Thursday, 28 April 2016

JOHAN JAAFAR AKAN LANCARKAN KARYA ZAM " SAYA BUKAN MENTERI"


Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaafar akan melancarkan buku terbaru saya   "Saya Bukan Menteri" di Pentas Aktiviti Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Serdang, Malaysia Agro Exposition Serdang (MAEPS) pada hari Sabtu ini 30 April jam 10 pagi.
Buku ini adalah memoir kehidupan saya dari seorang anak kampung yang berpelajaran rendah, memajukan diri sendiri dan meningkat dalam dunia kewartawanan, menjejaki tangga sebuah Universiti terkemuka di US dan seterusnya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu  yang dianugerahkan Wartawan Negara.

Ketika negara menghadapi krisis politik, setelah tersingkir  dari jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, saya telah dilantik menjadi senator dan seterusnya menjadi Menteri yang bukan  menjadi matlamat hidup saya. Ia menjadi suatu penyeksaan batin yang tidak diketahui ramai.

Setelah berakhir karier politik, saya dilantik menjadi Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Mahathir Universiti Utara Malaysia (UUM)  yang antara syaratnya mestilah menghasilkan sebuah buku dan "Saya Bukan Menteri" adalah tajuk yang saya pilih.

Saya amat berbesar hati kerana rakan karib saya, Tan Sri Johan Jaafar yang mengambil alih jawatan saya sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu telah sudi untuk melancarkan buku ini. Ini adalah suatu penghormatan kepada saya walaupun TSJJ  menganggap ini penghormatan saya kepadanya.

Semua warga Utusan, rakan - rakan dan orang ramai yang mengenali atau tidak mengenali saya adalah dijemput untuk turut  hadir bagi memeriahkan majlis ini. TS Johan tidak sekadarkan akan melancarkan buku ini tetapi beliau juga akan memperkatakannya.

Monday, 25 April 2016

DISINILAH KAMI BERTUKAR MAKLUMAT RAHSIA LUCU DAN LUCAH

ULASAN TERHADAP" BULETIN SUARA KERAMAT" KETEPIKAN AGAMA DAN POLITIK
panglimo potaseh25 April 2016 at 21:44
Saya tertarik dengan ungkapan untuk mengenepikan perkara politik dan ugama didalam kumpulan whatsap Buletin Suara Keramat suara bekas wartawan-wartawan Utusan .Saya akui kedua perkara ni dah jadi macam rojak .. dicampur gaul dengan semahunya. Kedua perkara ini telah ditegakkan sebagai alat menutup dan melindungi perlakuan songsang dan tak beramanah. 

Pendekatan dakwah kita, walaupun berjaya membungkus wanita kita, tapi ugama ini dah jadi semakin pelik. Setiap langkah ada doanya, teringat saya episod TV 70an, tentang aktiviti harian keluarga Kristian "Little House In The Preire". 

Kebelakangan ini melalui GB dan whasap kita seronok menabur hadis yang tak tentu sahihnya .. akhirnya kita lihat sahaja apa yang berlaku .. berebut tudung, air doa dijual RM4.50 sebotol kecil, makanan sunah, seronok berumrah berkali-kali, setiap yang Arab dan Jawi itu lah agama yang sebetulnya .. dah jadi macam cerita kartoon. 

Cara beragama dinegara kita telah menjauhkan hubungan antara kaum. Dulu pada tahun 80an kita boleh lagi minum teh bersama roti bakar atau nasi ayam di restoren Cina atau pekena nasi atas daun pisang di kedai India, sekarang ni jangan buat pasal. Kalau kita berterusan menjarakan diri dengan orang kafir, jadi macamana untuk kita mengembang U

Dari kiri Hamid Yahya, Latif Nordin, Shamsudin Abu Bakar,  Zam,  Johan Jaafar, Zahari Affandi, Ali Jaafar, Rosle Azmi dan Syed Agil Syed Jaafar(Jurugambar terkemuka). Saya berbaju Melayu kerana tak sempat menyalinnya  dari Masjid di Putrajaya kerana sudah terlewat.
Berdiri dari kiri  Ketua Jabatan Jenayah Selangor  Datuk  Adnan Abdullah, Nik bekas wartawan Harian Sinar,Tan Sri Johan Jaafar(JJ) dan Zam
Sesi Teh Tarik bekas wartawan-wartawan Utusan  di  sebuah gerai  di Malayan Mansion Jalan Masjid India semakin meriah sejak di sertai oleh Tan Sri Johan Jaafar(JJ) yang juga bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu setelah beliau bersara sebagai Pengerusi Media Prima.

