Sunday, 28 February 2016

ANTARA GURKHA DAN TENTERA TERHORMAT


KOMEN:
NAJIB PUN PERNAH JADI GURKHA MAHATHIR

AsSalam TS Zam ..
Apa yg TS katakan itu adalah satu hakikat . Apa2 pertubuhan mesti ada Front Liner ( istilah TS ialah Gurkha ) . Mereka ini tunggak pertahanan sesuatu organisasi .
Dalam isu ini ahli majlis tertinggi telah melakukan tanggung jawab saperti dikehendaki .
Perlu dinyatakan bahawa DS Nagib pernah jadi gurkha pada Tun M semasa krisis Umno dulu .
Masa sekarang gurkha pada Tun M adalah DS Muhyiddin , Khairuddin , Mathias , AKJ , OSTB ...
Nampaknya sekarang gurkha DS Nagib berjaya mempertahankan kebenaran .
Gurkha Tun M asyik tertembak kaki jo ... mana tak eh .. Tun M terlalu kuat dendam terhadap DS Nagib hinggakan Tun M sanggup sacrifice anak sendiri . Akhirnya kono check mate .
ANTARA GURKHA .....
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui  tindakan menggantung Tan Sri  Muhyiddin dari jawatan Timbalan Presiden UMNO akan menimbulkan masalah politik di Johor.

Katanya" Saya mengakui di Johor akan berdepan dengan cabaran sangat besar dan saya percaya kita perlu meletakan keutamaan dan UMNO perlu bekerja keras"

Ini adalah suatu pandangan yang berani,tidak melulu, terus terang,ikhlas, ,bermuhasabah,berhemah dan tidak hanya memikirkan kepentingan diri sebaliknya  mewakili pandangan seluruh  orang Melayu  yang realis,cintakan UMNO.

Masalah besar bukan sahaja akan dihadapi di Johor tetapi di seluruh negara kecuali Sarawak.Bagaimanapun di Sarawak juga orang Sarawak tidak mahu melihat bayang-bayang pemimpin UMNO dalam masa kempen pilihanraya kelak.

Dan ini adalah pandangan gurkha-gurkha dibandingkan dengan pandangan realis MB Johor.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil:Wanita UMNO terkilan dengan kegagalan Tan Sri Muhyiddin menghadiri mesyuarat ahli MKT  untuk menggantung jawatannya.

Datuk Seri Ahmad Bashah MB  Kedah: Muhyiddin tidak menjalankan tugas Timbalan Presiden yang membantu Presiden untuk memperkasakan  parti.

Datuk Seri Mahadzir Khalid:Kalau Timbalan Presiden tidak bersama dengan Presiden parti ,kenyataan bercanggah, jadi macam mana nak bekerja.

Datuk Salleh Said Keruak :Keputusan MKT menggantung jawatan Muhyiddin Yassin dibuat bukan bertujuan untuk memecahbelahkan parti tetapi bagi menentukan anggota UMNO terikat dengan disiplin parti.

Sebenarnya ketidak hadiran Muhyiddin di MKT itu adalah untuk memberi peluang kepada mereka ini bagi bebas lepas  membuktikan diri mereka benar-benar sebagai gurkha kepada Presiden UMNO. Dengan kehadiran Muhyiddin tentu mereka rasa segan dan malu.Mereka inilah juga yang percaya penuh Najib tidak campur tangan langsung dalam penyingkiran Muhyiddin.

Bagaimanapun pemerhati-pemerhati politik agak hairan dan tertanya-tanya adakah penggantungan Muhyiddin itu turut  disokong oleh seluruh pemuda UMNO dan Puteri UMNO, dua sayap kanan yang penting dalam UMNO.

Pertanyaan ini timbul oleh kerana tidak terdengar suara Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan juga suara Ketua Puteri UMNO seperti suara Shahrizat atau suara gurkha-gurkha  yang lain.

