Thursday, 16 February 2017

MENGAPA ULAMA BESAR INDONESIA PAK HAMKA TAK JADI BUNUH DIRI.


Allahyarham Pak Hamka
Mungkin tidak terfikir oleh seseorang Islam bahawa Ulama Besar akan membunuh diri tetapi inilah yang hampir dilakukan oleh Pak Hamka yang bukan  sahaja  tersohor sebagai pengarang dan pujangga dengan buku-buku roman yang hebat tetapi juga sebagai filosof Islam.

Beliau hampir melakukan ini semasa tahanan polis Indonesia  ketika konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia kerana disyaki sebagai ejen Malaysia.

Dalam masa yang sama anasir-anasir Indonesia di Malaysia yang menyokong konfrantasi telah di tahan  di bawah ISA.( Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Dari cerita yang saya dengar sendiri dari tahanan politik  kedua belah pihak, baik di Indonesia atau di Malaya dan Malaysia ,cara interrogation polis ini sama sahaja. Tak tahulah mungkin sekarang lebih moden tekniknya atau lebih sophisticated.

Sejak sebelum merdeka,Pak Hamka telah mendekati hati sanubari orang Melayu Malaya dengan novel-novelnya  seperti di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Kedua novel ini yang diangkat menjadi filem setelah kematiannya masih mampu menggegarkan  perasaan rindu kasih suci  abadi di kalangan penonton yang telah melampaui zaman tradisi dengan berbagai kekangan  adat budaya dan agama.

Selepas merdeka, barulah rakyat Malaysia lebih mengenalinya  sebagai seorang ulama yang memukau dengan syarahannya di RTM dan juga buku-buku agama dan tafsiran Qurannya.

Bagaimanapun banyak yang tidak tahu bahawa Pak Hamka telah di tahan selama 27 bulan  dari tahun 1964 semasa konfrantasi Indonesia kerana dituduh menjadi ejen Malaysia dan beliau hampir membunuh diri kerana penghinaan yang dilakukan terhadapnya oleh Polis Indonesia dalam masa interogation.

Beliau tidak dapat menerima tuduhan menjadi sebagai pengkhianat bangsa dan catitan ringkas mengenai tahanan ini di bawah tajuk "Cetusan Hatiku" terdapat sebagai tambahan kepada bukunya Tasauf Moden yang secara ringkas menceritakan bagaimana beliau mengatasi hasutan syaitan untuknya membunuh diri.

Buku Tasauf Moden adalah  kompilasi dari tulisannya dalam majalah " Pedoman Masyarakat " yang dipimpinnya ketika di Medan dan diterbitkan dalam bentuk buku bagi pertama kalinya  pada tahun kelahiran saya 1939.

Pak Hamka menceritakan bahwa beliau di tahan pada 12 Ramadhan 1385 bertepatan dengan 27 Januari 1964 dan dibawa ke Sukabumi dengan pemeriksaan(interrogation) yang tidak henti-henti , siang malam,petang pagi oleh pihak polis kecuali diwaktu sembahyang saja dengan menghadapi 1001 macam pertanyaan selama 15 hari 15 malam.

Kata Pak Hamka" Disana sudah ditetapkan terlebih dahulu bahawa saya mesti bersalah.Meskipun kesalahan itu tidak ada, mesti diadakan sendiri. Kalau belum mengaku berbuat salah,jangan harap akan boleh tidur"

Menurutnya disinilah pertama kali beliau mendengar  satu ucapan yang belum pernah didengarnya selama hidupnya." Saudara pengkhianat,menjual negara kepada Malaysia"

Kelam pandangan Pak Hamka mendengar ucapan itu itu kerana dia adalah anak dari seorang Alim Besar yang dimanjakan oleh masyarakat dan "ucapan yang saya dengar  sejak kecil adalah ucapan kasih," katanya

Pak Hamka menyedari tujuan  polis untuk membangkitkan kemarahannya dan beliau tahu akibatnya jika melawan walaupun sudah berdiri kerana marah tetapi beliau sebaliknya  bersetuju  untuk membuat  suatu pengakuan(Confession) untuk ditandatanganinya tetapi anggota polis itu mengulangi tuduhan " Memang saudara pengkhianat dan pergi dari situ dengan menghempaskan pintu.

Di saat seperti itu,setelah beliau tinggal seorang diri dibilik tahanan , Pak Hamka menceritakan datanglah tetamu yang tidak diundang yang membisikkan kedalam hatinya  bahawa ada pisau kecil dalam simpanannya yang boleh digunakan untuk memotong urat nadinya yang boleh mematikannnya dengan segera.

Hampir satu jam Pak Hamka berperang hebat dalam batinnya ,antara hasutan iblis dan iman yang telah berpuluh tahun memupuknya tetapi Alhamdulillah akhirnya imannya yang  menang.

