Wednesday, 26 April 2017

TUTUP SEMUA SEKOLAH TAHFIZ PERSENDIRIAN SERTA MERTA

PENGETUA MADRASAH MESTI DITANGKAP
KOMEN:
Saya sangat-sangat setuju dengan pandangan Tan Sri Zam.
Terima Kasih kerana berani mengutarakan pendapat sedemikian... walaupun kelat tetapi amat bemakna demi menjaga imej, menjamin kemajuan dan kesejahteraan umat Islam.

Yang pasti... Tan Sri akan menerima kecaman hebat dari kalangan jumud pemikiran, mereka yang menggunakan Agama sebagai 'punca keWANGan besar' dan mereka yang memperkudakan Agama untuk mengaburi salahlaku moral atau kriminal.
TUTUP SEMUA SEKOLAH....
Sekolah-Sekolah tahfiz  persendirian di seluruh negara hendaklah digantung atau ditutup dengan serta merta berikutan dengan kematian  seorang pelajar Tahfiz kerana dikatakan dipukul oleh seorang pembantu warden di sekolah persendirian  Madrasah Tahfiz Al Jauhar Kota Tinggi Johor.

Tidak memadai dengan kenyataan simpati dan takziah dari Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan  lain-lain atas kematian Mohd Thaqif Amin Mohd Gadaffi 11 tahun sedangkan pada hakikatnya banyak sekolah tahfiz tumbuh secara liar, bersistem kuno dan tidak bertamadun yang mungkin akan membawa tragedi yang lebih besar.

Tragedi ini menggemparkan seluruh negara tetapi tidak mengejutkan Jabatan-Jabatan Agama  yang telah membiarkan perkembangan ini tanpa kawalan kerana menimbang ini sebagai suatu usaha keugamaan yang sewajarnya disokong.

Apa yang berlaku di sekolah tahfiz selama ini tidak diberikan perhatian oleh jabatan-jabatan agama negeri kerana dipercayai mereka juga sefahaman dengan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abdul Mutalip Abd. Rahim  bahawa  amalan merotan di sekolah-sekolah tahfiz di negeri ini adalah pekara biasa kerana bertujuan untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajar.

Tragedi yang berlaku di Johor itu adalah satu kesempatan kepada kerajaan  untuk bertindak dengan pantas dan tegas untuk melihat semula secara dekat perkembangan sekolah-sekolah persendirian tahfiz atau pun yang dijalankan oleh pondok atau sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan.

Kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor itu menimbulkan berbagai-bagai pertanyaan terhadap kebebasan istemewa yang diberikan kepada sekolah-sekolah tahfiz yang menggambarkan seolah-olah mereka terlepas dari undang-undang awam.

Katanya, pengurusan sekolah tahfiz perlu memiliki disiplin yang tinggi apatah lagi mereka datang daripada pelbagai latar belakang. Tidak mungkin ini bukan  merupakan hanya fahaman pegawai agama di negeri Johor tetapi juga pegawai agama di lain-lain negeri.

Dalam kejadian yang berlaku di Johor itu tidak seharusnya warden sahaja yang ditahan tetapi pengetua sekolah persendirian tahfiz itu sudah sewajarnya turut ditahan untuk siasatan terutama mengenai sistem disiplin yang berjalan di sekolah itu yang tidak dipedulikan oleh Jawatan Kuasa Agama di Negeri Johor.

Perkembangan sekolah-sekolah tahfiz yang tumbuh seperti cendawan sejak akhir-akhir ini lebih banyak membawa aspek negatif  kepada anak- anak Melayu Islam di negara ini. Ramai yang tidak lagi melalui pendidikan formal untuk jaminan masa depan mereka.

Perkembangan ini berlaku kerana fahaman agama yang sempit di kalangan ibu bapa. Mereka percaya dengan anak mereka menjadi hafiz maka mereka akan terlepas dari neraka terutama bagi ibu bapa yang melakukan dosa yang besar.

Kalangan swasta dengan kerjasama ustaz-ustaz yang tidak terpelajar, yang tidak pernah mendapat pendidikan yang sewajarnya selain dari hanya pelajaran agama atau hafiz, telah membuka sekolah-sekolah tahfiz  di seluruh negara kerana  menjadi punca kewangan yang besar.

Jabatan-jabatan agama di seluruh negara tidak mengambil berat atau memantau perkembangan ini dengan sewajarnya kerana sentimen agama. Dengan kejadian ini Jabatan-Jabatan agama tidak  boleh membasuh tangan atau menafikan tanggungjawab.

Walaupun ini merupakan suatu tragedi yang memalukan negara yang meletakkan kita setaraf dengan negara-negara Arab yang mundur, konservatif dan  masih mengamalkan sistem kuno tetapi telah mendedahkan  kepincangan dalam pengajaran tahfiz di negara ini yang memerlukan tindakan tegas dari pihak kerajaan.

Langkah pertama tutup dulu atau gantung semua sekolah-sekolah  Tahfiz persendirian atau yang dijalankan oleh swasta di seluruh negara.


Monday, 24 April 2017

PAS MAHU SATU LAWAN SATU DENGAN BN DI 80 KAWASAN

MENGGUNTING DALAM LIPATAN

Walapun pun lidah  rasmi  UMNO, Utusan Malaysia cuba menggambarkan kerjasama Pas UMNO untuk hadapi  Pilihanraya Parlimen ke 14 tetapi ini hanyalah indah kabar dari rupa.

Kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta izin kepada Pakatan Harapan supaya membenarkan hanya Pas bertanding  di 80 kawasan Parlimen sudah cukup menggambarkan keadaan sebenar.

Hubungan Pas dan UMNO hanyalah   antara Presiden Najib dan Presiden Hadi tetapi tidak  diakar umbi yang sedar bahawa kedudukan Najib berada di hujung tanduk dan telah tiba masa yang ditunggu oleh Pas sejak sebelum merdeka untuk mengakhiri kuasa UMNO. Penantian Pas untuk menjadi Perdana Menteri akan berakhir pada Pilihanraya ke 14.

Berasaskan kepada kajiannya,Pas sedar bahawa ia berada  pada kedudukan yang lebih kuat dari UMNO di seluruh negara dan pergantungan parti-parti lain juga kepadanya  kearah menggulingkan kerajaan BN.

Maka itu  Tuan Ibrahim dengan lantang dan tegas  meminta parti-parti pembangkang lainnya tidak melawan Pas  di 80 kawasan Parlimen yang berarti Pas mahu hanya ia diberi  peluang untuk satu lawan satu dengan BN. Pakatan Harapan bolehlah bertanding di kawasan yang berbaki dan menubuhkan kerajaan bersama PAS.

Tuan Ibrahim  memberi amaran  jika Pas dicabar di 80 kawasan itu maka ia  akan lawan sekalipun PKR atau Amanah apatahlagi  DAP. Tetapi bagaimana jika Pas di cabar UMNO(BN)?

Walaupun ada yang berpendapat cabaran ini bersifat takbur kerana  dulu pun Pas tidak boleh menang di 80 kawasan tetapi harus diingatkan suasana politik sudah jauh  berbeza, kehilangan keyakinan rakyat kepada kepimpinan Najib semakin parah.