Barangkali mereka mempunyuai rasa kehormatan diri dan rasa terhina untuk meletakkan diri  mereka sebagai Gukrha  yang  generalnya adalah  Nazri Aziz yang kesetiaannya tidak pernah berbelah bagi kepada semua perdana menteri yang beliau pernah berkhidmat di bawah mereka.

Nazri mempunyai kekuatan dan kebijaksanaan  untuk berkhidmat terus  sebagai General Gurkha sehingga hari kiamat dan sewajarnya menjadi contoh kepada semua yang mahu menyelamatkan diri dan parti.

Tuesday, 23 February 2016

KISAH SEBENAR DI SEBALIK 40 TAHUN AHLI UMNO

Kakitangan sebuah korporat negara  yang berada di Restoran Kudu, Jalan Tuanku Abdul Rahman mengambil kesempatan  untuk bergambar dengan kami
Saya bukan lagi seorang menteri tetapi seorang rakyat biasa yang  mengisi masa lapang sebagai penulis blog zamkata.

Saya  rasa  blog  ini  lebih  mempopularkan  saya  dari  zaman  saya  sebagai  menteri. Setakat  ini  telah  di kunjungi  oleh  lebih  3 juta, tetapi  ini  bukanlah  suatu  angka  besar  yang  boleh  dibanggakan  jika  dibandingkan  dengan  portal  berita  atau  blog  yang  lain.

Pembaca  saya  meningkat  bila  sesuatu  tulisan  saya  dipetik  oleh  lain-lain  portal  berita  atau  media  sosial  yang  popular  terutama  Malaysiakini. Pengunjung  Malaysiakini  semakin  bertambah  setelah  ramai  mengetahui  bahawa  Malaysian Insider  walaupun  bijak  bersandiwara  tetapi  telah  dibeli . Wartawan  berpengalaman  mengenali  talam  dua  muka  dan  dapat  menciumi  pencemarannya.

Kunjungan  ke blog  saya  mungkin  bertambah  kerana  suara  saya  telah  diharamkan  di Utusan Malaysia (Mereka diberitahu apa perlunya disiarkan tulisan dan komen Zam.Siapa dia?).

Cerita  yang  lebih  menarik  baru-baru  ini  seorang  pegawai  RTM  meminta  saya  membantu  dalam  penulisan  skrip  program  mengingati  bapa  Datuk  Seri  Najib, Allahyarham  Tun  Abdul  Razak  dan  saya  juga  ditemuramah  lebih  dari  sejam  selain  dari  beberapa  orang  lagi  tetapi  komen  saya  disiar  hanya  sesaat  sahaja  berbanding  dengan  pemimpin  upahan.

Dalam  pada  itu  seorang  wartawan  Utusan Malaysia  menelefon  saya  meminta  komen  mengenai  Akta Rahsia  Rasmi  pindaan  untuk  mengenakan  hukuman  berat  pada  wartawan  berikutan  dengan  komen  mengenainya  tersiar  di Harian Sinar, Akhbar Perdana  yang  cuba  menunjuk  bebas  walaupun  tangan  terikat.

Wartawan  Utusan  ini  berkata  dia  tidak  mahu  memetik  dari  Harian Sinar. Saya  beritahunya  tak  usahlah  buang  masa  kerana  Utusan  tidak  akan  menyiarkan  tetapi  kerana  rayuan  berulang  kali  saya pun  bercakap,  tetapi  seperti  diduga  tidak  sepatahpun  disiarkan. Pengarang  Utusan Malaysia  mesti  keluarkan  larangan  rasmi  jangan  lagi  minta  sebarang  komen  dari  Zam. Membuang  masa  saya  dan  membuang  masa  mereka.

Sebenarnya  setelah  Najib  anak  Tun Razak  dibersihkan  dari  sebarang  dosa  oleh  AG, saya  pun  dah  jemu  untuk  menulis  kerana  saya  rasa  semua  orang  sudah  percaya pada  apa  juga  kata  AG.