Beliau menjadi kesinambungan  dalam memperkukuhkan gerai ini sebagai Kelab Veteran Utusan dari sejak zaman berzaman, bermula dari saya sendiri sejak tahun 1962 dan diikuti oleh  Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) dan Osman Abadi Timbalan Ketua Pengarang (Allahyarham)  dan kemudiannya Ahmad Idris Pengarang Mingguan Malaysia (Allahyarham).

Mulanya JJ datang sekejap atas jemputan saya  dan hilang tetapi setelah bersara dari Pengerusi Media Prima beliau tidak lagi ketinggalan untuk bersama kami malah lebih awal dari semua pada setiap pagi hari Ahad. Sesi ini bermula dari  jam 7.30 pagi.

Kedatangan Ex Utusan ke sini semakin ramai apabila JJ secara sukarela menyeliakan "Buletin Suara Keramat" yang merupakan suara khusus bekas wartawan Utusan. Ia merupakan kumpulan WhatsApp paling aktif di Malaysia kerana keanggotaannya adalah bekas - bekas wartawan yang penulisan tidak merumitkan mereka dan menjadi satu ketagihan.

Bagaimanapun Buletin ini mengharamkan perbincangan politik dan dakwah agama sebaliknya hanya mengenai kisah sosial diri  sendiri dan kenangan masa lalu samaada dengan berpantun, bersajak atau catatan ringkas.

JJ tegas dalam mengharamkan dakwah dan politik yang dipersetujui oleh semua anggota lebih 100 orang. 

Buletin ini juga telah memainkan peranan dalam mendekatkan kembali hubungan antara wartawan bersara Utusan di seluruh Malaysia, mengaktifkan ziarah rakan-rakan yang uzur, menghadiri majlis kenduri dan pertemuan teh tarik, makan tengah hari, pagi petang siang malam selain dari rutin mingguan di Jalan Masjid India.

Tidak pernah terfikir  WhatsApp akan mengembalikan perhubungan kami.

Buletin  inilah juga yang telah mendorongkan semakin ramai bekas wartawan Utusan berada di Gerai Teh Tarik Malayan Mansion setiap hari Ahad.

Ahad kelmarin sebuah meja  di gerai ini dikuasai oleh Ex Utusan kerana kehadiran yang lebih ramai, diantaranya Zahari Afandi seorang novelis terkenal dan juga Shamsuddin Abu Bakar  bekas Setiausaha akhbar Menteri Penerangan Mohd Rahmat.

Suara Zahari biasanya memekak dan memeriahkan suasana dengan cerita-cerita lucu dan rating X serta kawan-kawan bertukar cerita rahsia tentang raja, menteri, orang-orang besar yang rahsia mereka menjadi maklumat privilege  kepada wartawan-wartawan.

Janganlah marah, jika kami para wartawan menjadi manusia yang sukar untuk percaya kepada sesiapapun, yang dalam kedudukan apapun, yang setinggi mana sekalipun darjat dan kebangsawanan mereka  kerana kebanyakan  kami kenal luar dalam mereka.

Di Gerai Teh Tarik Malaya Mansion ini kami sering bercerita semula  dan bertukar  maklumat rahsia yang benar antara kami sahaja yang tidak boleh kami tulis masa berkerja dahulu  dan sekarang pun  untuk kami sahaja tetapi kami juga berterus terang bila meja kami kadang - kadang di kongsi bersama  oleh Ketua Jabatan Jenayah Negeri Selangor Datuk Adnan Abdullah.

Datuk Adnan datang dari Shah Alam kerana lazatnya Teh Tarik di Gerai ini.




Friday, 22 April 2016

SENGKETA AHMAD NAWAB DAN JAMAL ABDILLAH DALAM"AKULAH YANG TERAKHIR"

Jamal Abdillah sedang melayan saya di Restoran Khatijah Ibrahim tidak lama dahulu  dalam satu majlis bagi
merapatkan hubungannya dengan Datuk Ahmad Nawab, orang yang menaikkan
namanya dalam industri hiburan tanah air.


Selepas suatu jamuan tengah hari yang diadakan oleh penyanyi agung Datuk Jamal Abdillah kepada penggubah produktif  Datuk Ahmad Nawab, gandingan popular yang menghidupkan dunia hiburan tanah air sekian lama, saya yakin  khabar angin sengketa antara mereka telah berakhir.