Pas sedar bahawa apa juga serangan kerajaan Najib kepada bekas Perdana Menteri Tun Mahathir menguntungkan Pas dan  memburukan lagi kedudukan UMNO terutama  di kalangan rakyat di luar bandar kerana kesulitan hidup  yang mereka hadapi sekarang yang tidak dirasakan di zaman Mahathir.

Maka itu walaupun  Mahathir telah membuat kenyataan keras dalam soal hubungan  dengan Pas tetapi Tuan Ibrahim  masih membuka pintu rudingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang di pengerusikan oleh Mahathir malah dalam kenyataannya beliau berkata "kami menunggu kestabilan parti Bersatu dan pintu rundingan masih terbuka".

UMNO yang pada pandangan umum melukut diteping gantang kepada Pas lebih banyak mengalami kerugian politik dalam hubungan dengan Pas sekarang. Umpamanya kehilangan sokongan bukan Melayu kerana memenuhi kehendak Pas untuk pindaan Akta 355 dan membenarkan pendakwah India Zakir Naik campurtangan dalam masalah sosial dan agama di negara ini.

Disamping itu UMMO Kelantan menghadapi masaalah tidak boleh meyerang Pas kerana dasar tersembunyi hendak  berbaik2 dengan Pas sedangkan  Pas terus menyerang  kubu-kubu UMNO  di negeri itu.

Tidak nampak kejujuran dalam hubungan  Pas dengan UMNO sebaliknya apa yang berlaku ialah "Pas menggunting  dalam lipatan, pepat di luar rencong di dalam."



.

Thursday, 20 April 2017

LIM KIT SIANG HILANG KELAYAKAN MORAL UNTUK JADI PM


 KUAN YEW SURUH OTHMAN WOK "BUNGKUS" BILA KAHWIN DUA

Pertemuan terakhir dengan  Othman Wok(Allahyarham) di Singapura  dalam  tahun 2011 untuk menunjukan manuskrip buku Sejarah Utusan Melayu( 1938-2011)  Didepan Api di Belakang duri yang ditulis oleh saya .Bersama saya ialah Datuk Zaini Hassan Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu dan Rosle Azmi bekas Penulog Pengurus Jabatan Pengarang Utusan-Gambar Ihsan Mansor Putih.

Seorang Setiausaha Parlimen Singapura dipecat setelah diketahui mengunjungi rumah urut bersama rakan-rakan Utusan Melayu bila berkunjung ke Kuala Lumpur. Berasal dari Singapura beliau  pernah berkhidmat sebagai anggota jabatan pengarang Utusan di Kuala Lumpur bersama Othman Wok.

Perlantikannya  mungkin atas sokongan  Othman Wok yang menjadi menteri dalam kabinet Lee Kuan Yew(LKY)  pada tahun 1963.

Walaupun Othman Wok merupakan sahabat karib LKY tetapi kerana merahsiakan hal peribadinya berkahwin isteri kedua di Thailand dalam tahun 70 an, beliau telah dipanggil oleh  Perdana Menteri LKY setelah  mendapat aduan isteri pertamanya  Cik Dah Mohammad Nor dua tahun sesudah perkahwinan itu.

LKY meletakkan displin moral yang sangat  tinggi dan keras  kepada anggota-anggota kabinetnya, semua anggota  Parlimen Singapura dan juga pegawai tinggi kerajaan termasuk pegawai tentera.

Kita telah membaca tentang  anggota parlimen kerajaan  dan pembangkang di Singapura yang telah dipecat atau terpaksa berundur kerana skandal  yang didedahkan.

Saya menimbulkan pekara ini untuk membandingkan antara DAP di bawah pimpinan  Lim Kiat Siang yang keras dan autoritarian  yang mahu meniru cara kepimpinan Lee Kuan Yew  untuk menegakkan sebuah kerajaan sosialis yang bersih dan bermoral terutama dari segi rasuah seperti kerajaan PAP di Singapura.

Tetapi sebelum pun berkuasa,pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang pada peringkat awalnya nampak mencengkam kuat partinya  tetapi akhirnya gagal untuk mendisiplin tidak sahaja pemimpin dan anggota parti tetapi juga anaknya sendiri yang sekarang terpalit sebagai seorang suspect.

Tidak cukup dengan masalah moral anaknya yang belum selesai  tetapi seorang anggota Parlimen DAP di Penang Zairil Mohd Khir Johari yang sudah mempunyai isteri dan anak dikatakan  mempunyai skandal dengan ratu  cantik DAP Dyana Sofya yang videonya menjadi tular di media sosial.

Berita terakhir mengatakan Zairil telah memberikan keterangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai hal peribadinya dan Dyana pula dalam penafiannya mengatakan privasinya  sudah diceroboh. Selebriti samaada artis,ahli politik,bintang bola sepak dan sebagainya adalah hak rakyat dan hal peribadi mereka adalah rahsia umum.

Layakkah Guan Eng mendengar kes ini sedangkan beliau sendiri  adalah suspect ?.

Zairil menafikan bahawa beliau adalah orang yang intim dengan Dyana  di video  yang menjadi viral itu.

Tetapi di Singapura, tidak ada anggota  yang berani berbohong kepada LKY atau kepada parti.

Othman Wok mendedahkan dalam buku biografinya Never In My Wildest Dreams perihal Perdana Menteri  Lee Kuan Yew telah memanggilnya  dan mengarahkannya "berambus" jika tidak boleh selesai masalahnya  berkahwin dua.

Mulanya  Rajaratnam Menteri Kanan memanggil Othman dan memberitahunya "kami mendapat tahu saudara telah berkahwin  isteri kedua sejak dua tahun lalu.Walaupun seseorang Islam boleh mempunyai empat isteri tetapi kami bimbang"

Othman kemudiannya menemui LKY  dan menyatakan "Saya tahu bahawa saudara telah pun dimaklumkan dan Lee terus bertanya berapa  umur isteri keduanya? Othman menjawab 29 tahun. 

Ketika itu Othman telah pun mengetahui perlantikannya sebagai Duta Singapura ke Indonesia dengan  jawatannya  sebagai Menteri Hal Ehwal Masyarakat tetap dikekalkan.

Menyedari kesilapannya, Othman bertanya pada Lee apakah   beliau masih di kehendaki untuk  pergi ke Indonesia sebagai duta.

Lee Kuan Yew memberitahunya " Go ahead,but if you can't solve your problems, pack up"

Di Malaysia berapa banyak skandal yang telah berlaku di bawah beberapa Perdana  Menteri yang diketahui umum tetapi dipejamkan mata, disembunyikan atau disapu di bawah tikar .

Kesenimbungan kerajaan Barisan Nasional pastinya tidak akan membawa apa-apa perubahan tetapi harus diingatkan skandal juga telah berlaku dalam Pas dengan pendedahan penglibatan pemimpinnya menerusi video yang disebarkan, tangkapan khalwat  dan sebagainya.