Tetapi  masalah  yang  saya  hadapi  ialah  bila  saya  tidak  update  blog  saya  maka  orang  mendatangi saya  di gerai-gerai  teh  tarik  atau  restoran-restoran   mamak  dan   bertanyakan  kenapa? dan kebanyakannya  akan  meminta  saya " teruskan perjuangan"

Perjuangan  apa? tanya  saya  dan  saya menyatakan  apapun  komen  saya  tidak  akan  memberi  apa-apa kesan  dan  saya  bertanya  siapa  saya?  dan  mereka  menjawab  Tan Sri  bekas  Menteri  Penerangan. Saya  ketawa  besar  dan  berkata  "suara  bekas  Timbalan  Perdana  Menteri  pun  tak  di dengar,  suara Mantan  Perdana  Menteri,  Mahathir  pun  tidak  dihiraukan. Rafidah  Aziz  pun  dianggap  oleh  Menteri Besar Kedah  yang  baru  sebagai  tidak  berpengalaman,  inikan  pula  suara  saya"

Orang-orang  yang  menemui  saya  tanpa  segan  silu  atau  takut  memperkenalkan  diri. Mereka  bukan sembarangan  orang  malah  dari  berbagai  peringkat  masyarakat  termasuk  para  profesional, peguam, doktor, ahli perniagaan  besar  dan  pegawai-pegawai   kerajaan.

Kebimbangan  dan  ketidakyakinan  mereka  adalah  sama. Semuanya  setuju  tidak  pernah  merasakan kehilangan  kepimpinan  negara  seperti  sekarang  ini  sejak  merdeka. Inilah  suara  silent majority  yang  berani, jujur  dan  rasional.

Dalam  forum  Pelancaran  buku  Tan  Sri  Nor  Mohamed  Yakcop  yang terkini "Pushing The Boundries" (Stories from Putrajaya Years) baru-baru  ini  yang  membincangkan  peranan  profesional  dalam  pengurusan  ekonomi  negara,  ternyata  mereka  juga  lebih  mengenangkan  Era  Mahathir  sebagai  era  teragung  yang  penuh  dengan  keterujaan  dalam  sejarah  negara. Mereka  hampir  tidak  menyebutkan  langsung  era  sekarang  seolah-olah  sesuatu  yang  sensitif.

Tiap  mereka  merasa  bangga  dapat  bekerja  dalam  era  yang  penuh  dengan  keberanian  tindakan,  kepintasan  melakar  maruah  yang  menjadi  institusi  gemilang  dalam  sejarah  pembangunan  ekonomi negara  untuk  dikenang  dan  diabadikan.

Tanpa  sedar  nama  Mahathir  timbul  sebagai  jaguh  yang  memegahkan  kebesaran  negara  yang  kebijaksanaannya  memberikan  rasa  kepercayaan  dan  kebanggaan  kepada  setiap  profesional  yang pernah  berkhidmat  di bawahnya.

Perserta-perserta  forum  yang  terdiri  dari  tokoh-tokoh  besar  yang  berada  di belakang  tabir  pengurusan  ekonomi  negara  ketika itu  bercerita  pengalaman  masing-masing  dengan  bangga  tanpa  bermaksud  untuk  memperkecilkan  pemimpin  yang  ada  sekarang,  tetapi  itulah  yang  dirasakan  oleh para  hadirin.

40 tahun  Najib  sebagai  ahli  UMNO  tidak  dapat  menghakiskan  20  tahun  kegemilangan  Mahathir walaupun  tidak  dipentaskan.

Tan Sri  Johan Jaafar  dan  saya  yang  terdidik  mendengar  dan  mengenali  hati  nadi  rakyat  terutama  ketika  berada  dalam "Suara Keramat"  dapat  merasakan  debaran  hati  rakyat  yang  semakin  bimbang  terhadap  masa  depan  bangsa  dan  negara  sekalipun  pementasan  warna-warna   indah  cuba  dipancarkan  di kaki  langit  dari  masa  ke  semasa.