Saya dijemput khas oleh Jamal untuk menunjukkan penghormatannya kepada Ahmad Nawab yang dianggap sebagai ayahnya.

Berikutan itu, sebuah akhbar telah menyiarkan tidak pernah ada sengketa antara mereka. Kedua-dua pun menafikan anggapan ini,  tetapi sebagai orang yang rapat dengan mereka saya boleh mendakwa bahawa mereka saling berjauh hati.

Saya kemukakan perasaan Ahmad Nawab pada Jamal dan menasihatkan Jamal meminta maaf tetapi Jamal menyatakan  telah membuat segalanya untuk mengubati perasaan  Ahmad  dan memberitahu saya  "Tidak cukup dengan meminta Maaf tetapi saya akan mengadakan majlis jamuan untuknya" yang kemudiannya diadakan  di Restoran Khatijah Ibrahim di Petaling Jaya.

Saya dijemput hadir sebagai tetamu khas untuk menyaksikan  pertemuan ini tetapi apakah perdamaian perlu diisytiharkan  wujud dalam sengketa yang tidak pernah dirasmikan. 

Masih menjadi pertanyaan ialah kenapa Jamal belum mahu menyanyikan lagu  "AKULAH YANG TERAKHIR" gubahan Ahmad Nawab yang liriknya di tulis  oleh saya.

Mungkinkah  kerana Jamal menyuarakan agar lagu itu dinyanyikan oleh anaknya Osama dan tidak oleh beliau sendiri. Saya tidak tahu tetapi saya masih berharap keduanya kembali berdamai demi untuk peminat di seluruh negara yang lama tidak mendengar suara Jamal dalam lagu baru gubahan  Ahmad Nawab.

 Inilah lirik lagu aku yang terakhir:


AKULAH YANG TERAKHIR
Sejenak berjumpa
Berombak rindu tiba-tiba
Dalam diriku,dirimu jua
Tanpa berkata kita merasa

Sumpahku tiada lagi cinta
Sakit sepi  rindu di hujung usia
Tak ku sangka
fajar  menyinsing ketika senja.

Wanginya engkau dalam diriku
Menyegarkan  irama di jari jemariku
Suaramu syahdu ilhamku
Membisikan ditelinga ku
Akulah yang terakhir bagimu

Mengapa menjelang hanya sekarang
Pastinya takkan lama  denganmu
 Engkaulah yang terakhir bagiku.
Terima kasih indahkan hari hari akhirku.

ZAM




Tuesday, 12 April 2016

PERGINYA SEORANG NASIONALIS MELAYU YANG KENTAL SAID ZAHARI

UTUSAN IKTIRAF PERANANNYA: BACALAH MINGGUAN MALAYSIA HARIINI(17APRIL) 
PAK SAID JADIKAN UTUSAN HEBAT
Samada kita bersetuju atau tidak dengan penulisan Pak Said,kita tidak dapat menafikan bahawa Pak Said adalah sebahagian daripada sejarah Utusan dan Utusan adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia. Samada mereka berhaluan kiri  atau kanan,orang seperti Pak Said menjadikan  Utusan itu hebat.

Zainuddin Maidin, The Straits Times,Singapore 13 Januari 2001

KOMEN: WHAT A PITY. THAT WAS INSANE

He was detained in Singapore for 17 years? What was his offense? 17 years is a hell of a long time. He must had been rotten in there. His spirit must had been broken. Incarcerated for 17 years. That was insane. Why did they detain him that long?
His prime years, his youth must had been lost in that windowless four walls. What a pity. Such precious life had been wasted just like that.


TERIMA KASIH " MEMBAWA BALIK" SAYA KEPANGKUAN UTUSAN. I SALUTE YOU FOR THAT

Saya mendapat berita yang tidak lengkap bahawa bekas Pengarang Utusan Melayu Said Zahari yang mengetuai pemogokan seluruh perkerja Utusan Melayu pada tahun 1961 bagi menentang pengambilalihan  Utusan Melayu oleh UMNO telah meninggal dunia hari ini.

Saya mengenangnya sebagai seorang yang telah mengambil saya bekerja di Utusan Melayu  sebagai stringer(pemberita sambilan) di Alor Setar pada tahun 1958.

Penglibatannya dengan gerakan nasionalis kiri yang pro Indonesia apabila menjelang konfrantasi Indonesia telah menyebabkannya di tahan oleh Lee Kuan Yew atau pemerintah  di Singapura selama lebih 17 tahun.