Dengan kepimpinan Kit Siang yang semakin lemah dalam kawalan disiplin parti, DAP  tidak  lagi boleh diharapkan untuk memimpin Pakatan Harapan apatahlagi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Tun Mahathir  tidak setegas  dan sekeras Lee Kuan Yew dalam sikap autoritariannya tetapi kejayaan Mahathir  membina negara bermaruah, adalah setanding dengan LKY. Maka itu untuk sementara waktu Mahathir terpaksa mengetuai Pakatan Harapan menuju ke Pilihanraya Umum sekalipun tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Catitan: Othman Wok bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu dan juga Menteri Hal Ehwal Masyarakat Singapura telah meninggal dunia pada 18 April 2017.

    

Monday, 17 April 2017

OTHMAN WOK SELAMATKAN UTUSAN MELAYU KETIKA LEMAS

Perdana Menteri, Encik  Lee Hsien Loong (tengah) hadir bersama pembesar negara
dan rakyat Singapura memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham
Othman Wok di Masjid Sultan Singapura

Apapun anggapan orang terhadap Othman Wok bekas wartawan Utusan Melayu dan juga sahabat akrab Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew(LKY),tetapi kepada saya pemergian abadinya suatu kehilangan besar kerana Allhayarham adalah tauladan wartawan sejati kepada saya.

Othman Wok telah meninggal dunia hari ini di Singapura dalam usia 92 tahun.

Kepada sesetengah orang Melayu terutama di Malaysia beliau dianggap sebagai pengkhianat bangsa tetapi LKY telah menitiskan air mata kepada Othman dalam majlis meraikan usianya ke 75 tahun dalam menghargai  sumbangan dan sokongan Othman Wok kepadanya dalam tahun-tahun keruncingan di Malaysia dan dalam masa rusuhan kaum di Singapura.

Kata LKY " Because of the courage and leadership you showed,not a single PAP Malays leader wavered. That made a difference to Singapore"(  dalam buku Men In White- The untold Story of Singapore's Ruling Political Party halaman 285).


Pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Singapura
mengangkat jenazah Allaharyam Othman Wok untuk
di bawa ke  Masjid Sultan di Singapura
Disebalik gambaran Othman sebagai anti Melayu, ramai  yang tidak tahu bagaimana Othman Wok membantu UMNO khususnya Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Mohd Khir Johari dan Syed Jaafar Albar  untuk menyelamatkan Utusan Melayu bila menghadapi mogok seluruh kakitangan Utusan Melayu di Kuala Lumpur kerana pengambil alihan oleh UMNO dalam tahun 1961. Ketika itu Utusan Melayu dikuasai oleh nasionalis kiri pro Indonesia.


Mogok ini bukanlah mogok mempertahankan kebebasan akhbar tetapi mempertahankan penguasaan golongan penyokong Melayu Raya di dalam dan di luar Utusan.

Lee Kuan Yew  yang juga melihat bahaya ini di samping Tunku telah membawa bekas pekerja-pekerja bahagian kilang Utusan di Singapura  ke Kuala Lumpur untuk membantu pengeluaran semula Utusan Melayu setelah terhenti pengeluaran kerana pemogokan itu.

Kerajaan Singapura memberikan kawalan keselamatan kepada pekerja-pekerja itu yang datang dengan keretaapi kerana ada ancaman dari pemogok-pemogok  di Singapura.

Walaupun Othman  adalah kader PAP ketika menjadi Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu tetapi tidak sesiapapun yang menyedarinya kerana beliau memisahkan pendirian parti dari tugasnya dan tidak langsung menunjukkan sentimen pada PAP.Rahsia ini terbongkar hanya setelah beliau berhenti mengejut untuk bertanding dalam piliahanraya Singapura  pada tahun 1963 .

Othman menulis dalam buku Biographynya Never in My Wildest Dreams di muka 139" Being the newspaper man was the most exciting and interesting job I ever had.My 17 years of service  in Utusan Melayu were very satisfying  and if things had not turn out the way they did, I would have been a journalist till the day I died"

Othman Wok (Berbaju putih bertali leher) bersama
wartawan-wartawan Utusan di majlis perpisahan
untuknya kembali bertanding di Pilihanraya Singapura
1963. Zam di sebelah kanannya dan di kanan sekali
isterinyaCik Dah dan di belakangnya Tan Sri Khalid
Yunus
Saya mengenali Othman apabila saya ditukarkan ke Kuala Lumpur selepas mogok Utusan pada tahun 1961 dan saya sedar dia amat menyenangi saya dan bila saya ditukarkan kembali ke Alor Star, dia memanggil saya untuk membantu meliputi sidang Parlimen dan kemudian atas permintaan saya dia membawa saya kembali ke Kuala Lumpur.

Beliau menjadikan dirinya sebagai contoh seorang wartawan yang dedikasi, dengan sifat-sifat kewartawanan yang diperlukan, berpakaian lengkap dan kemas setiap hari, terkini dengan berita dan maklumat, pegaulan yang luas dan kontek yang banyak, tidak pernah kering dengan  tugas ekoran berita kepada pemberita selain tugas tetap yang dijadualkan. Datang kerja awal dan balik lewat.

Beliau berbangga  dengan pemberita yang menghasilkan berita exkslusif.

Othman mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan pekerja di semua bahagian; kilang, pengiklanan, pemasaran dan sering bergurau dengan mereka. Perpisahannya dari Utusan  menyebabkan ramai yang menitiskan air mata.

Beliau mencatitkan penilaian saya terhadapnya dengan memetik dari Utusan untuk bukunya NIMWD dimuka 138 "He moved  the entire staff under him with vigour,especially the reporters,to whom he set an example.. He led the News Desk actively and  never passively, full of planning,action,followup and initiative"

Saya terbentuk olehnya. Tauladan yang terbaik bagi saya dalam dunia kewartawanan yang rasa nilainya hingga kini.

Saya tidak pernah merasa sebagai ketua walaupun telah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu sebaliknya saya kerja keras kerana saya mahu semua orang mewarisi  sifat-sifat kewartawanan  yang disemai oleh Yusuf Ishak,Samad Ismail,Otham Wok, Melan Abdullah dan Mazlan Nordin yang membangunkan Utusan Melayu yang miskin kepada keagungan bangsa.

Seperti juga Othman saya ingat mahu menjadi wartawan sehingga ke akhir hayat saya kerana di dunia ini saya tetap merasakan denyut hati nadi rakyat dan sentiasa sedar dari mana saya datang tetapi takdir  Allah telah menjadikan saya pada suatu masa sebagai seorang  Menteri tetapi  yang saya tidak pernah bangga dan seronok dengan jawatan ini sehingga saya bersara. Namun  saya tetap menjalankan tugas itu sebagai tanggungjawab.

Othman Wok tetap membuktikan dirinya sebagai wartawan walaupun telah menjadi Menteri di Singapura. Dalam lawatannya  ke India, dia telah mencari bekas pemandu Utusan Melayu bernama Rambali anak kepada Kedar Singh yang juga pernah bekerja dengan Utusan. Dia menulis surat meminta alamatnya dari saya  dan sekembalinya dari India dia telah menulis surat  menceritakan bagaimana dia diserang oleh belalang bila menuju ke Harapur India untuk melawat Kedar Singh sehingga terpaksa berlindung di sebuah kedai.

