Friday, 3 March 2017

MPI WAJAR MENGADAKAN HADIAH UNTUK WARTAWAN RAKYAT


Datuk Chamil Wariya


Saya kira saya telah membuat pilihan yang tepat apabila memilih  Datuk Chamil Wariya sebagai Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI) ketika saya menjadi Menteri Penerangan.(2006-2008)

Pilihan ini  berasaskan dari mengenali keupayaannya sebagai seorang wartawan yang bermula di bawah saya di Utusan Melayu disamping pengalaman dan pencapaian akademiknya dengan menjadikan kewartawanan sebagai karier yang memerlukan pembelajaran seumur hidup.

Ketika masih sebagai wartawan Utusan Melayu,saya melihat MPI yang bermula dengan Institut Akhbar Malaysia (IAM) pada tahun 1974 tidak mendapat dokongan  yang sewajarnya dari kerajaan   untuk menjalankan program pembangunan kewartawanan di Malaysia.

Maka itu apabila saya menjadi Menteri Penerangan, saya telah meminta geran sebesar RM 5 juta bagi membolehkannya  berfungsi dengan lebih berkesan bagi memajukan karier kewartawanan, meningkatkan mutu perkhidmatan mereka  dan mengikhtiraf serta memberikan penghormatan kepada wartawan yang cemerlang.

Hasrat saya mahu  menjadikan Berlin Institute  Of Journalisme(BIJ) sebagai model dari segi latihan kewartawanan dan kenegaraan. Ramai wartawan Malaysia termasuk saya sendiri pernah menghadiri kursus tiga bulan di institut ini dalam masa perang dingin Timur Barat.

Mungkin ramai peserta yang tidak menyedari bahawa institut ini menjadikan latihan kewartawanan  hanya sebagai  pelindung untuk agenda besarnya bagi   menanam semangat  anti komunis di kalangan  wartawan-wartawan Asia Africa yang bila pulang ke negara masing-masing  akan menjadi suara kepada demokrasi Barat atau blog Barat dalam masa perang dingin.

Program ini selama 3 bulan tidak bersifat indoktrinasi tetapi  bangunan Berlin Institute Of Journalism yang kami hadiri di bawah program ini terletak  di sebuah bangunan di tepi Tembok Berlin  yang membolehkan kami melihat dengan jelas kehidupan yang suram muram sepi di Berlin Timur berbanding dengan Berlin Barat yang sibok,hidup,ceria,makmur dan terang benderang di waktu malam.

Selepas tamat jalani kursus ini kami di bawa melawat hampir ke seluruh German Barat.

Pada masa yang sama di awal tahun 60an,Malaysia walaupun masih merupakan negara yang sedang membangun tetapi ekonominya maju,rakyatnya hidup mewah,makanan,pakaian dan sebagainya mudah didapati berbanding dengan negara-negara lain di Asia dan Africa.

Pada masa itu ramai wartawan asing,tetamu-tetamu kerajaan dan orang asing  yang mengunjungi negara ini mahu menetap di Malaysia. Ramai pelajar-pelajar atau pensyarah-pensyarah asing  yang pernah bekerja di negara ini mempromosikan Malaysia di negara mereka.

Maka itu saya nampak menerusi program MPI,mudah bagi Malaysia untuk mempunyai ramai duta tidak rasmi anak-anak tempatan di negara masing-masing yang akan bersimpati dengan Malaysia bila diperlukan di bawah program model BIJ.


Walapun program MPI  ini tidak berjalan sepenuhnya seperti  yang dihasratkan oleh saya tetapi Chamil sebagai pengerusi telah membawa banyak kemajuan dari segi meningkatkan berbagai kegiatan MPI tidak sahaja dalam kursus latihan kewartawan dalam dan luar negara tetapi juga penerbitan perkembangan sejarah kewartawanan dari masa kemasa bagi mengenang sumbangan para wartawan lama dan baru.

Pengiktirafan terhadap sumbangan dalam dunia kewartawanan  juga telah meningkat dari Anugerah Tokoh Wartawan Negara tanpa wang dan juga hadiah kewartawanan lain yang kecil kepada peringkat yang lebih bererti.

Dalam masa beliualah MPI dapat memberikan Anugerah Tokoh Wartawan Negara dengan hadiah RM30.000 dan hadiah kepada 20 kategori  di bidang kewartawanan  dengan tajaan Petronas.

Penerima Pertama Anugerah Tokoh  Wartawan Negara  beserta dengan hadiah wang tunai ialah  C.C.Liew dari  akhbar Sin Chew(2009),diikuti oleh Kadir  Jasin (2011), Rejal Arbee dan Zainon Ahmad (2014) kesemua berasal dari Kumpulan NST.

Kegiatan seterusnya  MPI bergantung kepada  geran  tetap dari kerajaan untuk membolehkannya   aktif  menghidupkan  program yang boleh meyakinkan para wartawan untuk menilai kewujudannya dan disamping itu meyakinkan pihak swasta untuk turut membantu program-programnya.

Supaya MPI terus sezaman dengan kepantasan  kewartawanan  online  maka ia harus memikirkan pengiktirafan yang sesuai dan  sezaman dengan citarasa rakyat kepada kewartawanan yang lebih banyak dibaca,lebih popular dan lebih diyakini dan dihormati.

MPI harus memikirkan untuk mengadakan hadiah kewartawanan kepada wartawan Berita Portal dan juga Anugerah Wartawan Rakyat(Citizen Journalist)  yang memenuhi kualiti kewartawanan berhemah,jujur,bebas,berani, yang  menulis dan bersuara kerana mempertahankan kebenaran,keadilan dan maruah kewartawanan negara.

Dengan itu rakyat akan dapat menilai dan membezakan antara wartawan upahan dan wartawan sejati negara.




2 comments:

  1. ASRAF TANJUNG KARANG4 March 2017 at 05:58

    Pandangan Zam tidak seharusnya dilihat dari segi politik oleh MPI tetapi ia adalah relevan dengan keadaan semasa dan juga masa depan media yang tidak lagi meletakan media cetak sebagai bahan utama pembacaan umum.
    Dengan memberikan hadiah kepada wartawan rakyat atau portal berita maka MPI akan dapat membantu untuk membentuk wartawan yanbg berhemah dan berdisplin dalam dunia kewartawanan on line yang sukar untuk di kawal tetapi sekurag-kurangnya akan membolehkan rakyat untuk membuat penilaian dan wartawan-wartawan rakyat untuk mematuhi nilai yang ditentukan oleh MPI.
    Pertandingan juara lagu yang merintasi coservatism pertandingan bintang RTM yang hanya berasaskan kepada penilaian juri atau hakim boleh dijadikan contoh dengan menyerahkan tugas ini kepada pilihan umum seperti yang dirintis oleh Astro atau TV3.

    Ini boleh dikaji dengan mendalam oleh MPI supaya wartawan terbaik,berkualiti dan berpendirian wartawan sejata juga adalah atas pilihan rakyat.

    ReplyDelete
  2. Dengan adanya penilaian dibuat terhadap wartawan rakyat atau wartawan portal berita maka akan dapat dipisahkan antara wartawan dedak dan wartawan sejati

    ReplyDelete