Apapun dikatakan tentangnya tetapi beliau adalah seorang pejuang nasional yang kental, gigih, berani dan keras hati.

Banyak buku-buku yang ditulis mengenainya telah diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors.

Beliau adalah rakyat Singapura tetapi atas sokongan dari saya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Mahathir, beliau telah diterima sebagai permastautin tetap negara ini. Beliau dianggap sebagai warisan Tan Sri Samad Ismail di Utusan yang terus setia berjuang bersama rakan-rakan sehaluan seperti  Usman Awang (TongkatWarant), Semani Mohd Amin dan lain -lain lagi.

Mogok politikUtusan Melayu pada tahun 1961,telah meninggalkan trajidi hitam yang sukar untuk dilupakan bila perpecahan berlaku antara gulongan nasionalis yang menyokong UMNO dan juga yang pro Indonesia yang menyebabkan Said Zahari dibuang  dan penyokong-penyokongnya disemua bahagian  menjadi korban,hilang pekerjaan.
Bagaimanapun permusuhan Said Zahari dengan Utusan telah pulih apabila saya sebagai Ketua Pengarang menjemput beliau  hadir di Majlis meraikan 50 tahun Utusan pada tahun 1989 yang baginya dirasakan amat terlalu besar.
Beliau tidak sahaja hadir pada majlis malamnya tetapi pada siangnya  telah pergi menemui bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu Pak Melan Abdullah di rumahnya.Mereka berdakapan dan bertangisan.

Dalam hal ini Said Zahari mencatitkan autograph dalam bukunya Meniti Lautan Gelora yang dihadiahkan kepada saya sempena  pelancarannya  5 April 2001 semasa saya menjadi Timbalan Menteri Penerangan :
Saudara Zam,
Terima Kasih atas keberanian dan kesanggupan saudara"membawa balik" saya kepangkuan Utusan Melayu.Inspite of what had  happened. You did that in 2001 dan now again,lebih berani lagi in 2001. Your sense of history vis-a vis my role in Utusan in the 1950s and early 1960s and your recognition of it,is both remarkble and admirable. I salute you for that.



Antara buku-buku yang ditulis oleh Pak Said yang diterbitkan oleh Utusan Pubilcation and Distributors(UP&D)


Friday, 8 April 2016

TOLAK MAHATHIR TIDAK BERERTI TERIMA NAJIB

Komen: NAJIB TERLIBAT
Najib yang tubuhkan 1MDB.
Najib terlibatlah tu.
Apa pasal tak terlibat?
Kanak-kanak Permata pun tahu.

Suatu perkiraan politik yang mudah  jika sesiapa  membuat konklusi rakyat telah menerima Perdana Menteri Datuk Najib kerana membantah  konspirasi Tun Dr.Mahathir dengan DAP  untuk menjatuhkannya.

Keadaan ini tidak wujud walaupun  Najib  digambarkan bersih oleh media perdana berikutan pemutihan  1MDB.

Mereka mengeksploitasi sepenuhnya kenyataan  Naib Pengerusi PAC dari DAP Tan Seng Giaw mengatakan Perdana Menteri tidak terlibat secara langsung tetapi orang cerdik segera bertanya: Jika tidak terlibat secara  langsung maka apakah terlibat secara tidak langsung.

Umum sependapat dengan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man yang menuntut Najib mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kelemahan pengurusan 1MDB seperti yang didakwa oleh PAC.

Najib wajar meletakkan jawatan dengan segera sebagai Menteri Kewangan, katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Malaysiakini.

Sementara itu Tun Dr.Mahathir juga harus menerima hakikat bahawa tindakannya bersekongkol dengan parti-parti pembangkang terutamanya  DAP untuk menggulingkan Najib juga tidak popular di kalangan rakyat di akar umbi khususnya orang Melayu.

Banyak yang menganggap Tun Mahathir telah membuat perhitungan politik yang silap dalam langkah ini.



Wednesday, 6 April 2016

WANG BUKAN LAGI RAJA BILA "RAJA" UMNO JUMPA HADI

Apakah yang dibincangkan oleh Datuk Raja dan Datuk Seri Haji Hadi ?
Pertemuan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail dengan Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang di Kampung Rusila, Kuala Terengganu baru-baru ini dan keputusan syarikat penerbitannya BYG Publisher menerbitkan buku Haji Hadi "Prinsip Haji Hadi" menimbulkan banyak persoalan. 

Raja Niza sendiri adalah seorang novelis dan penulis politik yang terkenal.