Saya masih menyimpan surat-surat Othman.

Othman bukan the last Mohicans of Utusan Melayu tetapi ada seorang lagi yang menjadi hiasan kulit buku saya "Di Depan Api di Belakang Duri" sejarah Utusan Melayu iaitu Encik Hussein Abdul Hamid yang sekarang tinggal di Kuala Lumpur. Beliau memulakan karier kewartawanan bersama -sama Othman.

Surat Othman Wok  pada Zam September 1967 yang meminta alamat Rambali di India.
PENYERAHAN BUKU SEJARAH UTUSAN KEPADA OTHMAN

Saya merasa puas hati kerana telah dapat menyerahkan buku Di Depan Api Di Belakang Duri iaitu sejarah 70 tahun Utusan Melayu (1938-2011) kepada Othman Wok dalam tahun 2013 kira-kira empat tahun yang lalu di pejabatnya di Beach Street Singapura.

Beliau sangat gembira menerima buku ini.Saya diiringi oleh Allahyarham  Munir Ghazali bekas Pengarang Mastika dan Rosle Azmi bekas Penolong Pengurus Jabatan Pengarang Utusan.

Othman Wok adalah perintis kepada cerita-cerita hantu di Mastika di tahun 50an. Mastika kembali popular dan meningkat hingga lebih 200 ribu naskah jualannya apabila menghidangkan  cerita-cerita hantu  di bawah kelolaan Munir.

Di Kuala Lumpur buku sejarah Utusan  itu telah di lancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2013 dan diikuti dengan pelancarannya di Singapura oleh isteri Presiden Singapura Pertama Allahyarham Yusuf Ishak

Buku ini banyak mencatitkan peranan Othman Wok bersama lain-lain  wartawan Utusan termasuk Samad Ismail.

Dalam gambar ini Othman Wok sedang membelek-belek buku sejarah Utusan yang diserahkan kepadanya dan di sebelah saya ialah Munir Ghazali.


Perjalanan terakhir Allahyarham Othman Wok
menuju ke permakaman



Sunday, 16 April 2017

PROF UNGKU AZIZ BUKAN NASIONALIS TAKSUB BAHASA


DI BAWAH INI ADALAH KOMEN ATAS POSTING "HIPOKRASI DALAM PEMBUDAYAAN MELAYU" YANG DISIAR TERDAHULU DAN JUGA DISERTAKAN JAWAPAN SAYA.


" Gulongan nasionalis yang kuat dalam perjuangan Bahasa terdiri dari Professor Ungku Aziz, Syed Nasir Ismail, Professor Ismail Hussein, Professor Hamid Bakar, Hassan Haji Ahmad, Nik Safiah, Ainuddin Wahid dan beberapa orang lagi yang kebanyakannya berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga di Universiti Malaya dan Singapura."

Maaf, saya tak kenal nama2 yg disebut diatas tapi saya terpanggil untuk memberi komen. Apa bukti yang Prof Ungku Aziz termasuk dalam golongon nasionalis yg taksub bahasa melayu? Saya tak pernah terbaca atau dengar Ungku Aziz memberi saranan untuk melupakan bahasa inggeris. Cuma seingat saya Ungku Aziz lebih terbuka dan tidak taksub kepada bahasa inggeris. Beliau mengagumi etika dan cara kerja bangsa jepun dan lebih kepada 'pandang ketimur' dari barat.

Prof Ungku Aziz adalah pejuang bangsa yang tulin. beliau bukan hanya bercakap kosong akan tetapi memberi pandangan & cadangan yg praktikal untuk memajukan bangsa melayu walaupun dna beliau bukan melayu tulin.
ReplyDelete

zainudin maidin16 April 2017 at 13:24
Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan saudara dan saya adalah seorang yang mengikuti perjuangan Pak Ungku Aziz bekas Naib Chancelor UM dan isterinya Kak Azah dari awal lagi. Mereka adalah intelektual yang sangat saya hormati.Jika tidak silap saya Pak Ungku adalah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang pertama.

Dalam soal ini,saya hanya menjadikan Pak Ungku sebagai contoh tokoh elitis berpendidikan Inggeris yang anaknya Zeti  mencapai kejayaan tersuhur didunia kerana pendidikan menerusi bahasa Inggeris dan Pak Ungku bukanlah seorang fanatik bahasa dalam memperjuangkan kedudukan Bahasa Melayu.

Bagaimanapun perjuangan untuk kedaulatan Bahasa Melayu oleh fanatik bahasa yang terdiri dari mereka yang berpendidikan Inggeris telah sampai  keperingkat anak-anak Melayu memandang Bahasa Inggeris tidak penting dan mereka yang mahukan kedudukan Bahasa Inggeris di kekalkan sebagai bahasa kedua telah dimusuhi.Jika bercakap dalam bahasa Inggeris dihina.

Akhbar Utusan Melayu telah  di bakar oleh fanatik -fanatik bahasa yang berpendidikan Inggeris di Dewan Bahasa dan Pustaka  dan juga gambar PM Tunku Abdul Rahman kerana Utusan mahu mengekalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini. Ingkatkah Sajak Tongkat Warant Keranda 67.

Jika bantahan mereka itu  diterima maka sekarang orang Melayu benar -benar berada dalam keranda kefantikan bahasa.

Tunku marah pada Syed Nasir kerana membiarkan Dewan Bahasa digunakan untuk bakar gambarnya dan Utusan Melayu. Tunku dengan sinis berkata" jika tak cukup gambar saya  di Dewan Bahasa ,pilah ambil di rumah saya. Banyak yang lagi cantik". Saya berada di Ipoh meliputi ucapan Tunku itu.

Saya bersetuju penuh dengan pandangan saudara yang adil dan penuh hormat terhadap Pak Ungku.
Delete

Saturday, 15 April 2017

HIPOKRASI DALAM PEMBUDAYAAN MELAYU



KONGRES 2017 KELUARLAH  DARI KEPOMPONG


Kita tidak harus hipokrasi dalam soal pembudayaan Bangsa Melayu dan hadapilah realiti masyarakat Malaysia dengan berani jika kita hendak memperkasakan  Melayu dengan nilai yang boleh menghadapi cabaran antarabangsa.

Pertama sekali kita harus akui bahawa sentimen ke Melayuan selepas merdeka telah dibangunkan oleh dua golongan Melayu  terpelajar  Inggeris iaitu suatu  golongan yang mengikut arus sentiment ke arah nasionalisme Melayu dan suatu  golongan lagi yang percaya kepada ketamadunan Melayu menerusi Bahasa Inggeris.

Kedua-dua  golongan adalah dari pendidikan Inggeris, kelas elitis, aristokratik  dan  juga bangsawan yang walaupun dari aliran yang sama tetapi tidak sama dalam pendekatan kearah membangun kekuatan bangsa.

Pertembungan berlaku antara dua golongan ini untuk mendapat sokongan orang Melayu terutama dari guru-guru Melayu yang menjadi tulang belakang perjuangan kemerdekaan,orang kampung disamping golongan ustaz atau pondok.