Pak Hamka terfikir kalau membunuh diri kerana tidak tahan dengan penderitaan batin,pihak polis akan menyebarkan berita mengatakan dia berbuat demikian kerana mereka telah berjaya mendapat  bukti bahawa dia sebagai pengkhianat negara.

Maka hancurlah nama besar dan kemuliaan diri yang dibina sejak berpuluh tahun dengan  modal penderitaan,keringat  dan air matanya.

Dan orang akan berkata kepadanya  " dengan bukunya  Tasauf Moden, Pak Hamka  menyeru orang agar bersabar ,tabah dan teguh hati bila  menderita sesuatu  percubaan.

Kata orang lagi,"Orang yang membaca bukunya itu selamat kerana nasihatnya  sedang dirinya sendiri memilih jalan yang sesat.Pembaca bukunya masuk syurga kerana bimbingannya dan dia akhir hayatnya memilih neraka"

Atas kesedaran ini Pak Hamka membaca kembali bukunya itu  " Tasauf Moden" disamping membaca Al-Quran.

Seorang kawan yang melawatnya bertanya " Eh Pak Hamka sedang membaca karangan Pak Hamka?.

Jawabnya " Memang Hamka sedang memberikan nasihat kepada dirinya sendiri
sesudah selalu memberi nasihat kepada orang lain.Dia hendak mencari ketenangan jiwa dengan buku in".

Saya juga telah berulang kali membaca buku ini.

Sebagai manusia kita akan menghadapi masa-masa yang menekan  perasaan dengan sedih,rindu,muram,sepi,marah  dan sebagainya dan ketika itu saya kembali kepada Tasauf Moden kerana ia memberikan kesegaran jiwa dengan kata-kata yang bertenaga atas tafsiran kefahaman agama yang luas dan tidak doa semata.

Buku ini dalam Bahasa Melayu Malaysia boleh beli disini.

Rombongan BSK (Buletin Suara Keramat) iaitu kumpulan WhatsApp   bekas persara
Utusan Melayu yang sekarang dalam kunjungan ke Padang telah melawat rumah asal Pak Hamka di Tepi Tasik Meninjau. Mereka bergambar dengan anak saudara Pak Hamka,Hanif. 





14 comments:

  1. As-Salam,

    Berapa harga buku Tasauf Moden tersebut dan bagaimana cara mendapatkanya?

    Terimakasih.

    ReplyDelete
  2. Silalah pergi ke kedai buku Darul Nu'Man Tingkat satu Wisma Yakin Jalan Masjid India Kuala Lumpur. Boleh bertanya harga dengan mereka kerana saya tidak ingat lagi.

    ReplyDelete
  3. Tanya pasal2 Tanya harga buku Tasauf Moden...wakakaka

    ReplyDelete
  4. Fakta kenapa Pak Hamka tidak membunuh diri harus dihalusi, jangan semborono...

    Adakah kerana takut menjadi penyebaran berita dia membunuh diri kerana mengkhianatu negara..

    Atau kerana Islam melarang.. Takut pada Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baca bukunya maka baru saudara mendapat jawapan yang tepat

      Delete
  5. lagi satu buku dr.hamka yang perlu dibaca ialah falsafah hidup.

    ReplyDelete
  6. Saya dah baca lama dah dan baik juga bagi sesiapa yang ingin membacanya.

    ReplyDelete
  7. Sepatah kata Pak Hamka" Orang yang redha dan sukacita bilamana ia melihat alam sekelilingnya,timbullah kesenangan dan kegembiraan.Kesenangan dan kegembiraan hati itu adalah pangkal jalan menuju bahagia. Redha menghilangkan cela dan aib.
    lantaran redha telah lekat dihati kalau ada cela itu akan lupa dalam fikiran;kalau ada cacat,cacatnya tidak disedari. Hal itu bukannya disebabkan kebodohan dan gila tetapi sudah dasar redha demikian adanya.Redha tabiatnya pemaaf dan benci tabiatnya tidak adil- Dari Tasauf Moden

    ReplyDelete
  8. Buku tasawuf moden boleh didapati dlm bentuk ebook di playbook store.

    ReplyDelete
  9. Tan Sri Zam.

    Pak Hamka ini adalah seorang ulama kesayangan arwah abah aku dikaca TV.

    Sedekah Al-Fathihah untuk mereka.

    ReplyDelete
  10. Tuan,

    Mcm pukul anak sindir mnantu aje...ki3

    ReplyDelete
  11. itu cerita hamka cerita kita bagaimana pula

    betulkah kita telah ikut apa yang kiat ucapkan dalam setiap solat atau hanya dalam solat saja
    diluar solat lupa akan segala perintah Allah

    Katakanlah: "Sesungguhnya solat, ibadah, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam

    sendiri sendiri jugak mau ingatlah

    ReplyDelete
  12. Jika deraan fizikal tiada kesan pada pak hamka...saya percaya godaan jutaan ringgit atau porsche cayenne juga tarak hal untuknya.

    ReplyDelete