Thursday, 4 May 2017

KEMAJUAN TEKNOLOGI TAK PERLUKAN LAGI PERJUANGAN BAHASA DAN BUDAYA MELAYU


Sebagai budayawan tulen, Tan Sri Rais Yatim telah menjuarai penentangan terhadap Bahasa Rojak walau di mana kementerian beliau berada dan beliau sendiri adalah identiti keperkasaan budaya terutama  dalam penguasaan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang sempurna dan indah.

Memanglah layak  beliau menjadi Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan tetapi barangkali beliau tidak sedar berada dalam masa yang sudah tidak sesuai lagi dengan perjuangannya.

Apabila saya menjadi Menteri Penerangan saya cuba membantunya untuk menghapuskan bahasa rojak. Saya mengharapkan tindakan berkesan dengan membentuk Jawatankuasa Bersama Antara RTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memantau dan mengumpul secara rambang kesilapan ini yang sering dilakukan dalam drama TV di semua stesen dan kemudian didedahkan seminggu sekali di akhbar dan  RTM sendiri.

Dengan itu orang ramai akan dapat mengenali stesen manakah yang paling kehadapan dalam merosakkan bahasa  atau melalaikan tanggungjawab terhadap kemurnian bahasa ibunda.

Oleh kerana tidak ada penumpuan serius dari mereka yang dipertanggungjawabkan dari Dewan Bahasa  maka saya tidaklah lagi memberikan perhatian berat kerana menerima realiti orang yang pandai berbahasa  tidak semestinya pandai bekerja.

Disamping itu saya menerima hakikat bahawa kesempurnaan dan ketidakrojakan bahasa tidak lagi diperlukan dalam kepantasan teknologi terutama bagi bidang komunikasi.

Penerapan bahasa Inggeris dalam semua aspek tidak  lagi dapat dipertahankan dan tidak lagi dapat di kejar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak mempunyai sense of urgency sesuai dengan kehendak semasa.

Dewan Bahasa sebagai institusi  Melayu masih dalam sistem kerja budaya Melayu ketika   menghadapi cabaran kepantasan budaya dunia. Jika seorang wartawan dapat menterjemahkan sesebuah novel atau buku  dalam masa sebulan, Dewan Bahasa  mungkin mengambil masa dua tiga tahun.

Tan Sri Johan Jaafar  bekas  Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang  pernah berada dalam dunia kewartawanan dapat merasakan  perbezaan sikap kerja dalam dunia kewartawanan yang senantiasa memerlukan kepantasan dengan budaya kerja relax Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka  yang sukar untuk diubah.

Saya menimbulkan isu bahasa rojak ini  dan pendekatan sikap budaya Melayu berikutan dengan kegagalan Kongres Budaya 2017 untuk mengenali anasir-anasir  budaya dinamik yang diperlukan Melayu dan budaya yang perlu  dihapuskan sebaliknya lebih menumpukan kepada mahu menghidupkan  budaya Melayu  yang tidak lagi sezaman.

Berikutan dengan kongres itu juga, Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah menegur stesen TV dan penerbit yang membenarkan penggunaan bahasa rojak pada tajuk cerita drama  dan filem dan disamping  berlaku  keliaran  dalam dialog drama TV yang sering bercampur Inggeris dan Melayu.

Pengarah dan penerbit filem tersohor Yusof Haslam mempertahankan ini sebagai suatu penerimaan masyarakat sekarang kerana tidak sahaja berlaku  di kalangan penerbit filem tetapi juga dalam kepimpinan negara seperti mesyuarat dan urusan-urusan kerajaan lainnya.

Mungkin hal ini boleh dilihat sebagai suatu kewajaran kerana Indonesia sendiri yang selama ini menjadi kiblat contoh  kedaulatan Bahasa Ibunda kepada kita  tetapi sekarang juga sudah tidak lagi dapat mengawal penerapan bahasa Inggeris  sehingga  lirik lagu-lagunya juga telah dirojakkan.

Bagaimana pula dengan kerojakan  bahasa SMS, Whatsapp, Facebook, Instagram dan lain-lain. Adakah boleh dikawal?