Dalam dunia politik, anak-anak Melayu  yang berpendidikan Inggeris terutama dari  UK  atau Australia  lebih  realisitik seperti Tunku Abdul Rahman,Tun Abdul Razak, Tun Dr.Ismail, Sardon Zubir, Mohd Khir Johari dan lain-lain.Mereka menjadi pengawal kepada sentiment Melayu  agak keberatan untuk gantikan  Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dalam semua bidang.

Walaupun Tun Razak sejalan dengan pemikiran Tunku Abdul Rahman tetapi beliau terpaksa mengambil kesempatan tunduk kepada sentimen Melayu dalam isu penubuhan UKM apabila Datuk Harun Idris  Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan juga Menteri Besar Selangor lebih  ke hadapan dalam soal ini. Ini adalah kerana persaingan politik.

Gulongan nasionalis yang kuat dalam perjuangan Bahasa terdiri  dari  Professor Ungku Aziz, Syed Nasir Ismail, Professor Ismail Hussein, Professor Hamid Bakar, Hassan Haji Ahmad, Nik Safiah, Ainuddin Wahid dan beberapa orang lagi yang kebanyakannya berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga di Universiti Malaya dan Singapura.

Tidak dapat dinafikan kekuatan  sentimen mereka telah  membantu melahirkan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti  Kebangsaan Malaysia(UKM) dan mempercepatkan jumlah peningkatan  anak-anak Melayu ke Unversiti -Universiti tetapi dalam pada itu sentimen ini juga  memakan  korban yang tidak sedeikit  dalam kemerosotan Bahasa Inggeris di negara ini  dan menyekat perkembangan dan kecepatan  kemajuan ilmu di kalangan anak-anak Melayu dari luar bandar kerana memerlukan terjemahan yang mengambil masa dan juga pengeluaran buku-buku teks dalam Bahasa Melayu.

Golongan elit Melayu yang berkualiti semakin pupus kerana nilai pelajaran menerusi Bahasa Melayu dan yang menjadi mangsa ialah anak-anak Melayu dari kampung sedangkan anak-anak golongan elit Melayu berpendidikan Inggeris yang memainkan sentimen Melayu, terus mendapat pendidikan berkualiti samada oleh suasana pendidikan di rumah atau menghanatr anak mereka ke luar  negara.

Mereka ini berbahasa Inggeris dengan anak-anak mereka di rumah disamping menjadi juar  bahasa Melayu di medan perjuangan.Kerana itu anak-anak mereka dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan lancar dan tidak menderita perasaan rendah diri.

Anak-anak merekalah  yang menjadi kesenimbungan golongan elitis Melayu yang berkualiti dan mendapat  kedudukan yang utama dalam pemerintahan negara,dalam dunia koporat  dan di bidang  penswastaan dan juga politik.

Umpamanya Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Ungku Aziz  anak kepada Profesor Ungku Aziz, Syed Yusuf anak kepada Syed Nasir Ismail Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka,Syed Hamid Albar anak kepada Syed Jaafar Albar dan ramai lagi anak-anak pegawai tinggi kerajaan yang berpendidikan Inggeris.

Buatlah kajian secara jujur golongan elit yang menguasai berbagai bidang professional dalam kerajaan atau di luar kerajaan sekarang. Kebanyakan mereka adalah dari keturunan bangsawan atau elit Melayu yang berpendidkan Inggeris.

Tidak ramai lagi intelektual  yang  bersifat universal  dalam kategori  kualiti sosial dan pemikiran yang setaraf dengan mereka yang berpendidikan di zaman British  seperti professor Kho Kai Kim, Profesor Ismail Hussein. Kassim Ahmad,Omar Hashim,Hassan haji Ahmad,Ahmad Mustaffa,Nik Safiah, Johan Jaafar dan lain-lain lagi. Walaupun  berpendidikan Inggeris tetapi  mereka mempunyai pengetahuan mendalam dalam Bahasa Melayu disamping penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.

Bahasa Inggeris memberikan kekuatan kepada  nilai-nilai Melayu dengan keterampilan  Melayu berkualti yang percaya kepada diri sendiri dan tidak menderita perasaan rendah diri.Lihat sahaja   Rais Yatim, Ungku Aziz,Tunku  Abdul Rahman, Tun Razak,, Tun Ismail, Tun Mahathir  dan lain lain lagi yang setanding dengan gulongan  para professional dan pemimpin  antarabangsa.

Kualiti untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia  pun masih dinilai dari segi  kecekapan penguasaan Bahasa Inggeris.Maka itu kelemahan Bahasa Inggeris Dr. Zahid Hamid di tonjolkan dan Hisammuddin Onn diberikan kelayakan  menjadi Perdana Menteri.

Rais Yatim juga dihormati dan dikagumi  kerana penguasaan Bahasa Inggeris yang hebat seiring  dengan  Bahasa Malayunya yang sempurna dan indah walaupun beliau berpendidikan Inggeris.

Keupayaan Bahasa Inggeris yang membuka kepada pembacaan yang luas mencabar minda,mengimbangi cara berfikir dan membolehkan mereka menampilkan pemikiran dan keperibadian Melayu  dengan kewibawaan dan kekuatan sendiri  tetapi kelemahan anak-anak Melayu sekarang dalam hal ini membataskan pergaulan  kepada kelumpuk sendiri sahaja menyebabkan pemikiran sempit   sehingga  Arabisasi dianggap  sebagai  kekuatan Islam dan Melayu.

Harus di ingatkan bahawa akhbar  Utusan  Melayu sendiri adalah di lahirkan oleh anak Melayu  berpendidikan Inggeris dari keturunan Minang iaitu Yusuf Ishak yang setelah keluar dari dunia kewartawanan,  menjadi Melayu  Pertama  sebagai  Presiden Singapura. Beliau dan adik-adiknya yang mendapat tempat dalam kerajaan Singapura adalah anak  kepada Pegawai Perikanan Melayu bagi Negeri-Negeri Selat.Semuanya berpendidikan Inggeris.

Aziz Ishak adik kepada Yusuf Ishak yang juga wartawan Utusan Melayu telah dihantar  oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya General Templer untuk mewakili semua akhbar di Malaya bagi laporan dalam Bahasa Inggeris mengenai  Pertabalan Queen Elizabeth di tahun1955.

Wartawan-wartawan Utusan Melayu generasi pertama juga adalah dari pendidikan Inggeris seperti Ishak Haji Mohamad ,Abdul Samad Ismail, Aziz Ishak ,Othman Wok, Hussein Abdul Hamid  dan lain-lain. Perjuangan pertama Utusan Melayu bila di lahirkan pada tahun 1939 adalah untuk menentang Arabisasi  ke atas Orang Melayu  dan  menentang Keturunan Arab(DKA) yang mengexsploitasi orang Melayu di Singapura dan Johor.

Kongres Budaya 2017 harus dapat melihat asas kekuatan Melayu sebenar yang  terbina sejak merdeka tidak  diatas asas racism Melayu dan agama  yang sempit tetapi bersifat kosmopolitan dan berkualiti antarabangsa yang dijuarai dengan berani oleh Tunku Abdul Rahman,Tun Razak, Tun Dr.Ismail dan Tun Dr.Mahathir dan lain-lain rakannya.