Lebih  terasa, baru-baru  ini  apabila  kumpulan  dari  "Suara Keramat"  (bekas-bekas  pekerja  Utusan Melayu)  menjamu  selera  di Restoran  Nasi  Kandar  Kudu  di Jalan  Tunku  Abdul  Rahman.

Kami  disertai  juga  oleh  orang  kuat  Najib,  Datuk  Dahan  yang  dapat  menyaksikan  betapa  orang ramai berbangga untuk bergambar dengan kami walaupun mengenal siapa kami . Mereka tidak anggap berbahaya.

Bila diizinkan mereka terlalu gembira. Beberapa  orang  memberitahu  saya  bahawa  mereka sering mengikuti  blog  saya.

Ini  bukan  sahaja  kerana  kebanggaan  mereka mengetahui kami sebagai penyokong UMNO tetapi mungkin kerana mereka dapat menyelami bahawa kami lebih menjiwai dan memahami maruah dan roh UMNO tulen berbanding dengan mereka yang berada  lebih 40 tahun dalam UMNO tetapi tidak mengenali antara kehancuran dan  pembangunan integriti negara, antara pementasan dan kepalsuan  kisah dan wajah sebenar negara sekarang.


Friday, 19 February 2016

PEGAWAI-PEGAWAI MENTERI DI HIMPUNAN SUARA KERAMAT DI ZAM NEWSROOM CAFE


Tan Sri Zam bersama Datuk Khalid Yunus, Datuk Raja Ahmad Niza dan Tan Sri Johan Jaafar memotong kek Buletin Suara Keramat yang dibawa oleh Professor Faridah dari UKM yang juga bekas anggota Utusan Melayu.
Dari kiri Zahari Affandi  Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Ghani, Haji Usulludin Jamil, Hamid Yahya, Hanafiah Man  Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak dan Rosle Azmi
Astora Jabat bekas penulis agama Mingguan Malaysia yang penuh kontroversi yang  tiba tepat pada masanya di perhimpunan Suara Keramat  dengan mengayuh basikal dari Pattani.Beliau dalam misi berbasikal untuk mempromo keamanan dan kedamaian  bagi  wilayah-wilayah Selatan Thailand .


Suara Keramat adalah Utusan Melayu (Utusan Malaysia) yang telah menjadi suara perjuangan rakyat sejak 1939.

Dengan tujuan untuk memberikan penghayatan kepada pekerja Utusan Melayu dari generasi ke generasi, maka saya telah menulis lirik lagu Suara Keramat yang digubah oleh Datuk Ahmad Nawab untuk menjadi lagu Korporat Utusan Melayu.

Semangat ini ternyata meresap  di kalangan seluruh perkerja Utusan Melayu apabila Tan Sri Johan Jaafar mengambil inisiatif membuka Buletin Suara Keramat di WhatsApp yang secepat kilat mendapat sambutan hangat dari para veteran Utusan Melayu yang kebanyakannya putus hubungan sama sekali.

Menerusi Buletin ini juga maka diketahui siapa yang masih ada dan siapa yang sudah tiada.

Johan Jaafar menginisiatifkan buletin ini setelah bersara sebagai Pengerusi Media Prima dan tentunya beliau sendiri tidak menyangka ia akan mendapat sambutan sepantas kilat dari seluruh veteran Utusan Melayu.

Johan adalah suatu lagi bukti kekeramatan Utusan Melayu. Sesiapapun yang pernah berada di bawah bumbungnya walaupun sekejap tetapi lebih mengingatkannya dari tempat kerja mereka yang lain.

Allahyarham Tan Sri Samad Ismail lebih lama berkhidmat di ST dan NST setelah berhenti dengan Utusan Melayu di Singapura, tetapi beliau lebih banyak bercerita tentang kenangan manis dan pahitnya di Utusan Melayu seolah-olah seluruh hidupnya di Utusan Melayu. (Lihat Journalism and Politics oleh Cheah Boon Kheng)

Pemergian abadi ABI (Haji Ahmad Idris) mantan Pengarang Mingguan Malaysia yang rapat dengan para pekerja Utusan mungkin menjadi dorongan utama kepada Johan Jaafar untuk mendekatkan kembali mereka yang telah berpisah menerusi komunikasi moden yang selama ini telah disia-siakan sebagai jambatan persahabatan.

