Monday, 17 April 2017

OTHMAN WOK SELAMATKAN UTUSAN MELAYU KETIKA LEMAS

Perdana Menteri, Encik  Lee Hsien Loong (tengah) hadir bersama pembesar negara
dan rakyat Singapura memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham
Othman Wok di Masjid Sultan Singapura

Apapun anggapan orang terhadap Othman Wok bekas wartawan Utusan Melayu dan juga sahabat akrab Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew(LKY),tetapi kepada saya pemergian abadinya suatu kehilangan besar kerana Allhayarham adalah tauladan wartawan sejati kepada saya.

Othman Wok telah meninggal dunia hari ini di Singapura dalam usia 92 tahun.

Kepada sesetengah orang Melayu terutama di Malaysia beliau dianggap sebagai pengkhianat bangsa tetapi LKY telah menitiskan air mata kepada Othman dalam majlis meraikan usianya ke 75 tahun dalam menghargai  sumbangan dan sokongan Othman Wok kepadanya dalam tahun-tahun keruncingan di Malaysia dan dalam masa rusuhan kaum di Singapura.

Kata LKY " Because of the courage and leadership you showed,not a single PAP Malays leader wavered. That made a difference to Singapore"(  dalam buku Men In White- The untold Story of Singapore's Ruling Political Party halaman 285).


Pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Singapura
mengangkat jenazah Allaharyam Othman Wok untuk
di bawa ke  Masjid Sultan di Singapura
Disebalik gambaran Othman sebagai anti Melayu, ramai  yang tidak tahu bagaimana Othman Wok membantu UMNO khususnya Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Mohd Khir Johari dan Syed Jaafar Albar  untuk menyelamatkan Utusan Melayu bila menghadapi mogok seluruh kakitangan Utusan Melayu di Kuala Lumpur kerana pengambil alihan oleh UMNO dalam tahun 1961. Ketika itu Utusan Melayu dikuasai oleh nasionalis kiri pro Indonesia.


Mogok ini bukanlah mogok mempertahankan kebebasan akhbar tetapi mempertahankan penguasaan golongan penyokong Melayu Raya di dalam dan di luar Utusan.

Lee Kuan Yew  yang juga melihat bahaya ini di samping Tunku telah membawa bekas pekerja-pekerja bahagian kilang Utusan di Singapura  ke Kuala Lumpur untuk membantu pengeluaran semula Utusan Melayu setelah terhenti pengeluaran kerana pemogokan itu.

Kerajaan Singapura memberikan kawalan keselamatan kepada pekerja-pekerja itu yang datang dengan keretaapi kerana ada ancaman dari pemogok-pemogok  di Singapura.

Walaupun Othman  adalah kader PAP ketika menjadi Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu tetapi tidak sesiapapun yang menyedarinya kerana beliau memisahkan pendirian parti dari tugasnya dan tidak langsung menunjukkan sentimen pada PAP.Rahsia ini terbongkar hanya setelah beliau berhenti mengejut untuk bertanding dalam piliahanraya Singapura  pada tahun 1963 .

Othman menulis dalam buku Biographynya Never in My Wildest Dreams di muka 139" Being the newspaper man was the most exciting and interesting job I ever had.My 17 years of service  in Utusan Melayu were very satisfying  and if things had not turn out the way they did, I would have been a journalist till the day I died"

Othman Wok (Berbaju putih bertali leher) bersama
wartawan-wartawan Utusan di majlis perpisahan
untuknya kembali bertanding di Pilihanraya Singapura
1963. Zam di sebelah kanannya dan di kanan sekali
isterinyaCik Dah dan di belakangnya Tan Sri Khalid
Yunus
Saya mengenali Othman apabila saya ditukarkan ke Kuala Lumpur selepas mogok Utusan pada tahun 1961 dan saya sedar dia amat menyenangi saya dan bila saya ditukarkan kembali ke Alor Star, dia memanggil saya untuk membantu meliputi sidang Parlimen dan kemudian atas permintaan saya dia membawa saya kembali ke Kuala Lumpur.

Beliau menjadikan dirinya sebagai contoh seorang wartawan yang dedikasi, dengan sifat-sifat kewartawanan yang diperlukan, berpakaian lengkap dan kemas setiap hari, terkini dengan berita dan maklumat, pegaulan yang luas dan kontek yang banyak, tidak pernah kering dengan  tugas ekoran berita kepada pemberita selain tugas tetap yang dijadualkan. Datang kerja awal dan balik lewat.

Beliau berbangga  dengan pemberita yang menghasilkan berita exkslusif.

Othman mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan pekerja di semua bahagian; kilang, pengiklanan, pemasaran dan sering bergurau dengan mereka. Perpisahannya dari Utusan  menyebabkan ramai yang menitiskan air mata.

Beliau mencatitkan penilaian saya terhadapnya dengan memetik dari Utusan untuk bukunya NIMWD dimuka 138 "He moved  the entire staff under him with vigour,especially the reporters,to whom he set an example.. He led the News Desk actively and  never passively, full of planning,action,followup and initiative"

Saya terbentuk olehnya. Tauladan yang terbaik bagi saya dalam dunia kewartawanan yang rasa nilainya hingga kini.

