapai atas sbb akademik maka jadilah spt mental ni. maafkn beliau.

      Delete
  9. Hebat pejuang pejuang ini...

    Tqvm TS Zam

    ReplyDelete
  10. Nostalgia menyelubungi jiwa saya bila membaca tulisan Saudara Zam tadi.Seolah olah saya pun pernah berada diPasar Yaakob bersama teman teman saudara tapi saya hanya berkhayal.Mungkin Saudara Zam patut menulis novel tentang kesah kesah lama berkisar di Pekan Yaacob.

    ReplyDelete
  11. Setelah bergelumang dengan politik parti sorga,akhirnya beliau jumpa Shit@P.... sebenar.Cuma tiada daya lagi untuk menulis Shit@P...... Bahagian 2.Sebenarnya kita hanya menduga-duga sahaja.Satu pengajaran,...untuk menulis dengan memaki hamun dan mencarut,kita juga perlu ke menara gading untuk mendapat lesen,dan belajar teknik penulisan terbaik.

    ReplyDelete
  12. Dato Zam,
    Ada komen bertarikh 20 & 21 May 2017.ada masaalah teknikal?

    ReplyDelete
  13. Assalam TS Zam!
    Saya juga tak faham istilah "shit" atau "Mahafiraun" yang dihamun arwah ke muka TDM. Saya pernah membaca karya kedua-dua pemikir ini dan saya berpandangan dari segi orientasi pemikiran mereka tidaklah terlalu berbeza. Kedua-duanya menjiwai golongan marhaen. Mungkin yang satu lebih klinikal dari perspektif yang lebin luas. Saya tidak pernah mendengar TDM memaki sesiapa. Wan saya (grandpa} bernama Tok Perang pernah bercerita bagaimana dia pernah ke Klinik Maha untuk mendapat rawatan yang mengikutnya diberi percuma. TDM dipanggil Dr Mahalit dalam sebutan orang yang bercakap Siam di kawasan sempadan. Ada yang menggambarkan TDM sebagai PM yang mengambil kesempatan drp kedudukannya sebagai PM hatta membina suatu keluarga OKB atas amalan cronyism. Pada pemikiran mudah saya TDM suami isteri bertugas sebagai doktor dgn perniagaan klinik sendiri sebagai susulan kepada pengalaman asuhan berniaga di Pekan Rabu. Pada saya Mahalit sepatutnya menjadi billionaire sebelum Robert Kouk jadi sugar king lagi...kerana di mana-mana negeri pun kumpulan pasangan doktor akan menjadi kaya. Apatah lagi yang pandai menjaga kewangan..tidak minum, tidak merokok, berjudi atau main perempuan. Mungkin dia juga sebagai wartawan sambilan bertabiat berhujah atas fakta tanpa something to hide. Mungkin Shahnon dgn potret "Menteri" sebagai kumpulan yang menyalahguna kuasa terbawa dengan konstruksi watak politikus yang ghalibnya mementingkan diri lanterna suka mengaut semua sumber untuk kepentingan keluarganya. Saya tidak melihat ciri-ciri boros pada Tun Siti hasma mahupun Marina anaknya. daripada penulisan mereka ternyata mereka lebih mementingkan keperluan rakyat daripada nafsu sendiri. TS Zam tentür lebin maklum kerana lebin mengenalinya sebagai pemimpin.
    Megat Din

    ReplyDelete
    Replies
    1. Megat Din, jika Ciri2 boros tiada pada Marina, bagaimana pula pada Mirzan, Mokhzani, Mukhriz dan anak2 mereka yang bermewah2an dengan kereta sport Bugatti Veron, kapal2 mewah dan rumah2 agam di dalam dan luar negara Adakah kerana mrk pandai berniaga atau mereka anak PM 22 tahun? Adakah anak2 manusia lain di Malaysia tidak pandai berniaga sehingga tidak boleh jadi sekaya mereka?

      Delete
    2. kau btul saudara megat. anon 1815, apakah terlalu rendah akademik dan moral melayu shgga kamu rasa meteja tak layak melebihi kamu. apakah benar phd merupakan masalh melayu berniaga? kamu seorg yg ada phd

      Delete
  14. Kematian tu suatu pengajaran kepado yang masih hidup terutamo pado yang berumur 93 thn .
    Ngaji quran , berzikir , berwirid ,bercakap baik , berniat baik ,bersodokah hadir kuliah agamo ,bersyukur dongan apo yang dah ado ...
    Itulah yang terbaik dan diredhoi olih yang Maha Berkuaso .

    Waghih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waghih adalah tipikal munafik.Kau mengaji Quran macam burung tiong,sebab itu munafik kau tiada tolok banding.

      Delete
    2. Pertama kali aku dengo ko cakap benda yg logik dan benar. Cuma nak betulkan sikit je.. satu pengajaran pada KITA semua,sebab panggilan kubur tak berlaku pada yg berusia saja. Jom Waghih,sama2 ambil iktibar.

      Delete
  15. Sekeji-keji manusia adalah manusia yang MEMPOLITIKKAN segala hal ternasuk soal kematian untuk meraih sokongan terhadap pemimpin iblis yang keji, kotor dan korup.

    Setiap komen yang diutarakan dicuba sedaya upaya dilencongkan dengan niat untuk memperlekeh pemimpin yang terdahulu walaupun posting langsung tiada hubung kait.