Berikutan dengan itu, suatu rombongan besar telah mengunjungi beberapa orang veteran Utusan yang sedang uzur. Antaranya  Taib Ahmad bekas Pengurus Jabatan  Pengarang Utusan Melayu dan juga dua orang lagi anggota Jabatan Pengarang; Omar Manan dan Fauziah Rauf.

Hal ini juga mendorong saya menjemput seluruh veteran Utusan bertemu ke Cafe saya untuk bertahlil bagi kakitangan Utusan Melayu yang telah kembali ke Rahmatullah di samping membaharui rasa setia kawan antara yang masih hidup.

Di samping majlis tahlil, pertemuan hari ini dimeriahkan dengan pembacaan sajak oleh Johan Jaafar, Pyan Habib dan nyanyian dari Pendaki Gunong, Datuk Khalid Yunus dan lebih dari itu ialah kehangatan Suara Keramat.

Turut hadir memeraihkan majlis ini ialah pegawai-pegawai khas beberapa orang menteri dan juga Kamal Zailani Ketua Pengarang UMNO ON LINE.

Mereka yang ditugas untuk menyiasat mengenai majlis ini boleh mendapat maklumat  yang berkredibiliti mengenainya  dari mereka ini.Majlis ini semata-mata untuk menemukan semula para veteran Utusan Melayu.

Sunday, 14 February 2016

TUN MAHATHIR DI BELAKANG OPERASI DEMOKRASI (GKCM) PECAHKAN UMNO

Bolehkah pucuk pimpinan UMNO memandang sepi terhadap kebangkitan Gerakan Ketua Cawangan  Malaysia (GKCM) yang akan mengumpul kekuatan semua cawangan UMNO yang menolak  kepimpinan Najib untuk menjalankan operasi demokrasi berstrategi bagi  menggulingkan Najib.

Ahli- ahli cawangan  atau akar umbi UMNO pastinya akan mudah  menyertai cawangan Malaysia yang tidak lagi memerlukan pengesahan keahlian mereka kerana mereka sudah pun menjadi ahli yang sah.

Tentunya bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir bersetuju untuk menjadi penaung  kepada gerakan ini setelah membuat perhitungan yang semasaknya akan keberkesanannya dan juga implikasi dari segi Perlembagaan UMNO.

Ini boleh dianggap sebagai suatu gerakan teratur dalam UMNO untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib menerusi hak demokrasi  ahli UMNO seperti hak demokrasi  yang dimiliki oleh Presiden UMNO   untuk menggunakan parti untuk menumpaskan  Tan Sri Muhyiddin, Mukhriz Mahathir dan beberapa orang lagi pemimpin UMNO yang menentangnya.

Gerakan ini akan melahirkan parti dalam parti  menerusi demokrasi dan akan dapat menggerakkan langkah yang berkesan dalam menyatukan semua cawangan yang menjadi api dalam sekam  UMNO sekarang.

Berbanding dengan penubuhan Semangat  46 yang dijuarai oleh Tengku Razaleigh yang  gagal untuk gulingkan  Tun Mahathir kerana  datang dari kepimpinan tertinggi tetapi GERAKAN  ini datang dari akar umbi UMNO yang tidak percaya pada Najib dan ketika  keraguan  rakyat pada kredibiliti Najib terus membara di seluruh negara.

Najib berjaya mengawal kesetiaan  bahagian-bahagian  UMNO tetapi   cawangan-cawangan UMNO hanya  menanam tebu  di tepi bibir terhadap ketua bahagian.Saya bercakap dengan banyak ahli  UMNO cawangan. Mereka berpegang kepada ajaran Allahyarham Nik Aziz Tok Guru Pas" beri wang ambil" tapi sokongan dalam pilihanraya umum kelak hak masing-masing.