Saya tidak pernah merasa sebagai ketua walaupun telah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu sebaliknya saya kerja keras kerana saya mahu semua orang mewarisi  sifat-sifat kewartawanan  yang disemai oleh Yusuf Ishak,Samad Ismail,Otham Wok, Melan Abdullah dan Mazlan Nordin yang membangunkan Utusan Melayu yang miskin kepada keagungan bangsa.

Seperti juga Othman saya ingat mahu menjadi wartawan sehingga ke akhir hayat saya kerana di dunia ini saya tetap merasakan denyut hati nadi rakyat dan sentiasa sedar dari mana saya datang tetapi takdir  Allah telah menjadikan saya pada suatu masa sebagai seorang  Menteri tetapi  yang saya tidak pernah bangga dan seronok dengan jawatan ini sehingga saya bersara. Namun  saya tetap menjalankan tugas itu sebagai tanggungjawab.

Othman Wok tetap membuktikan dirinya sebagai wartawan walaupun telah menjadi Menteri di Singapura. Dalam lawatannya  ke India, dia telah mencari bekas pemandu Utusan Melayu bernama Rambali anak kepada Kedar Singh yang juga pernah bekerja dengan Utusan. Dia menulis surat meminta alamatnya dari saya  dan sekembalinya dari India dia telah menulis surat  menceritakan bagaimana dia diserang oleh belalang bila menuju ke Harapur India untuk melawat Kedar Singh sehingga terpaksa berlindung di sebuah kedai.

Saya masih menyimpan surat-surat Othman.

Othman bukan the last Mohicans of Utusan Melayu tetapi ada seorang lagi yang menjadi hiasan kulit buku saya "Di Depan Api di Belakang Duri" sejarah Utusan Melayu iaitu Encik Hussein Abdul Hamid yang sekarang tinggal di Kuala Lumpur. Beliau memulakan karier kewartawanan bersama -sama Othman.

Surat Othman Wok  pada Zam September 1967 yang meminta alamat Rambali di India.
PENYERAHAN BUKU SEJARAH UTUSAN KEPADA OTHMAN

Saya merasa puas hati kerana telah dapat menyerahkan buku Di Depan Api Di Belakang Duri iaitu sejarah 70 tahun Utusan Melayu (1938-2011) kepada Othman Wok dalam tahun 2013 kira-kira empat tahun yang lalu di pejabatnya di Beach Street Singapura.

Beliau sangat gembira menerima buku ini.Saya diiringi oleh Allahyarham  Munir Ghazali bekas Pengarang Mastika dan Rosle Azmi bekas Penolong Pengurus Jabatan Pengarang Utusan.

Othman Wok adalah perintis kepada cerita-cerita hantu di Mastika di tahun 50an. Mastika kembali popular dan meningkat hingga lebih 200 ribu naskah jualannya apabila menghidangkan  cerita-cerita hantu  di bawah kelolaan Munir.

Di Kuala Lumpur buku sejarah Utusan  itu telah di lancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2013 dan diikuti dengan pelancarannya di Singapura oleh isteri Presiden Singapura Pertama Allahyarham Yusuf Ishak

Buku ini banyak mencatitkan peranan Othman Wok bersama lain-lain  wartawan Utusan termasuk Samad Ismail.

Dalam gambar ini Othman Wok sedang membelek-belek buku sejarah Utusan yang diserahkan kepadanya dan di sebelah saya ialah Munir Ghazali.


Perjalanan terakhir Allahyarham Othman Wok
menuju ke permakaman



5 comments:

  1. Alfatiha illa hadratin Nabi Saw wa khususan Rohi Almarhum Hj.Othman Wok,, syai'un lillahi lahumul Fateha........

    ReplyDelete
  2. alfatihah... arwah bapa saya Haji Zailani Sulaiman pernah bawa saya berjumpa arwah Othman Wok di Singapura pada awal 1980an.. semoga roh kedua dua mereka yang sangat saya sayangi ini sentiasa memperoleh redho Allah dan berada di taman taman syurga Allah.

    ReplyDelete
  3. Tan Sri Khalid Yunus18 April 2017 at 13:15

    Aku baru baca dalam BSK( Buletin Suara Keramat WhatsAapp Persara Utusan), idola aku Othman Wok sudah tiada. Aku sedih.Aku menangis ingatkan jasa beliau tolong aku waktu jadi pemberita di Utusan .Moga Allah cucuri rahmat keatas rohnya dan tempatkannya di kalangan soliha dan solihin . Ameen.

    ReplyDelete
  4. Salah itu 'mogok wartawan utusan ini pertahanankan ideologi pancasila Indonesia ia merupakan ideologi yg gagal di malaysia,wartawan itu terperdaya ideologi pancasila di Indonesia ,nasib baik tunku dan othman wok selamatkan utusan dari lemas fakta sebenar.. Mereka anggap indeologi pancasila itu ialah rukun negara mereka untuk menjadi rukun negara menjadi gotong royong, itu cakap oleh 2bekas wartawan.
    Saya berfikir entah apa di gotong royong oleh ideologi dalam wartawan utusan terperdaya dengan ideologi pancasila ketika itu

    ReplyDelete
  5. saya mengenali arwah melalui kisah2 seram di mingguan malaysia sekitar penghujung 80an

    ReplyDelete