Tan Sri Rais Yatim harus secara jujur melihat kekuatan dirinya sendiri.Kita harus membawa keluar orang Melayu dari sentimen Nusantara yang sempit seperti yang di lakukan oleh Tunku Abdul Abdul Rahman Putra Al-Haj walaupun menghadapi konfrantasi Indonesia.

Kerana kekeliruan dan hipokrasilah maka kita sekarang berundur kebelakang dalam bidang politik, sosial dan agama dengan memainkan kembali sentimen perkauman dan agama sampai pada peringkat mencacatkan Perlembagaan Negara atas kepercayaan akan menjadi bangsa dan agama yang kuat. Sebenarnya ini adalah kepalsuan dan penipuan diri sendiri.

Thursday, 13 April 2017

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN ONN PERDANA MENTERI MALAYSIA


Apapun tafsiran dan anggapan tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib telah memperkukuhkan lagi kewibawaan politiknya dengan keberanian mengambil risiko melantik sepupunya  Menteri Pertahanan  Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn  menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas di JPM.

Perlantikan ini sekali gus mengesahkan masa depan negara di dalam tangan  Hishammuddin  sebagai Perdana Menteri. Beliaulah bakal Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi  hanya sekadarkan sesuai untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri buat selamanya. Itupun  jika beliau tidak menderhaka.

Harus diingatkan bahawa Najib mengambil tindakan ini dalam keadaan  krisis keyakinan rakyat terhadapnya  sedang memuncak  dan dalam keadaan ramai melihat  Zahid sebagai pengganti.

Zahid adalah seorang yang paling popular dalam parti,jauh lebih popular dari Hisahmuddin yang kemenangannya  sebagai Naib Presiden UMNO terus diragui kerana adanya sokongan Istana dan juga songlap politik.

Terbukti Najib  sanggup melakukan segala-galanya untuk mempastikan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri setelah berjaya meruntuhkan halangan Mukhriz Tun Mahathir dan sanggup mengambil risiko tinggi menyekat hasrat bergelora Zahid untuk menjadi Perdana Menteri.

Zahid mesti menerima hakikat bahawa pada pandangan Najib beliau hanya layak sekadar menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti Tun Mahathir menilai Gafar Baba tetapi Najib lebih telus dalam hasratnya tanpa membaling batu sembunyi tangan. Beliau tidak secara langsung telah memberitahu negara Hishammuddin lah Perdana Menteri walaupun demoralising Zahid.

Hishammuddin yang telah terjamin masa depannya tidak boleh menasihatkan orang ramai dari membuat berbagai andaian walaupun Zahid  telah  terpkasa menelannya dengan pahit apabila membuat kenyataan menerima baik perlantikan Hishamuddin itu. Ia adalah  ibarat isteri pertama yang  memberikan senyuman pahit dalam mengizinkan  suami beristeri dua kerana takdir dan jodoh.

Zahid mestilah menerima hakikat ini walaupun pahit jika beliau  hendak terus memelihara statusnya. Orang Jawa terkenal kerana kesetiaannya  dan kepimpinannya tetapi   orang Jawa di Malaysia khsususnya dalam UMNO hanya sekadarkan menjadi alat politik dan tidak setaraf dengan Jawa Indonesia yang boleh menjadi pemimpin pertama dan memerintah seluruh negara dari Sabang ke Meroke.

Najib telah membuktikan  kebenaran kepercayaannya bahawa kuasa adalah bergantung  kepada keupayaan menabur dedak mengikut taraf dan untuk itu Wang adalah Raja. Malangnya Zahid ada wang tetapi tak boleh jadi Raja.

Sunday, 9 April 2017

PENGARABAN MELAYU: RAIS YATIM NAFI SULTAN JOHOR DAHULUINYA

NASHARUDDIN: YANG PERLU DIHIDUPKAN BUKAN ARABISASI  (lihat berita di bawah sekali)

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Dr. Rais Yatim menafikan bahawa beliau tidak mempedulikan pembudayaan Arab ke atas Bangsa Melayu menerusi Islam dan juga kemungkinan Forest City di Johor akan menjadi Pusat Pengembangan Kebudayaan China di Malaysia.

Perkara ini telah saya bangkitkan dalam posting saya baru-baru ini yang menyebutkan  Sultan Johor mendahului  Rais Yatim dalam teguran terhadap orang melayu menerima anasir -anasir kebudayaan Arab sebagai kebudayaan Islam
Dalam suatu  interviu dengan The Star tahun lalu, baginda dengan  tegas telah meminta orang Melayu jangan meniru Arab dan "Mereka yang mahu jadi Arab boleh pergi tinggal di Arab Saudi."

Saya menimbulkan  pekara ini menjelang Kongres Budaya pada 15 April ini di UKM  kerana Rais Yatim nampak seperti tidak sensitif terhadap  pengaraban yang sedang berlaku dalam bangsa Melayu. 

Disamping itu saya juga menyatakan kebimbangan Forest City di Johor disamping menjadi pusat terbesar perniagaan dan perusahaan orang China dari tanah besar China juga akan  menjadi pusat pengembangan kebudayaan China di Malaysia.

Berikutan dengan itu seorang pegawai Tan Sri Rais telah mengepos kepada saya  interviu Rais Yatim dengan wartawan akhbar The Star Online semasa beliau menjadi Menteri Kesenian,Kebudayaan dan Warisan yang tersiar pada 17 April 2004 yang antara lain meminta orang Melayu berhenti mengarabkan budaya mereka    ( Arabisation of Malay Culture

Katanya" Melayu bukan Arab.Kerana itu sangat penting kita tidak mengarabkan kebudayaan Melayu sehingga setiap sesuatu yang dilakukan oleh orang Arab  kita mesti melakukannya."
Saya juga telah menyatakan bahawa Pusat Kebudayaan China paling besar akan lahir di Forest City Johor.
Pegawainya menjawab "Dek kerisauan itulah Kongres Budaya diadakan untuk bincang pendekatan menghadapi influx kemasukan elements asing ini.

Kita tunggu dan lihat apa katanya ketika merasmikan Kongres Budaya itu kelak dan apakah tindakan susulan dari hasil atau keputusan kongres ini.

Di bawah ini diperturunkan sepenuhnya interviu  The Star Online dengan Rais Yatim


JUNE H.L. WONG

KUALA LUMPUR: Malays should put a stop to the “Arabisation” of their own culture and challenge those who condemn as unIslamic deep-rooted practices and traditions of the community. 