Semua bangsa telah kehilangan identiti budaya dan dikuasai oleh budaya teknologi. Maka itu saya memandang sinis terhadap Kongres Budaya 2017 baru-baru  ini dan menganggapnya sebagai membuang masa dan wang kerana gagal mengenali apakah budaya yang diperlukan oleh generasi baru Melayu.

Kehadiran lebih tiga ribu orang di kongres itu sebenarnya hanyalah  suatu kejayaan mengumpul sejumlah besar manusia yang tidak disertai oleh fahaman, semangat, dokongan, iltizam dan penghayatan terhadap matlamatnya kerana mereka sendiri hidup dalam suasana atau realiti yang berlainan dari apa yang mahu diperjuangkan oleh kongres itu.

Saya suka mengulangi apa yang telah saya katakan: Kongres Budaya 2017 tidak lebih dari suatu himpunan penonton  menyaksikan ulang  tayang filem lama untk bernostalgia dengan mimpi yang tak sudah.

Tan Sari Rais Yatim mungkin marah dengan konklusi  saya ini tetapi marilah kita bersama melihat dan perhitungkan  apakah pencapaian dari resolusi Kongres Budaya 17 dalam setahun dua ini.

15 comments:

  1. Jika tunjang Melayu, politik, sudah tojak... Bagaimana yang lain ?

    Sudah pasti kalau kepalanya rojak.. Yang turut dan ikut, ekor, pun rojak..
    Pasembor Rojak..

    Sekarang ni pun bukan sahaja setakat berpakaian keakraban..

    Tetapi juga..

    Dok panggil mai pak arab.. Untuk mengesahkan pemimpin Melayu sekarang, wahid..

    ReplyDelete
  2. Mahfuz Shah Alam.5 May 2017 at 08:42

    Tan Sri Zam kita orang Melayu sebenarnya menjadi korban dari sentimen perkauman dan keugamaan yang sempit. Gulongan Melayu terpelajar yelah menyelamatkan kita dari penjajahan pemikiran Arab di Singapura dan Johor dalam tahun 30an.
    Kemudian kita mengorbankan tulisan jawi kerana dorongan sentimen gulongan sasterawan wartawan dan juga guru-guru yang mahu persamaan ejaan Indonesia Malaya.
    Selepas merdeka sekolah-sekolah kebangsaan kita menjadi korban kerana hasrat kita yang tidak berselindong untuk menjadikan bukan Melayu sebagai Melayu. Penjajah Inggeris tidak mengistiharkan untuk menjadikan kita orang Inggeris namun mereka berjaya membangunkan pemikiran Inggeris dalam kalangan rakyat kita di zaman British.

    Kita sebenarnya bangsa yang bergantung kepada sejarah kegagahan zaman lalu yang tiak berasas seperti Hang Tuah dan Hang Jebat dan ceritaceroita karut yang lain. Maka itu kita terus berada dalam khayalan hingga sekarang dengan tidak dapat melihat realiti keperluan sebenar.

    ReplyDelete
  3. Sokong sangat perenggan terakhir 08.42. Untuk pergi jauh, perlu sekali sekala jenguk ke belakang. Sejauh mana benarnya sejarah kita? Kalau ianya boleh dipertikaikan, apakah fakta faktanya boleh dipertahankan? Contohnya....ungkapan Empayar Melaka. Benarkah melaka suatu empayar? Kesultanan, ya memang benar. Tapi empayar? Bila jatuh ke tangan portugis, kenapa "jajahan jajahan takluknya" tidak berusaha membantu menggulingkan portugis? Di pinggir sg melaka dulu ada "replika kincir air kesultanan melaka" (sekarang tengah repair). Biar betul ada kincir air 500 tahun dahulu di melaka; walhal sains dan matematik bukanlah kekuatan masyarakat melaka masa tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju!Mana bukti-bukti peninggalan Empayar Melaka?A Farmosa Portugis yang punya.Semua empayar dan tamadun lampau ada meninggalkan bekas.Piramid,Tembok Besar Cina,Angkor Wat,Borobodur,Coliseum dan banyak lagi.Seorang kawan dalam ketawa menjawab soalan saya dengan mengatakan bangunan atau pembinaan Empayar Melaka dibina dengan menggunakan kayu.Semuanya telah reput katanya,jadi semua bukti hilang.Saya membalas,jawapan lebih sesuai adalah Empayar Melaka adalah Empayar Bunian.