    Bila hati dah busuk, kotor dan hitam, apa yang dikeluarkan dari dalam isi perut melalui mata pena juga busuk, kotor dan hitam. Berwaspadalah kalian dengan makhluk perosak yang bersembunyi di balik penggunaan bahasa loghat negeri.

    Setiap perkataan yang keluar menampakkan sisi kebencian kepada yang hak dan pengabdian kepada yang batil.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa yang Waghih cakap itu benar.Kebanyakkan orang yang berumur 93 tahun akan memmbuat semua yang disarankannya.Saya sendiri kalau di izinkan Allah akan mengikut saranan Waghih.Tapi TM bukanlah orng tua biasa.Walaupun keadaan fisikalnya tidaklah seberapa tapi saya lihat dia mempunyai jiwa pahlawan yang kental dan takkan berundur selagi maseih bernyawa.Itu satu sifat yang Waghih sendiri patut kagumi.

      Delete
    2. Mahathir beribadat sejak muda.Orang yang jahil sahaja akan buat kerja-kerja ritual.Apakah manusia itu hanya buat kebaikan dan beribadat bila berada di kuil atau tokong?

      Delete
  16. Banyak orang tidak tahu tentangnya. Saya kenalnya sebagai seorang wartawan sejak usia 18 tahun. Kawan-kawannya sejak usia muda dalam perjuagan kemerdekaan ialah ustaz- ustaz terkenal di Maktab Mahmud Alur Setar. Dianataranya ialah Sheikh Halim mudirya dan Taun Haji Osman yang kemudiannya menjadi Konsul Malaysia di Jeddah. Mereka sangat menghormatinya kerana menjiwai inspirasi orang-orang agama dan kerana itulah dia tidak menghadapi kejutan agama seperti orang2 Melayu yang baru mengenali agama dan dia yang memahami erti perjuangan agama utk perjuangan hingga akhir hayat. Orang yang menasihatnya supaya bersara dari politik kerana sudah tua adalah tidak memahami ajaran Islam sebenar , kurang ajar dan biadab. Allah tidak menyuruh hanya beribadat bila tua kerana masa muda pun boleh mati juga.
    Yang beri nasihat ini adalah orang bangsat dalam poltik yang tidak kenal sejarah negara.

    ReplyDelete
    Replies
    1. itu lah yg sebaik nya ts zam suarakan utk semua golongan berakhlak rendah seperti ni. tak sedar diri dgn kesenangan hidup yg diperolehi

      Delete
    2. Apo mcm waghih. Topat kono dokek muko kau. Atau masih tak faham lagi apo yg TSZ tulih ni. Kalau tak paham laee, memamg kau jenis pomakan dodak. Bonggap bonar. Tak dapek den nk nolong eaa doh.

      Delete
    3. Teringat kisah abu dzar al-gifari yg berdiri utuh pada usia tuany.. menentang pemerintahan yg zalim... Amar makruf nahi mungkar... Tahniah pahlawan2... Sy ambil ini sebagai contoh zaman moden... Salam perjuangan..



      Delete
    4. Siapa itu Umar al-Mukhtar?Si munafik 11:40 akan mengecam pejuang sebegini.

      Delete
    5. TSZ berkato ...
      " mereka sangat menghormatinya kerana menjiwai inspirasi orang2 agama dan kerana itulah dia tidak menghadapi kejutan agama saperti orang2 melayu yg baru mengenali agama dan dia yg memahami erti perjuangan agama untuk perjuangan akhir hayat "

      So ...beliau berpaut pado parti agamo ... apo mesej yg nak disampaikan pado Turn M dlm novel beliau..
      1) Shit (thn 1998)
      2) Maha Maha (thn 1999)
      3) muntah (thn 2000).

      Namo novel itu sendiri melambangkan suatu yg jelik .

      Mako oghang yg ditujui itu jelik ..?

      Atau .. ado yg tersirat dibelakang tabir tajuk novel tersebut ?

      Waghih

      Delete
    6. Waghih adalah "syaitan itu musuh yang nyata".Orang baik-baik ada perkataan yang baik untuk mengarang ayat.Bukannya,makian dan carutan.Kau masih menganut agama penyembah berhala,tetapi tidak menyedarinya.Allah memberi peringatan sejelas-jelasnya dalam Al-Quran mengenai sikap orang seperti kamu,dan DIA akan gelapkan lagi hati kamu.Bacalah!

      Delete
  17. Bila umur dah tua, kalau ada orang nak merusakkan rumah kitapun biarkan sahaja. Baca quran banyak-banyak,berzikir dan berwirid.

    ReplyDelete
  18. Assalamu'alaikum Tan Sri...Saya Zaidin, Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi). Saya berminat dgn tulisan TS tentang SN Shahnon Ahmad ini.

    Asasi sedang berusaha menerbitkan sebuah buku mengenang Shahnon Ahmad kerana allahyarham adalah pengasas dan Ketua Satu Asasi yang pertama. Oleh itu saya mohon izin TS untuk memetik tulisan TS ini bagi dimuatkan di dalam buku itu nanti.

    Sama ada TS izinkan atau tidak sila maklumkan kepada saya melalui e-mel zaidinabadi5523@gmail.com

    Terima kasih TS.

    ReplyDelete