Khabar mengenai pertemuan ini yang tersebar di kalangan UMNO Selangor telah menimbulkan kembali cerita sumbangan Raja Ahmad Niza kepada UMNO lebih 40 tahun yang tidak dihargai.

Pucuk pimpinan UMNO memilih orang lain bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kuang pada Pilihan Raya Umum 2004 sedangkan beliau adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang dan menetap di DUN berkenaan.

Menurut rakan-rakannya di Kuang, walaupun beliau tidak dipilih untuk bertanding tetapi beliau tetap turut berkempen memastikan calon yang bertanding memperolehi kemenangan dan beliau sedikitpun tidak melahirkan perasaan kecewa kerana tidak dipilih.

Selepas calon berkenaan mencapai kemenangan, beliau telah menulis surat kepada Perdana Menteri bertanyakan bagaimana kedudukannya dan peranannya selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang apabila tidak dipilih untuk bertanding. Tetapi malangnya suratnya langsung tidak dijawab.

Difahamkan Khairi Jamaluddin Ketua Pemuda UMNO telah memainkan peranan penting dalam mengenepikan Raja Niza yang tidak hanya merupakan orang politik tetapi juga bekas wartawan Utusan Melayu yang terkenal.

Antara jawatan-jawatan yang dipegang sepanjang 40 tahun beliau bergiat aktif di kawasan Kuang ialah Ketua Cawangan UMNO Kuang Selatan, Kuang Timur, AJK Pemuda Bahagian Selayang, AJK Bahagian Selayang dan meningkat kepada Ketua Penerangan Bahagian, Setiausaha Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan Pengarang UMNO Selangor (NADA).

Beliau masih setia  kepada UMNO hingga ke hari ini tetapi pertemuannya dengan Haji Hadi menimbulkan banyak persoalan.

Ramaikah lagi Ketua-Ketua UMNO Bahagian atau bekas-bekas  Ketua UMNO Bahagian yang akan menemui Haji Hadi. Mungkin semakin hampir Pilihan Raya Umum semakin ramai dan ketika itu Presiden UMNO Datuk Seri Najib akan tersandar pada kenyataan bahawa Money Is Not The King but the Power Is The King. Najib mungkin boleh memberikan wang kepada semua tetapi tidak boleh memberikan kuasa kepada semua.

Monday, 4 April 2016

UMNO BANTAH UTUSAN BERI TEMPAT KEPADA PEMBANGKANG

KOMEN:  LOOK AT THE SUCCESS OF THE STAR
Mafeeah4 April 2016 at 15:38
You have to look at the success of The Star. Despite being associated with MCA, who is in BN, the paper is still selling and doing okay. In fact I am actively subscribing to its Electronic Paper version, despite the news being available in The Star Online for free.

Why would I do this and pay for it ? While not agreeing with all that I read, it is a paper that is still worth reading and getting news. Even though the news coverage is never entirely fair for all sides, nevertheless news from them does appear in the paper unlike some publications that choose to censor them. Being closely associated to the Chinese, The Star will continue with it's style of reporting i.e. satisfying everyone's needs. Now do you realise the NST too has improved lately ? Check it out for yourself to see what I am talking about !
UMNO BANTAH....
Pada petang itu dalam tahun 1990 (tarikhnya tidak ingat), saya telah bersiap-siap untuk pulang berhari raya Aidilfitri di kampung apabila menerima panggilan dari pejabat PM Datuk Seri Dr. Mahathir mengatakan beliau  mahu menemui saya. Maka saya pergi menemuinya di pejabat.

Beliau disertai oleh beberapa orang ketua  UMNO termasuk seorang dua Menteri Besar. Saya ingat wajah-wajah MB berkenaan.

Mahathir mahu saya sebagai Ketua Pengarang mendengar sendiri rungutan dari mereka  kenapa Utusan sebagai akhbar UMNO memberikan tempat kepada parti-parti pembangkang terutama sekali menyiarkan temuramah khas wartawan  Rosnah Majid (sekarang Datuk) dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz  berikutan dengan kejayaan Pas menawan Kelantan pada tahun 1990  dan kenapa tidak  mereka.

Jawapan saya mudah sahaja iaitu supaya Utusan dibaca juga oleh orang Pas dan juga rakyat yang tidak berparti walaupun Utusan adalah akhbar parti.

Kami menerima laporan dari Kelantan, akhbar Utusan sudah habis terjual pada jam 8 pagi dua hari berturut-turut kerana siaran temuramah itu.