      Delete
  4. I like this para Tan Sri! You nailed it!

    "Oleh kerana tidak ada penumpuan serius dari mereka yang dipertanggungjawabkan dari Dewan Bahasa maka saya tidaklah lagi memberikan perhatian berat kerana menerima realiti orang yang pandai berbahasa tidak semestinya pandai bekerja."

    Orang Melayu mahu hidup di zaman lalu bilamana bahasa Melayu menjadi lingua franca tapi tak mahu tahu kenapa zaman itu bahasa Melayu menjadi lingua franca.

    Cuba orang Melayu menjadi perintis teknologi masakini sudah pasti bahasa Melayu pun akan terangkat martabatnya. Malangnya orang Melayu terlalu kebelakang dari segala segi. Teknologi tiada. Ekonomi teruk. Kompas moral masuk longkang. Hanya mengharapkan suapan brim untuk hidup. Golongan elitnya pulak merompak kekayaan negara. Adalah tidak menghairankan kalau golongan bahasanya syok sendiri bermimpi di siang hari.

    ReplyDelete
    Replies
    1. 1000% setuju!

      Delete
    2. Lebih teruk lagi bila genggaman Politik 'Puak elit' terancam dan mereka mula bertukar jadi 'orang-Agama'... mula mengunakan istilah Arab dan mengunakan DAP untuk menakut-nakut orang-Melayu.

      Delete
  5. Saudara Mahfus shah alam. Jangan lah saudara beranggapan yg hikayat hang tuah dan jebat itu juga cerita karut marut. Benar dan diakui terdapat elemen elemen kegagahan melampau tak lebih dari sekadar bunga bunga cerita. Sejarah bukan untuk bermegah megah , Ianya sebagai dorongan ,panduan serta iktibar demi kelangsungan hidup bangsa melayu..TiADA BANSA TIADA LAH BAHASA...
    Sayang nya !. negara bumi bertuah ini kerap khilaf dalam mengangkat yg alim dari kalangan yg alim pada tempatnya. Bak kata Tuan Zam, yg ," yg pandai berbahasa, tidak semestinya pandai membuat kerja"
    Persoalannya???.
    Dimana kah terletaknya kekuatan Laksamana Hang Tuah??
    Di keris nya kah!?.atau di tenaganya kah,!?. . *** lawak sebagai renungan.

    ReplyDelete
  6. Saya sokong Tulisan zam ini kena memantau budaya bahasa rojak Dalam drama melayu terutama Suka sangat guna bahasa rojak I, you, uncle, Auntie,Lunch Dan Dinner perkataan inilah merosakan bahasa melayu
    Tahukah anda Amerika dan British pun tak guna lagi perkataan uncle dan auntie

    ReplyDelete
  7. Sukran Jantan5 May 2017 at 14:25

    Seluruh bangsa Melayu mestilah sedar bahawa kita tidak mempunyai keperibadian dan kebudayan sendiri kecuali saduran dari sejak bangsa asing yang pernah mendatangi negara ini.
    Kita mudah menerima pengaru Arab kerana Islam,budaya Indonesia kerana dakwaan sebangsa,budaya Inggeris kerana ilmunya dan juga makanan India dan mamak. Ada Melayu yang tidak boleh hidup tanpa roti cina dan tose tetapi tidak mudah bagi orang China untuk makan roti canai atau tose. Makanan Melayu yang dimakan mereka hanya nasi lemak dan sateh tetapi Melayu semua masakan China yang halal seperti jim sum,tahu sayur sayuran masakan Cina.
    Kita Melayu makan semua yang menandakan sebenarnya kita bangsa yang miskin termasuk dalam menu makakan. Suatu bangsa yang tidak berbudaya.Bangsa yang belum dicelup dengan apa sahaja. Tak ada apa yang kita hendak banggakan.

    ReplyDelete
  8. Salam TS Zam.