“The Malays are not Arabs. Therefore, it is important that we do not “Arabise” the Malay culture to the extent that everything that the Arabs do, we must do,” said Arts, Culture and Heritage Minister Datuk Seri Dr Rais Yatim. 
“The Malay culture arose from time immemorial, even before 1409 when Islam came to Malacca, and we cannot simply ignore that period from which we came,” he added in an interview here with The Star early this week.  
Dr Rais stressed that he was not anti-Arab culture. 
“That's not to say I hold contra-views against the Arab culture. In fact, the Arab world has many aspects that have benefited and enriched the world in terms of medicine, art, poetry and so on.  
“Even Bahasa Malaysia is imbued with salient influences from Arabia. 
“But the community should not be influenced to the extent that they are blinded into thinking that all that is Arabic is good for them.” 
Asked whether the Government was concerned by the situation, Dr Rais replied: “It is and (this concern) has not been publicly or adequately expressed.” 
He pointed out that traditions like wayang kulit which had been condemned as unIslamic by some people, had gone unchallenged. 
“We just, in chorus, say 'Aha, perhaps so' but we never fight back to say that this is a deep-rooted tradition of the Malays since time immemorial. (We should ask:) 'Put to us which (Islamic) tenet is being violated.' Nobody says that.  
“Therefore, the ministry is concerned with such a development and we are not going to accept it just because somebody says it (is so),” he said. 
Dr Rais added that the fervour that began in 1983 in accepting as gospel anything with the world “Islam” in it was dying down. 
“That seems to be changing now with Islam Hadhari that the Prime Minister (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) is talking about lately. That is the practical, progressive sort of Islam that we should accept,” he said. 
During the nearly two-hour long interview, Dr Rais, who was appointed Minister of the redesignated Arts, Culture and Heritage Ministry (formerly known as the Culture, Arts and Tourism Ministry) after last month's general election, promised to also “put on the map again what was lost” in reference to Malay performing arts such as the mak yong and manora which had been banned by PAS in Kelantan and Terengganu.  
“This is where I would say politics and culture don't seem to mix in the hands of those responsible in the past decade,” he said. 
He added that he was also interested in the “buried past of the Baba and Nyonya in Penang and Malacca, and the Sanskritised elements of the culture.” 
“They are all very rich. I think studies must be encouraged and we would like authoritative, serious people to go into these fields and produce research for us,” he said. 
On the heritage element in the national language, Dr Rais felt that the most glaring aspect was how it was being spoken in the country. 
“This can also be a question for the Education Ministry but in the heritage department, we would like to say: Do not make the language so rojak (mixed) so as to make it unintelligible in the future. The French don't mix their language with other words. But in Malaysia, half our sentences is in English while the other half is in Malay. In the end, we don't pick up the good parts in either language. 
“I've already told my officers: “When you give briefings, either you give it in Malay or you give it in English. Don't make a rojak out of it,” he added. 
JANGAN KELIRU ANTARA ARABISASI DAN TUNTUTAN ISLAMISASI

Bangkok 9 April-Masyarakat Islam diminta tidak keliru antara proses Arabisasi dan tuntutan Islamisasi.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Dr.Nasharuddin Mat Isa berkata Arabisasi menjadi trend yang bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di rantau ini.

" Yang perlu dihidupkan adalah proses Islamisasi dan bukannnya Arabisasi sebab bukan semua Arab itu adalah Islam.

" Islam juga datang bukan untuk menghapuskan budaya,bangsa dan sebagainya.Jadi yang paling penting kepada kita adalah dasar-dasar Islam itu daripada sumber-sumbernya Al Quran,sunnah dan sebagainya,"katanya kepada Bernama.
Nasharuddin yang dilantik mengetuai GMM pada 2015 berkata ramai yang hendak menjadi Arab kerana menjangkakan Arab itu adalah Islam dan Islam itu adalah Arab yang pendapat itu adalah salah samasekali.
Rumpun Melayu,katanya,amat kaya dengan khazanah budaya sendiri yang tidak bercanggah dengan syarak.
Ajaran Islam bukanlah sesuatu yang sempit dan ketat kerana Islam memberikan ruang kepada bangsa dan budaya,selagi ia tidak bertentangan dengan syarak,ujarnya.
Nasaruddin berada di Bangkok kerana menyampaikan ucaptama di Universiti Chulalongorn.


  1. Read more at http://www.thestar.com.my/news/nation/2004/04/17/rais-stop-arabising-malay-culture/#EY4oQzzJVxvDULGP.99

Thursday, 6 April 2017

SUATU LAGI KONGRES BUDAYA DALAM MIMPI


SULTAN JOHOR LEBIH DAHULU SAMBUT CABARAN RAIS YATIM

Amat silap sekali jika Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia , Tan Sri Dr Rais Yatim  menganggap Raja-Raja Melayu tidak memberikan perhatian terhadap warisan yang perlu dipertahankan oleh mereka  untuk mengekalkan warisan bangsa yang melibatkan perihal agama,ada resam dan perpaduan rakyat.
Interviu khas dengan akhbar The Star pada 24 Mac 2016 dengan jelas menunjukkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor,Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mendahului Rais Yatim dalam kesedaran terhadap ancaman sebenar yang dihadapi yang menggugat warisan itu.

Baginda telah mengemukakan fakta dan realiti yang sebenar yang tidak berani disentuh oleh para budayawan Melayu terutama Tan Sri Rais Yatim sendiri kerana ia adalah merupakan perkara yang sangat sensitif  untuk disuarakan.

Sebagai Ketua agama di negeri, Baginda telah menjalankan tanggungjawab dengan berterus terang menitahkan agar orang Melayu tidak menjadi orang Arab yang bukan sahaja tanpa sedar meruntuhkan keperibadian asal orang Melayu sebaliknya akan melibatkan penerapan nilai  sosio budaya dan politik yang merbahaya kepada perpaduan rakyat negara ini.

Kita melihat bahaya ini datang dari RUU355 (Pindaan Kontroversi Akta Mahkamah Syariah) dan  anak Johor yang sedar,Mohamed Taufik  Tun Dr.Ismail telah tampil kehadapan mengemukakan saman untuk menyekat pembentangannya di Parlimen.

Sebelum ini beberapa orang peguam Islam terkenal telah pun mengingatkan bahawa perbuatan itu  bertentangan dengan Perlembagaan Negara tetapi kelemahan politik Melayu telah menyebabkan parti pemerintah sendiri bersubahat untuk mengikis teras pengukuhan pembinaan bangsa Malaysia yang dijuarai oleh parti politik kearaban yang tidak berpegang kepada asas cara pendekatan bersopan Melayu.

Barangkali “ Bangsa Johor” yang dipromokan oleh baginda boleh menjadi benteng kepada kemaraan budaya yang merbahaya ini.

Sebahagian besar budayawan kita berada dalam keadaan tidak sedar penerapan yang semakin agresif nilai kearaban yang menghakiskan identi bangsa yang indah dan sejati sejak beratus tahun termasuk  isitilah-isitilah Bahasa yang telah sebati sebagai pengucapan bangsa.

Walaupun dalam beberapa hal saya tidak bersetuju dengan baginda tetapi dalam soal memisahkan nilai   kearaban dan keIslaman,  Sultan Johor tidak terkeliru dan jelas  mengenali ancamannya  berbanding dengan budayan Melayu yang terus tenggelam dalam  retoric Tamadun Melayu Teras Budaya Melayu tanpa  mengenali hakisan sebenar yang sedang berlaku.

Adat-adat istiadat Melayu dan ketamadunan Melayu  tidak boleh dipertahankan dengan retoric berulang-ulang  tanpa penghayatan terhadap anasir perosak budaya yang datang menerusi kelemahan fahaman sempit dan dogamatik agama.

Membaca kembali interviu khas baginda  dengan akhar The Star setahun yang lalu maka saya nampak bahawa baginda dapat melihat bahaya yang lebih besar disebalik penonjolan keperibadian  atas kepercayaan sebagai keislaman yang sedang berlaku sekarang.

Baginda telah pun bangkit sebelumpun  Kongres Budaya 2017 membuat resolusi supaya majlis raja-raja Melayu bangkit dan  tidak berdiam diri dalam pekara yang berkaitan adat istiadat  dan Agama Islam(dalam cadangan).

Para budayan yang membuat seruan ini sebenarnya berada dalam khayalan sedangkan baginda bertitah atas realiti.

Interviu baginda dalam hal ini dengan  The Star diharapkan akan membuka mata
Tan Sri Rais dari terus berada dalam kesamaran melihat ancaman sebenar kepada  ketatasuliaan , kesenian dan keperibadian negara.

Jika Kongres Budaya 2017 tidak ditarik perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh Sultan Johor maka  untuk kesekian kalinya,kita  akan menghabiskan masa dan wang membincangkan  idealisme yang telah basi dan gagal dipertahankan dalam dunia yang semakin tecabar oleh nilai-nilai antarabangsa yang memerlukan penyesuain  budaya Melayu dengannya. Penyesuaian inilah yang sedang  menghadapi halangan besar dari pemikiran-pemikiran kearaban.

Pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu telah berjaya dalam peperangan politik dengan   golongan ini  yang menggunakan agama dan kemenangan inilah yang  membolehkan negara berada dalam  pemodenan dan kemajuan seperti sekarang ini tetapi sekarang kita sedang mengalah kepada mereka.

Dalam interviu yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 24 March 2016,Sultan Johor menyeru orang Melayu supaya  BERHENTILAH  MENIRU ORANG ARAB atau dalam Bahasa Inggerisnya “STOP TRYING TO BE LIKE ARAB”.

Walaupun jeritan tajuk ini seolah-oleh nampak seperti luahan perasaan marah tetapi jika dibaca keseluruhannya maka banyak terdapat  kebenaran dan ketajaman baginda  dalam menihat keruntuhan sebenarnya yang dihadapi oleh keperibadian Melayu.

Siapakah yang berani melawan arus menghadapi  cabaran yang bertopengkan agama seperti keberanian baginda sebagai ketua agama negeri.  Apakah Kongres Budaya 2017 seberani baginda untuk mempertahankan sesuatu yang benar yang terpendam di kalangan orang Melayu yang progresif dan dinamik.

Saya mengambil  berapa aspek yang penting dari pandangan baginda yang sewajarnya diberikan perhatian oleh Kongres Budaya 2017 yang akan diadakan padadi UKM pada 15 April depan.

Baginda menyeru orang Melayu agar jangan membuang budaya mereka yang unique dan merasa tergugat dengan mereka yang  mahu mencegah orang Islam dari meneruskan  amalan berjabat salam (antara lelaki dan perempuan) yang telah pun diamalkan sebagai suatu tradisi mengalu-alukan antara satu sama lain.
Sultan Ibrahim  menegaskan bahawa  baginda tetap berpegang kepada “Adat dan tradisi Melayu sebagai seorang Melayu kerana saya di lahirkan sebagai seorang Melayu”

“Jika ada diantara kamu yang mahu menjadi Arab dan mengamalkan budaya Arab dan tidak mahu mengikut adat Melayu dan tradisinya maka terserahlah kepada kamu.

“ Saya juga mengalu-ngalukan jika kamu hendak pergi tinggal di Arab Saudi.
“Itu adalah hak kamu tetapi saya percaya terdapat Melayu yang mahu mempertahankan Budaya Melayu. Sekurang-kurangnya saya tulen  dan tidak hipokrit dan  demkian juga rakyat Johor yang mengenali raja mereka.”

Baginda juga menyatakan bagawa baginda  lebih selesa menggunakan istilah Hari Raya dari Eid al-Fitr atau Bulan Puasa dan bukannya iftar.

“ Saya telah menggunakan istilah Melayu ini sejak kecil dan menggunakannya kepada ayahanda saya sejak lebih 50 tahun.

“ Saya tidak berhajat untuk menggantikan istilah ini dengan istilah Arab”
Baginda juga menegaskan bahawa kepercayaan  kepada agama tidak boleh berasaskan kepada pameran luaran seperti pakaian untuk menunjukkan hubungan dengan Allah  tetapi apa lebih penting ialah apa yang dihati dan difikiran.

Kata baginda, salah  untuk mengadili orang lain dengan pameran luarannya sebaliknya “Allah yang akan mengadili kamu dan jika mahu menasihatkan seseorang panggillah mereka dan berbisiklah kepada mereka dan jangan memalukan mereka.”

Sultan Ibrahim menceritakan bahawa semasa Kembara Mahkota, baginda telah berjabat salam dengan ribuan rakyat termasuk wanita.
“Kenapa saya mesti tukar kebiasaan ini? Awak tidak perlu fanatic. Jika wanita tidak pasti, saya bertanya adakah mereka mahu berjabat tangan dengan saya dan jika tidak mahu, tiada masalah.”

Baginda menegaskan bahawa “ Ini adalah cara Johor dan mesej saya kepada yang tidak mahu berjabat tangan pergi jauh”

Sultan Johor juga tidak senang dengan JKR Batu Pahat yang meletakkan notis di papan tanda di sepanjang jalan mengingatkan wanita mengenai dosa tidak menutup rambut mereka.

“Ini salah. Ini bukan peranan mereka. Sejak bilakah JKR terlibat dengan  peranan ini?”.

“Sejak bilakah JKR di peringkat negeri atau daerah bertanggungjawab atas urusan agama. Tugas utama mereka ialah memastikan jalan berada dalam keadaan baik dan bukan bimbangkan soal perempuan tidak menutup kepala .”
Sultan Ibrahim juga menyebutkan perihal orang Arab  termasuk di UAE yang  mulai  keluar dari bawah tempurung.

“Mereka mulai terbuka. Dulu perempuan Arab Saudi tidak dibenarkan memandu tetapi sekarang boleh malah ada yang sertai politik. Keadaan yang sama juga berlaku di Iran”

Mungkin ada orang menganggap pekara yang dibangkitkan oleh baginda sebagai remeh temeh tetapi baginda  tidak hipokrit,berani berterus terang dan ikhlas dalam melihat orang Melayu yang suatu masa dahulu telah maju ke depan dengan budaya mereka sebagai perisai utama  dalam menerima pemodenan tetapi sekarang menjadikan sifat-sifat kearaban sebagai anasir yang menyusahkan mereka untuk melihat sesuatu dengan  fikiran terbuka dan bertindak sejajar dengan nilai-nilai antarabangsa.


Adakah Kongres Budaya 2017 mempunyai kewibawaan ini  atau akan terus membuat keputusan yang tidak berasaskan realiti dan kemudian lemas dalam timbunan fail  kertas  keputusan yang  berasaskan  mimpi dan khayalan zaman gemilang yang tidak akan kembali lagi dan semakin jauh dari realiti sezaman.