Saya bertanya kepada mereka " Apakah kita mahu Utusan hanya dibaca oleh orang UMNO sahaja?"

Keputusan yang saya buat itu adalah selari dengan dasar Lembaga Pengarah Utusan Melayu setelah UMNO  mengambil alih pegangan sahamnya pada 1959 dan menyingkirkan Pengarah  Urusan, Pengarang dan Penaja Utusan Melayu Yusof Ishak kerana kegagalannya mencegah  golongan  kiri (sosialis dan nasionalis) menguasai Jabatan Pengarang Utusan Melayu masa itu.

Keputusan itu antara lain menetapkan Utusan  memberikan sokongan penuh kepada  parti yang memerintah tetapi membenarkan berita parti-parti lain disiarkan dengan  syarat tidak menjadi berita utama atau tidak membesarkannya  (Lihat buku sejarah Utusan Di Depan Api Di Belakang Duri muka 91)

 (Yusuf Ishak kemudianya dilantik  oleh PM Singapura Lee Kuan Yew  menjadi Yang di Pertuan Negara dan seterusnya  Presiden Singapura yang pertama kerana LKY mengenalinya sebagai seorang yang jujur sejak menjadi peguam Utusan Melayu pada tahun 1955).

Temuramah Rosnah  dengan Lim Kit Siang juga menerima bantahan yang sama tetapi saya tidak menghiraukannya kerana Tun Dr.Mahathir yang cerdik dan rasional telah memahami tujuan saya.

Apabila saya disingkirkan dari jawatan Ketua Pengarang  atas keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO kerana perasaan tidak senang Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin terhadap saya maka saya memberikan surat  penjelasan ringkas   kepada Pengerusi dan anggota-anggota Lembaga Pengarah Utusan Melayu bertarikh 18 November 1992 sebagai berikut:

" Saya cukup sedar bahawa Utusan Melayu(Malaysia) Berhad adalah kepunyaan UMNO tetapi sedapat mungkin saya telah cuba membuat setiap pembaca merasakan bahawa akhbar ini terpulang kepadanya sekalipun ia bukan ahli UMNO.

" Saya mengakui bahawa saya tidak pernah memberikan suatu clear -cut guidelines tentang do's and don'ts dalam hal yang bersangkut dengan kepartian tetapi saya  telah cuba mendewasakan wartawan-wartawan di bawah saya menerusi masalah yang timbul dari semasa ke semasa dalam pengurusan berita, rencana dan sebagainya yang bersangkut dengan parti untuk mereka menyedari batas profesionalisme dalam berkhidmat dengan sebuah akhbar yang dipunyai oleh parti.

" Saya percaya cara ini lebih berkesan dalam menjadikan Utusan Melayu/Utusan Malaysia sebagai akhbar-akhbar yang berpengaruh tidak sahaja dalam kalangan ahli UMNO tetapi juga bukan UMNO"

Apabila UMNO merampas Utusan dari orang kiri atas arahan Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman, edaran Utusan Melayu yang jatuh merosot  sehingga kepada 20,000 naskah pada masa itu telah pulih dengan serta merta dan meningkat dengan pantas kepada lebih 50,000 naskah dan  Utusan Melayu Malaysia Berhad  terus maju dan mengembangkan perniagaannya dengan berbagai penerbitan.

Tetapi dalam keadaan menghadapi cabaran media sosial yang semakin hebat sekarang ini ,Utusan merasa wajar  untuk blatantly menjalankan dasar suara parti yang menyaksikan edarannya semakin merosot.Orang hanya dapat membaca jawapan kerajaan tetapi tidak kritikan yang berkenaan.

Mungkin juga semua akhbar dan bahan cetak tidak lagi berkesan untuk mempengaruhi umum  kerana orang lebih percaya kepada media sosial.

Friday, 1 April 2016

UTUSAN TIDAK ZALIM TETAPI DI ZALIMI.

Saya tidak pernah anggap diri saya sebagai ketua walaupun ketika menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu.(1983-1992).

Perasaan ini juga tidak ada pada saya ketika menjadi ketua pemberita, pengarang berita, pengarang dan lain-lain jawatan ketua yang pernah saya pegang dalam memanjat  tangga di Utusan Melayu sejak tahun 1960.

Saya menilai  setiap pekerja Utusan Melayu sebagai rakan sekerja tetapi rupa-rupanya cara dan sikap  saya bekerja, saya menjadi  ketua yang ditakuti dan digeruni.