    "Oleh kerana tidak ada penumpuan serius dari mereka yang dipertanggungjawabkan dari Dewan Bahasa maka saya tidaklah lagi memberikan perhatian berat kerana menerima realiti orang yang pandai berbahasa, tidak semestinya pandai bekerja."

    Memang benar Tan Sri... Orang yang pandai berbahasa dan bercakap, selalunya hanya pandai membodek dan berlakon rajin-bekerja bila 'ketua' mereka berada disekitar.

    "Penerapan bahasa Inggeris dalam semua aspek tidak lagi dapat dipertahankan dan tidak lagi dapat di kejar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak mempunyai sense of urgency sesuai dengan kehendak semasa."

    Semalam saya tengok Nightline-TV3, malangnya stesyen TV yang menjadi 'suara' kerajaan ini masih mengunakan 'Malacca' pada sarikatanya... walaupun sehari sebelumnya, mereka juga yang melaporkan bahawa Kerajaan negeri Melaka memutuskan nama 'Malacca' yang sebelum ini digunakan dalam bahasa Inggeris tidak lagi diguna pakai, sebaliknya digantikan dengan nama 'Melaka'.

    Pada saya... malapertaka paling awal kepada bahasa Melayu... adalah apabila kita memansuhkan tanda-diatas huruf e (é). Ini membuat pembelajaran menjadi sukar, terutamanya kepada orang-asing yang mahu belajar Bahasa Melayu.
    Contoh:-
    1. 'be' dalam perkataan 'beruk, beras atau belacan' akan disebut sebagai 'be' dalam perkataan 'berak atau bebas'.
    2. 'pe' dalam perkataan 'perak atau petak' akan disebut sebagai 'pe' dalam perkataan 'pedang atau petai'.

    Malapertaka lebih besar... bila kita asyik mengantikan dengan perkataan Arab dan lebih malang lagi... ketika kita sudah ada perkataan Melayu.
    Ini bermakna, mereka yang mahu belajar Bahasa Melayu, terpaksa juga belajar bahasa Arab.
    Contohnya:-
    1. Khinzir... mengapa tak guna 'babi' yang lebih pendek?
    2. Wasatiyyah... mengapa tak guna 'kesederhanaan'?
    3. walla... apekebenda? Bunyi macam rancangan masak-masak di TV je!

    Pada saya... inilah puncanya bukan-Melayu menjadi keberatan, tidak berminat dan mungkin juga... tidak menghormati atau tidak merasa bangga menggunakan Bahasa Kebangsaan.

    Adalah lebih bijak... demi slogan 1Malaysia... jika tiada istilah Melayu yang sesuai... diguna-pakai istilah dari bahasa orang-asal Semenanjong, Sabah & Sarawak...dari bumiputera Siam, Senoi-Praaq, Iban, Dayak, Bidayuh, Suluk, Bajau, Jawa dan lain-lain... Cina, India atau Sikh?
    Setidak-tidaknya, mereka akan berasa bangga, kerana bahasa mereka juga diguna-pakai sebagai Bahasa Kebangsaan.

    Satu lagi yang pelik mengapa Kerajaan asyik guna singkatan seperti ETP, GTP, 1MDB, NKRA, KPI... semuanya dalam bahasa Inggeris?
    Mengapa tak guna singkatan Bahasa Melayu yang mudah difahami, terutamanya oleh Orang-Kampung.

    Kelmarin, Najib ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017, mahu Rakyat guna perinsip Wala, Wasatiyyah dan Tabayyun demi NegaraKu tercinta.

    Baca selanjutnya di:-

    https://www.bharian.com.my/node/278695

    Rakyat 1Malaysia, terutamanya bukan-Melayu, faham ke?
    Atau pun... Najib hanya tujukan kepada orang-orang Melayu-Islam?

    ReplyDelete
  9. panglimo potaseh5 May 2017 at 15:38

    Pak Zam.

    MCE terakhir 1976, HSC 1978. Selepas itu sistem pendidikan kita telah mengunakan BM sepenuhnya. Di universiti dan ITM, BM di letakan dipesada.

    1989 dipejabat saya, dua orang staf baru yg memiliki ijazah sarjana muda kepujian UTM, tanpa segan bertanya pada saya makna "customer" sebagai soalan pertama sebelum mula kerja.

    1993 TV3 yg berada dibawah terlunjuk Sudara Anwar ketika itu telah memperkenalkan bahasa baku.

    Pada 2008, ketika saya mengikuti program masters di UKM, saya dapati ramai siswazahnya masih boleh dapat "A" walaupun kefahaman BI sebagai rujukan utama amat rendah sekali .. sangat rendah.

    Mereka LOLOS peringkat masters dan PhD dengan rujukan yang amat terhad tapi mampu dapat keputusan yg baik.

    Sebenarnya bahan rujukan dlm BM sangat mengecewakan. Proses terjemahan bergerak macam siput babi dan dilakukan sebagai punca cari makan. Hanya orang tertentu sahaja yang dikatakan pakar yang boleh buat terjemahan. Walhal yg buat terjemahan dibuat oleh murid pada penterjemah .. dan ia makan bertahun-tahun.

    Gawat 1997 .. BM telah dijadikan kambing hitam sbg punca graduan menggangur bukan sebab tidak ada penawaran kerja akibat kelembapan ekonomi. Sejak itu BI telah di tekan semula dlm pendidikan kita.

    Pada di ketika itu seorang tokoh bahasa kita yg bertahap Prof.Emaritus telah mengatakan BM akan jadi bahasa utama di Asia Tenggara pada 2020. Tersedak saya bila dengar kenyataan itu.

    Itu lah nasib BM. Yang bukan melayu semakin banggang BMnya .. ada yang tanpa rasa bersalah tidak mahu bertutur dalam BM tapi ngaku sebagai "malaysian".

    Ada juga melayu yang semacam tak tahu BM seperti Tengku Aziz (bekas DAP), Tengku Imran, Raja Petra sebagai contoh.

    Ada juga yang cuba letakan diri sebagai pejuang BM. Mereka ini mulalah membuat fantasi dan cadangan yang meraban-raban.

    Apapun saya sangat hormat dengan kata-kata BM orang seperti Raja Nazrin, Mahathir, Anwar, Rafizi, Khalid Ibrahim, Ungku Aziz, Tian Chua dan sebenarnya ramai lagi yg boleh ber BM dgn tertib tanpa campur adukan BM dgn BI.

    Dan saya kagum bagaimana Korea negara kecil boleh teguh dengan bahasa koreanya dan masih boleh maju dengan budaya sendiri dan teknolog moden.

    Saya pun kagum dengan bagaimana Indonesia berjaya menyatukan kepulauannya yang beribu itu dengan satu loghat dan telo bahasa yang satu.

    Saya fikir Rais Yatim dan Dewan Bahasa bukan lah jentera nya untuk mengagungkan BM .. kita kena cari yang baru.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rais Yatim berbahasa dan berbudaya demi politik.

      Delete
  10. Setuju dgn saudara RD. Kenapa sekarang guna perkataan informasi, kenapa bukan maklumat? "Bagasi" tu bahasa amenderr? Situasi...kan dah ada perkataan "keadaan"? Tak lama lagi muncul pulak kot perkataan2 spt utensilasi, spektakulasi, invigorasi, abnormalasi...bryani muttonsi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju!Pakar-pakar bahasa juga sebenarnya adalah petualang bangsa,....munafik.Bukankah golongan ini yang membunuh bahasa Melayu dengan mengizinkan berlakunya seperti apa yang diceritakan oleh Anon. 16:11?Berita TV di RTM menggantikan perkataan kapal kepada 'vessel',manakala pengulas sukan menggunakan perkataan 'venue' menggantikan tempat perlawanan.Pengulas sukan di saluran lain pun sama sahaja,campur adukkan bahasa pasar dengan bahasa Inggeris.Majoriti yang mengikuti siaran langsung itu adalah orang Melayu dan rakyat Malaysia.Jadi kenapa sibuk nak berbahasa Inggeris?Adalah lebih baik jika sekiranya ulasan dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.Apa yang kita nak ialah anak Malaysia mampu berbahasa kebangsaan,dan pada masa yang sama berkemampuan bertutur dalam bahasa Inggeris.Malah belajar bahasa ketiga.

      Delete