Cawangan -cawangan UMNO  ini sedang menunggu untuk menyertai  suatu gerakan yang benar-benar  meyakinkan mereka untuk menamatkan pemerintahan Najib  dan dengan Tun Mahathir mengambil tanggungjawab di belakang gerakan ini  maka tentunya akan sedikit sebanyak meyakinkan  mereka.

Keadaan akan lebih mengancam  jika gerakan ini disertai oleh Tengku Razaleigh, Tan Sri Muhyiddin, Mukhriz Mahathir dan lain-lain pemimpin UMNO yang masih bepengaruh dalam UMNO yang telah disingkirkan oleh Najib 

Perpecahan besar pastinya akan berlaku dalam UMNO jika Datuk Seri Najib gagal untuk mencegah gerakan ini dengan pantas yang akan merebak menjadi suatu kebangkitan dalaman dalam UMNO.

Bagaimanapun Tun Mahathir menganggap ini sebagai suatu gerakan  penyatuan semula yang akan membantu parti yang hilang kepercayaaan ahli dan masyarakat umum terhadap UMNO yang dilanda masalah kepimpinan yang meruncing. Mahathir  percaya hanya dengan  pengunduran Najib akan memulihkan UMNO.

Kepada Tun Mahathir inilah peluang terakhir baginya untuk menyelamatkan UMNO dan beliau tidak akan menyokong  gerakan ini jika tidak nampak cahaya dihujung terowong.

Saturday, 13 February 2016

TAHNIAH UTUSAN MALAYSIA DEDAHKAN KELEMAHAN KERAJAAN NAJIB

  1. Dari Tweeter
  2. Dlm dedahkan Ibu Negara sbg pusat peminta sedekah sebenarnya Utusan Malaysia dedahkan kelemahan k'jaan Najib. Bijak!
  3. UM terus dedahkan KL sbg surga peminta sedekah. Dedahkan juga gelandagan berumah tangga depan Masjid Negara utk bersihkan imej PM Najib


Dengan segala hormatnya saya menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan laman Masjid Negara dan sekitarnya pada setiap awal pagi dipenuhi dengan gelandangan. Dulu bilangannya kecil tetapi sekarang bertambah kerana kunonnya ada bantahan dari NGO dan kerajaan pimpinan Najib menerusi Menteri Wilayahnya memikirkan kesan politik jika tindakan tegas diambil.

Mereka ini menajiskan pandangan indah rangkaian bangunan warisan sejarah sekitarnya seperti Stesen Keretaapi ibu pejabatnya dan Hotel Majestic.Mereka akan mulai hilang sekitar jam 8.

Pandangan ini juga menjatuhkan maruah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang tunduk kepada tekanan politik.Berbagai alasan akan diberikan yang menunjukan kelemahan dan ketidak tegasan pentadbiran negara. Alasan ini semua telah jemu didengar oleh rakyat.

Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri pencemaran ini setiap pagi Ahad bila menuju ke Jalan Masjid India untuk minum teh tarik.

Kesan poltiknya dari pendedahan Utusan Malaysia ini, ialah kelemahan Najib dan BN akan kalah teruk dalam pilhanraya akan datang kerana banyak bertolak ansur untuk mencari kemenangan politik.

Semua masaalah ini dianggap kecil kerana PM Najib sibuk dengan masaalah lebih besar RM 2.6 Billion dan kaitannya dengan IMDB yang rakyat belum dapat menerima penjelasan AG mengatakan Najib bersih dari sebarang dosa.

Wednesday, 3 February 2016

NAJIB MEMBAWA AIR DALAM KAIN

IF UMNO THROWS MUKHRIZ OUT.....
A well calculated move by Mukhriz and his father. They have taken the variables, put them into an equation, calculated and made the variations before making their move months ago.