Ini hanya saya ketahui daripada bekas wartawan-wartawan dan pekerja-pekerja kilang yang pernah berkhidmat di bawah saya  setelah saya bersara. Terakhir adalah dari tulisan Ku Seman Ku Hussain Pengarang Mingguan Malaysia sebagai ucapan selamat tinggalnya kepada Utusan Melayu yang dicintai, yang menyebutkan tentang saya dan lain-lain ketua.

Tulisan ini memberi kesan mendalam memilukan  jiwa saya.

Ceritanya tinggalkan kampung halaman untuk bekerja dengan Utusan Melayu hampir sama dengan laluan saya tetapi ibu bapa saya tidak mampu untuk memberikan wang sesen pun sebaliknya saya hanya mempunyai wang poket $25 baki simpanan saya bekerja sebagai wartawan sambilan di akhir tahun 50an ketika mahu meninggalkan Alor Setar.

Saya tidak sangka dari seorang stringer di Alor Setar saya akan meningkat naik menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan seperti juga Ku Seman tidak pernah memikirkan untuk jadi Pengarang Mingguan Malaysia.Akhirnya dia juga menjadi korban kebinatangan  politik.

Suatu cerita lucu yang saya baru dengar tentang ketegasan saya ialah bila saya menegur  seorang pemberita  datang ke pejabat tanpa berpakaian sempurna. Saya tidak tahu dia berada di pejabat pada hari rehatnya untuk menulis rencana. Dia pulang segera  dan datang semula dengan memakai pakaian yang lebih kemas, berbaju kemeja  tangan panjang ke dalam seluar malah memakai cuffling.

Rozaid Abdul Rahman (Sekarang Eksekutif Editor Star online) pulang dari suatu tugas semasa di Utusan dan memberitahu saya  dia mendapat berita eksklusif yang akan ditulisnya esok tetapi saya bertanya" kenapa mesti tunggu esok, jika awak mati malam ni  bagaimana?". Dia menyiapkan beritanya pada malam itu juga.

Teguran saya ini tanpa  perasaan marah atau benci  tetapi hanya mahu membentuk sikap bekerja kewartawanan supaya menepati masa, tidak bertangguh, pantas, cekap, cemburu dengan  masa dan berdisiplin.

Tulisan Ku Seman menyedarkan saya jika saya berperasaan sebagai ketua besar Utusan Melayu, maka saya tidak akan terus memanggil Ku Seman masuk ke bilik saya pada hari  dia  melangkah kaki kali pertama ke Utusan Melayu untuk melaporkan diri.

Apakah semua orang menyertai sesuatu syarikat terus menemui boss no satu?
Saya melakukan ini tanpa sedar kerana saya rasa  sama  sahaja dengan sesiapa pun dan bangga dengan orang berkualiti  yang mahu bekerja dengan Utusan.

Saya tidak pernah menengking sesiapapun di bawah saya tetapi wajah saya bengis (menurut Ku Seman), sikap saya tidak membiarkan setiap kesilapan berlalu begitu sahaja sekalipun kecil, penekanan kepada penulisan  berita dengan intro yang terbaik  dan  menarik dan mempastikan wartawan senantiasa  terkini dengan pembacaan dan maklumat serta mengetahui apa yang tersiar di akhbar lain menyebabkan diri saya dianggap sebagai seorang yang serius, sentiasa mencari kesalahan, ditakuti dan digeruni.

Sebab utama saya ialah mahu Utusan jadi akhbar yang  lain dari yang lain yang sentiasa sempurna, terkini dengan berita dari lain-lain akhbar. Bagaimana Utusan  akan terkini jika wartawannya tidak tahu apa yang telah tersiar di akhbar saingan atau menyiarkan berita yang telah tersiar di akhbar lain.

Saya belajar kewartawanan akhbar  memerlukan teguran atas kesilapan atau ketinggalan  pada setiap hari untuk menerbitkan akhbar yang lebih baik pada esoknya. Saya mahu menyedarkan wartawan-wartawan terhadap keperluan menjadikan diri mereka  sentiasa menciumi kesilapan dan  bertanggungjawab  memberikan maklumat yang betul, terdahulu  dan mengenali antara yang baru dan yang sudah lapuk.

Lebih dari itu  sikap saya yang  keras, tegas dan tidak bertolak ansur adalah untuk membentuk pasukan wartawan Utusan yang mencintai kewartawanan dan dedikasi kepada Utusan Melayu seperti generasi wartawan Utusan terdahulu yang menjadikan Utusan sebagai akhbar perjuangan bagi kepentingan bangsa dan agama.