Therefore for the Mahathirs, nothing would stop them now from going forward and talking more about Najib. They do not have anything to lose anymore and Mukhriz is all clear to talk. The only thing that would stop him would be his Umno membership. However, according to the calculations, it will be something advantageous for Mukhriz if Umno throws him out because there are similar examples done before. Yes, more than one example exists. Check your history book and you should find it although this sounds mathematical !

Di bawah ini  dua komen dari pengikut setia ZAMKATA - Zainudin Maidin.
 
Pru13, Najib hanya dapat 47% majoriti. Dengan pelbagai isu sekarang adakah najib mampu menarik minat pengundi yang dulunya mengundi pembangkang untuk undi BN? 

Tindakan Najib memecat, mengantung dan melucutkan jawatan dalam UMNO apakah dapat mempertahankan jumlah undi yang terdahulu. Sekiranya tergelincir 10% undi maka BN akan tumbang. 

Sayang ahli pada UMNO/BN ada hadnya. Najib sekarang umpama membawa air dalam kain. Setiap saat air menitis keluar. Setiap saat Najib menimbulkan kebencian pada ahli umno. Dari sayang kan parti menjadi benci berbaur dendam kesumat. 

Suami isteri yang ada anak pun boleh bercerai, inikan pula sekadar parti. Dah tentu tak berkudis kalau ahli UMNO bercerai dengan UMNO. Apa pun PRU14 adalah penentu telahan ini.


MASIH ADA PEMIMPIN UMNO YANG UTAMAKAN PERJUANGAN RAKYAT
Pucuk pimpinan UMNO tersalah langkah apabila mahu "membeli" prinsip Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dengan menawarkan jawatan Timbalan Menteri dengan syarat meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah. Pucuk pimpinan itu berbuat demikian kerana sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO boleh dibeli dengan jawatan. Sudah tentu dia arif sangat dengan gempar keling pemimpin UMNO, bila diberi jawatan boleh buat pusingan U bila-bila masa sahaja.

Tetapi ternyata tidak semua tidak bermoral seperti itu. Buktinya Mukhriz lebih menjunjung prinsip dari diperkotak katik oleh pucuk pimpinan. Mukhriz antara dua tiga pemimpin UMNO yang berani mempersoalkan tentang skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion kepada seorang bernama Najib bin Razak.

Mukhriz bukan tidak tahu apa kesannya mempersoalkan dua skandal itu yang menjadi tabu kepada pucuk pimpinan UMNO. Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Shafie Apdal dipecat dari Menteri, kedua-duanya kerana mempersoalkan skandal yang menjadi buah mulut rakyat.

Kalau Mukhriz memikirkan kedudukan (bukan prinsip kebenaran) dia boleh sahaja terima tawaran menjadi Timbalan Menteri. Jawatan itu juga menjadi rebutan banyak pemimpin UMNO. Zahid misalnya tidak menolak apabila ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, bekas Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed terima tawaran menjadi Timbalan Menteri yang secara automatiknya dia tidak boleh lagi menjadi pengerusi PAC dan menjalankan siasatan ke atas 1MDB.

Pucuk pimpinan UMNO patut malu apabila dimalukan oleh Mukhriz yang menolak tawarannya. Kalau Mukhriz menerima tawaran itu, dia sudah tidak boleh lagi bercakap mengenai skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Dia tahu muslihat ditawarkan jawatan berkenaan. Kita wajar bersyukur kerana masih ada pemimpin UMNO yang mengutamakan perjuangan untuk rakyat daripada perjuangan mengekalkan pemimpin yang dicurigai amanahnya.

Malah menurunkan Mukhriz juga sebagai memberi amaran kepada Dr. Mahathir yang menjadi pengkritik tegar Najib bin Razak dalam isu skandal 1MDB dan derma misteri RM2.6 bilion. Ahmad Bashah Hanipah tidak akan ada keberanian luar biasa (kalau bukan mendapat isyarat Najib) untuk menggugat kerusi Mukhriz. Bashah hanya alat sahaja kerana dia sendiri pun dengan rela diperalatkan.