Setelah saya bersara dan menemui semula  bekas rakan-rakan di Utusan maka barulah saya sedar bahawa saya rupa - rupanya telah meninggalkan kesan yang mendalam di kalangan bekas wartawan-wartawan saya dan juga yang masih bekerja dan berjaya dalam kehidupan mereka samaada sebagai wartawan atau lain -lain profesion.

Mereka menceritakan kembali setiap sikap dan perwatakan dan cara saya bekerja yang menyebabkan saya ketawa.

Saya tidak pernah menyesali dengan sikap saya ini dan  tidak  menyimpan perasaan dendam pada semua yang terdidik menerusi kekerasan dan kebengisan sikap saya termasuk seorang yang  cuba membawa saya ke mahkamah.

Cuma ada  seorang manusia yang tidak dapat saya lupakan kerana ketika menjadi orang kuat Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NJU)  telah menghasut para wartawan Utusan  memakai lencana "Utusan Zalim"  dibaju mereka atas alasan menuntut gaji dan syarat-syarat kerja yang lebih baik.

Sebenarnya dia  telah dipergunakan oleh orang-orang politik dari dalam UMNO sendiri yang  tidak senang dengan sikap Utusan yang tidak membantu mereka untuk naik ke pucuk pimpinan tetapi anggota NUJ tidak menyedari permainan politik ini.

Dalam suatu sidang akhbar Perdana Menteri Dr.Mahathir telah bertanya kepada wartawan Utusan yang memakai lencana Utusan Zalim "Zalim apa ni?" . Mahathir pernah menuduh  Pegawai NUJ ini pembohong dan berita mengenainya disiarkan di muka depan The Star.

Sebagai Suara Keramat, Utusan tidak pernah zalim  kepada sesiapa pun tetapi sebagai akhbar perjuangan ia akan terus dipergunakan, dizalami oleh orang-orang politik  yang rakus dari masa ke semasa yang mahu menumpang kekuatan imejnya yang dibina  oleh penaja-penaja dan pengarang-pengarang awalnya.

William R.Roff penulis buku sejarah  Nasionalisme Melayu (terjemahan Ahmad Boestaman)  mensifatkan Utusan sebagai  akhbar perjuangan. Kerana imej besar dan pengaruhnya yang kuat, semua pihak mahu menjadikannya sebagai medan perjuangan mereka dari masa ke semasa. Utusan adalah contoh terbaik bagi kewartawanan politik.

Utusan dizalimi mereka yang datang semata-mata untuk menungganginya  bagi kepentingan politik dan diri sendiri termasuk untuk membina kekayaan diri dengan kepura-puraan sikap  kecintaan kepada  Utusan Melayu  tanpa menjiwai darah daging perjuangan Utusan.

Jiwanya yang sebenar  digambarkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya Utusan Melayu yang dicipta sempena 50 tahun Utusan.

Utusan Melayu
Wajah dan lenggangmu boleh berubah
suara dan nadamu terkocak gundah
namun jiwamu tetap tidak mungkir
untuk bangsa agama dan tanah air.

Dan apabila saya tersingkir dari jawatan Ketua Pengarang Kumpulan  Utusan pada 1992, saya tinggalkan pesanan ini:

Kawan-kawan
dari 1939 sampai kini
api ini tidak pernah mati
dimarakkan ganti berganti
dalam cahayanya anak-anak berlari
satu tangan terbakar
sejuta tanggan mengengamnya lebih erat lagi
maka keramatlah sebuah institusi
yang memahkotakan rakyat dari generasi  ke generasi.

40 tahun lebih saya di Utusan Melayu saya melihat berbagai manusia datang dan pergi, keluar dan masuk tetapi Utusan tetap dengan segala masalahnya  sendiri terutama dari segi kewangan mewarisi kepincangan dan  kemiskinan kerana yang lebih penting bagi mereka yang datang dengan kuasa ialah  untuk  menggunakannya sebagai medan perjuangan tanpa menghayati roh asalnya.

Untuk mengenali Utusan yang sebenarnya  bacalah Sejarah Utusan Melayu   Didepan Api Di Belakang Duri yang saya tulis tanpa menyembunyikan fakta yang sebenar.

Jika anda gagal mendapatnya di kedai-kedai buku datanglah ke Zam Newsroom Cafe di Ayer@8 No D-G-3 A ,Jalan PG8 Putraya Presint 8. Anda juga boleh mendapat lain-lain buku tulisan Zam di Cafe ini.