Kini Mukhriz juga dijauhi oleh wartawan-wartawan yang dulunya sangat rapat dengannya. Sejak seminggu lalu banyak wartawan menulis supaya Mukhriz memberi laluan kepada penggantinya sebagai Menteri Besar Kedah. Malah ada antara mereka yang menganggap Mukhriz adalah punca pergolakan politik UMNO Kedah. Pendek kata semua tidak baik tentang Mukhriz. Itu bukan suara mereka, tetapi itu adalah suara pucuk pimpinan. Mereka hanya tukang ajuk sahaja. Maka mereka pun tulislah krisis politik UMNO Kedah berakhir. Mudahnya membuat kesimpulan. Tunggulah kalau nak tahu berakhir atau tidak....

Tuesday, 2 February 2016

SEBAB UTAMA MUKHRIZ MESTI DISINGKIRKAN SEGERA

"MAHU TUTUP MULUT  SAYA DARI JADI SUARA RAKYAT (lihat kenyataan penuh Mukhriz di bawah)

Komen: Zahid - 3 Febuari 2016: Tepat ramalan Zam, Mukhriz tersingkir juga akhirnya.Dalam politik samada dibunuh atau membunuh.Najib dan Rosmah tentu tak mahu masuk penjara- Zahid 


Apakah sebab utama sebahagian besar  anggota BN Dewan Undangan Negeri Kedah mahu MB Mukhriz  disingkirkan sebelum sampai masanya. Kerakusan tindakan ini dengan alasan  tipis menghina tidak sahaja  kemampuan berfikir rakyat Kedah tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Kerakusan ini juga semakin mendedahkan kepada rakyat kerakusan politik Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib sehingga mencetuskan suatu krisis perlembagaan di negeri Kedah yang melibatkan Istana.

Ini adalah politik do or die bagi Najib dan juga penyokong-penyokong setianya di negeri Kedah.

Mukhriz mesti disingkirkan dengan pantas untuk menjamin kumpulan  yang mahu menyingkirkannya tidak tersingkir dari pencalonan bagi DUN dan juga  Parlimen  Kedah dalam pilihanraya umum akan datang. Mukhriz pastinya tidak akan mengekalkan mereka.

Jika Mukhriz kekal sebagai MB dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Kedah maka pastinya muka-muka lama dan tua ini tidak lagi berpeluang untuk menjadikan politik sebagai profesyen seumur hidup.Walaupun beliau tidak mempunyai kuasa sepenuhnya dalam hal ini (Kuasa pemutus di tangan Presiden) tetapi beliau  sedang  memantapkan kedudukan politiknya  di kalangan pemuda yang sukar bagi Najib untuk menolak suaranya kelak.

Banyak pemuda UMNO Kedah yang secara diam-diam memberikan sokongan kuat kepada Mukhriz. Mereka telah  sekian lama dinafikan peranan  untuk turut memberi sumbangan menjalankan sebuah kerajaan negeri berjiwa rakyat yang dinamik,bervisi dan cekap. Mereka melihat pendekatan Mukhriz ke arah ini dan Mukhriz telah memberikan harapan baru kepada mereka.

Inilah yang ditakuti  oleh kumpulan yang mahu menyingkirkan Mukhriz.

Kegagalan Mukhriz dalam menjalankan pentadbiran dan pengurusan politik negeri Kedah adalah kerana kumpulan ini menjadi duri dalam daging dan tidak membantu Mukhriz dalam melaksana visi dan  perancangannya di Kedah. Mereka memburuk dan memperkecil  rancangan  Mukhriz untuk membangunkan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim.

Mereka menjalankan kerja-kerja sabotaj dengan memburukkan Mukhriz di kalangan rakyat Kedah dan sekarang mereka menuding jari kepada Mukhriz untuk menutup kesilapan dan keburukan mereka sendiri.

Kepada rakyat Kedah, Mukhriz tidak lemah tetapi yang lemah adalah mereka yang mahu menyingkirkannya.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh Mukhriz Tun Mahathir berhubung dengan perletakan jawatannya: