Sunday, 31 January 2016

KEMAKMURAN GUGAT KETENTERAMAN DAN KESELAMATAN DI FELDA.

-
Apabila menyertai  Felda Lepar Gambang Pahang lebih 30 tahun lalu, Pak Long di lantik sebagai ketua salah sebuah blok di rancangan ini oleh kerana mempunyai kualiti kepimpinan dan latar belakang keagamaannya.

Pak Long lah yang mengambil berat tentang kebajikan peneroka setempat masa itu,sakit demam mereka,urusan persekolahan anak- anak mereka dan hal-hal yang bersangkutan urusan peneroka dengan penghulu dan pejabat  kerajaan.

Kata seorang penduduk jika di tengah malam pun diminta pertolongannya,dia akan datang.

Beliau adalah diantara perintis peneroka yang mahu keluar dari kemiskinan menerusi   rancangan Felda yang  terancang dan bersistematik yang diperkenalkan oleh kerajaan sebaik sahaja merdeka pada tahun  1957.

Telah pun diketahui umum bahawa semua rancangan Felda berjaya,digambarkan oleh penambahan besar pendapatan peneroka, keadaan rumah mereka sendiri yang asalnya hanyalah sebagai pondok tetapi sekarang telah bertukar menjadi rumah-rumah batu atau kayu yang jauh lebih besar dan lebih sempurna.

Rumah asal di  Felda Lepar Gambang( gambar di atas)  tidaklah memberikan gambaran tentang keadaan kehidupan  masyarakat Felda seluruh negara sekarang sebaliknya ini  hanya satu dalam seribu dari rumah-rumah yang asal yang masih boleh ditemui oleh sebab- sebab yang hanya diketahui oleh pemiliknya.

Kawasan-kawasan Felda telah bertukar menjadi bandar yang lengkap dengan segala kemudahan infrastrukur , yang menggambarkan kepada dunia  suatu revolusi sosial dan ekonomi yang besar telah berlaku di Malaysia dalam mengubah kehidupan  orang-orang kampung  yang miskin menjadi  peladang-peladang yang makmur,menikmati kehidupan yang terjamin dan kejayaan  generasi barunya  menerusi pendidikan, malah banyak yang menjadi gulongan profesional.

Sesetengah  mereka tidak lagi menjadi peladang sebaliknya membina kehidupan sendiri   dengan menjalankan perusahaan kecil seperti membaiki rumah, paip air,kerosakan letrik,membuka bengkel motor dan kereta yang keperluan ini semua datang diatas limpahan  kejayaan Felda.

Walaupun pendapatan mereka semakin kecil dengan kejatuhan harga kelapa sawit  dan getah  tetapi mereka yang berjimat dan menabung mampu hidup seperti biasa malah yang lebih menarik dalam keadaan kemerosotan ekonomi sekarang pun,mereka masih mampu  untuk melancong  ke negara-negara jiran dan juga menunaikan umrah.


Bagi saya yang menyaksikan sendiri pelancaran Felda Sungai Tiang 16 km  dari Pendang Kedah lebih 50 tahun dahulu oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak cukup insaf bila melihat pencapaian Felda Lepar Gambang walaupun saya pernah melihat kejayaan Felda di tempat lain tetapi tidak pernah bermalam dan berinteraksi dengan peneroka-peneroka asal seperti di Lepar.

Di waktu pagi kita dapat melihat banyak orang minum dan makan di kedai-kedai kopi  atau membeli makanan untuk di bawa pulang.Demikian juga di malam hari. Pekan Sehari juga  dikunjungi ramai.


Di sebalik cerita indah  ini,terbukti kemakmuran di Felda tidak menjamin ketenteraman,keselamatan  dan keharmonian  hidup masyarakatnya sebaliknya mereka  terancam oleh masalah sosial yang sama seperti di bandar malah lebih buruk.

Generasi baru dan lama Felda  tidak  berbangga dengan mempunyai saham FGV (Felda Global Ventures) sebagai peningkatan  taraf hidup mereka menyamai peladang-peladang negara maju  sedangkan  mereka tidak lagi tenteram, tidak dapat meninggalkan rumah dalam keadaan selamat, hasil tanaman mereka;pisang,durian ,rambutan,kelapa dan apa juga yang boleh mendatangkan wang untuk membeli dadah dicuri di hadapan mata mereka sendiri.

Penagih-penagih dalam Felda lebih berani dari orang-orang setempat  kerana ibubapa mereka mengenali antara satu sama lain malah diantara mereka adalah anak kepada peneroka-peneroka yang kaya dan berjaya. Rasa hormat menghormati,segan malu antara satu sama lain menyebabkan keengganan untuk bertindak.

Saya amat tersentuh hati bila Pak Long Ketua Blok 14  peneroka asal Felda Lepar menceritakan  lebih 50 tandan pisangnya  yang dibajai dan dijaga dengan rapi, dibalutnya dengan sarung plastik supaya tidak di serang serangga tetapi pada suatu pagi mendapati semuanya telah hilang ,yang  tinggal hanya sarung balutannya sahaja.

Sebagai peneroka perintis pada tahun 1982.Pak Long diingati sebagai seorang yang penuh dedikasi, menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk  peneroka setempat ,mengambil  berat sakit demam mereka,menguruskan hal persekolahan anak-anak  mereka dan memberikan apa juga pertolongan  yang diperlukan  walaupun di tengah malam buta.

Pak Long tidak pernah terfikir untuk melihat balasan yang pedih dan kejam dari sesetengah anak-anak Felda  yang mendapat nikmat dari pengorbanan ibu bapa mereka.

Bukan semua anak Felda menjadi penagih dadah tetapi jumlah mereka yang kecil sudah cukup untuk meganggu  kehidupan banyak peneroka. Polis telah bertindak dari masa ke masa,penagih dan pencuri ditangkap,dibicarakan dan dihukum penjara tetapi setelah dibebaskan mereka kembali kepada tabiat lama. Ada diantara mereka yang telah mati akibat dadah tetapi semua ini tidak memberi kesan atau pengajaran kepada yang lain.

Pak Long adalah diantara 450 orang peneroka asal Felda Lepar,usianya sudah melampaui 70 tahun,keadaan kesihatannnya juga merosot,100 orang  rakannnya telah pun meninggal dunia. Pak Long ingat satu persatu.Dia bersukur dan gembira kerana keluarganya juga berjaya

Tetapi Pak Long sedih kerana beliau dan juga rakan-rakan yang masih hidup  dan  yang telah pergi tidak pernah terfikir  bahawa kemakmuran tidak akan menjamin kebahagian dan keselamatan.Mereka telah diyakinkan bahawa dengan menebus kemiskinan akan membahagiakan kehidupan dan mengangkat maruah mereka sebagai petani dan orang Melayu.

Mereka menilai kejayaan yang telah dicapai,perubahan besar kepada diri mereka sendiri tetapi sekarang mereka tidak lagi  merasa berada dalam keadaan selamat seperti yang yakinkan.

Yang masih mengikat perasaan mereka pada Felda adalah  kasih sayang terhadap tanah yang berjasa kepada mereka, yang menjadi kediaman mereka sejak berpuluh tahun  lalu tetapi persekitaran terasa mengancam.

Ketika menyertai Felda dahulu mereka  diberitahu supaya  berdisiplin dan berkerja keras  bagi masa depan mereka.Formula ini semua telah menjayakan kehidupan mereka.

Anak-anak Felda yang membesar dalam keadaan selamat sedang meruntuhkan keselamatan yang dibina dengan titik peluh ibu bapa mereka diatas kemiskinan dan penderitaan hidup.

Pak Long tidak lagi melihat  kemakmuran  menjamin keselamatan dan ketenteraman hidup, tidak berlaku seperti  yang diyakinkan kepada ketika menyertai Felda.

Dimanakah silap kita?





Friday, 22 January 2016

TINDAKAN GULING MUKHRIZ GUGAT BN DI PILIHANRAYA SARAWAK

ITS WRONG TIMING WHEN SARAWAK IS FACING ELECTION

Saya telah menerima sebuah mesej dari seseorang yang sangat berpengaruh dalam kerajaan  Sarawak dan penyokong kuat kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Adenan Satim yang saya kenal lama dan sangat saya hormati( Bagi saya dia adalah paling layak untuk gantikan Datuk Seri Najib).

Mesej ini saya terima berikutan dengan tindakan gopoh gapah pemimpin -pemimpin UMNO Kedah dengan diketuai oleh Ahmad Bashah yang  mahu menggulingkan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah untuk beliau  menggantikannya.

Mesej itu berbunyi: As'Salam Tan Sri,apa dah jadi dengan UMNO Kedah?

Jawapan saya : Najib sedang menggali kuburnya sendiri dengan bantuan rakan-rakan.Sedih.Dia tidak sedar ramai orang hanya berpura-pura setia padanya termasuk pegawai-pegawai kerajaan sendiri.Kesetiaan politik hanya kerana kepentingan  diri masing-masing. Ahmad Bashah dah tak sabar nak jadi MB. Baginya do or die dan demikian juga rakan-rakannya kerana jika Mukhriz terus jadi MB harapan mereka punah samasekali  di Kedah pada pilihanraya akan datang. Tak ada peluang  nak jadi calun pun.

Jawapan yang saya terima: It is a wrong timing when Sarawak is facing election.

Saya pun baru tersedar ada kaitannya dengan Sarawak yang merupakan fix deposit  BN.Apatah lagi dengan orang yang gila nak jadi menteri besar dan juga Najib yang hendak selamat sebagai PM. Tentunya  tidak mengambil kira perasaan orang Sarawak dan juga KM Sarawak dan kesannya kepada Pilihanraya Negeri Sarawak kelak.

Saya baru ke Sarawak  dan saya amat malu ketika berjalan kaki bersama kawan-kawan di bandar  Kucing, ada orang berteriak dg kuat kepada saya  dari seberang  jalan : Datuk Bila Najib nak  turun, suruh dia turun cepat lah.Kawan-kawan saya ketawa.

Sebenarnya apa yang berlaku adalah proses sama yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin negara yang hendak menyelamat  diri pada saat-saat terakhir.

Najib dalam keadaan panik, hilang perhetongan dan kewarasan walaupun nampak tenang dengan denial sydrom nya tetapi tindaknya adalah menampakan kepada rakyat  dirinya yang sebenar.

Dia lupa kepentingan Adenan Satem,dia  lupa Sarawak sebagai fix deposit dan dia ingat hanya UMNO  boleh selamatkannya.

Salam hormat dan simpati saya kepada Adenan Satem.


Nota:  Maaf jika terdapat  sebarang kesilapan ejaan.

Thursday, 21 January 2016

MUKHRIZ PASTI AKAN TERSINGKIR JUGA AKHIRNYA

MUKHRIZ mahu disingkirkan dari MB Kedah.Usaha  ini sedang berjalan dengan sokongan dari PM Najib kerana gerakan tidak percaya pada Mukhriz ini dilakukan oleh orang-orang yang setia pada Najib dari sejak sekian lama.

Walaupun Mukhriz akan cuba mempertahkann kedudukannnya  tetapi beliau akan tersungkur juga akhirnya kerana Najib perlu memperkuatkan kedudukannya dengan apa cara sekalipun dan dia merasa dia berada pada suatu kekuatan sekarang untuk melakukan permbersihan politik bagi kepentingan dirinya dan isterinya yang setia.

Bagaimanapun hakikat yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Kedah bahawa mereka memberikan sokongan kepada BN dan menjatuhkan kerajaan Pas adalah kerana Mukhriz telah diwar- warkan sebagai bakal MB Kedah dalam pilihanraya lalu.

Apapun rakyat tahu apa yang telah dilakukan oleh Mukhriz,tidak ada cerita rasuah dan penyelewengan seperti di bawah pimpinan orang-orang lama.Imej mereka terlalu teruk untuk kembali mentadbir Kedah.

Kedah sekarang  bersih dari sampah sarap dan rumput lalang memanjang dan kawasan-kawasan perumahan terjaga longkang-longkangnya,pembuangan sampah,kerapian rumput dan sebagainya .

Kehendak dan keperluan  rakyat biasa yang kecil dan kepentingan perumahan untuk Melayu lebih diutamakan dari projek-projek besar yang mengisi temolok beberapa orang sahaja.

Saturday, 16 January 2016

PERJALANAN ROH ALLAHYARHAM TUN ABDUL RAZAK

DI MAKAM PAHLWAN KAU TERBARING SEPI
Seorang rakyat biasa yang tidak dapat menahan kesedihannya ketika menziarahi jenazah Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Negara( Dari buku Tun Razak Jejak Bertapak Seorang Patriot oleh Zainuddin Maidin )

Pada persepsi orang, saya adalah  rapat dengan Tun Mahathir Perdana Menteri yang keempat dan Tun Abdul Razak Perdana Menteri yang kedua. Ini tidak benar tetapi saya boleh mendakwa rapat dengan jiwa mereka,menghayati  dan memahami visi dan inspirasi mereka kerana menjejaki jejak-jejak  mereka dari sejak awal.

Anggapan orang ramai mungkin berasaskan kepada dua buah buku  hasil karya saya : Tun Razak Jejak Bertapak Seorang Patriot dan Mahathir Di Sebalik Tabir.

Saya mendapat kepuasan yang tinggi  dalam penulisan kedua buku itu kerana mengenai Tun Abdul Razak diberikan kepercayaan oleh Lembaga Amanah Yayasan Tun Razak untuk saya menulisnya dan Mahathir Di Sebalik Tabir mencapai jualan tertinggi.

Lebih dari itu ialah oleh apabila mereka yang membaca memberitahu banyak mendapat maklumat tersembunyi dan latar belakang yang mereka tidak pernah tahu dari kedua buah buku itu.Ini adalah kepuasan seorang penulis.

Tun Razak sebenarnya tidak rapat dengan semua para wartawan seperti Tun Mahathir kecuali dengan wartawan yang sebaya denganya seperti Tan Sri Samad Ismail (NST) dan Tan Sri Melan Abdullah  (Utusan ) dan Wahab Majid( Bernama). Kami wartawan-wartawan muda dikenalinya kerana sering meliputi tugasnya dan mengikutinya keseluruh pelusuk tanah air yang ketika itu masih dalam keadaan mundur  dan miskin. 

Beliau adalah seorang pemimpin yang ketokohannya digeruni dan disegani tidak sahaja oleh kami tetapi juga pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Pendekatan kami dengannya lebih bersifat rasmi dan tidak dalam suasana santai.

Bagaimanapun kami lebih dapat menyelami keperihatinannya terhadap masyarakat kampung,caranya berkerja  dan keupayaannya menggembelingkan pegawai-pegawai kerajaan berkerja dengan penuh komitmen dan dedikasi untuk membawa perubahan dengan perancangan dan strategi yang berkesan di kalangan rakyat yang mundur. 

Kami tidak dapat melupakan betapa beliau dari pagi hingga larut malam melawat dari kampung ke kampung   tanpa  kelihatan letih dan bosan untuk mengetahui masalah rakyat dan mengatasinya.

Dalam politik,kami mengkagumi  kebijaksanaan dan kehalusannya mengendalikan krisis seperti menarik benang dalam tepong.Pengurusan politiknya penuh berhemah dan  berperadaban  tinggi termasuk   yang melibatkan cabaran terhadap dirinya sendiri.

Sudah terlalu banyak air  mata saya menitis untuknya walaupun dia bukan saudara saya tetapi terharu bila  pemergian abadinya  di London dan pada setiap majlis memperingatinya. 

Saya tidak dapat mengawal perasaan ketika  sembahyang ghaib jenazahnya di Malaysia Hall  London sebelum jenazahnya di bawah pulang ke tanah air.Titisan air mata tidak terhenti. Saya tidak tahu kenapa tetapi pada ketika itu saya teringat kembali jejak-jejaknya yang telah saya ikuti sekian lama bersama rakan -rakan wartawan.

Saya terharu  ketika menyampaikan ucapan mengenainya di Seminar Legasi Tun Abdul Razak di Pusat Konvesyen Sime Darby pada 16 Jun 2007 anjuran Pemuda UMNO Malaysia dan demikian juga dalam suatu program RTM ketika saya masih menjadi Menteri Penerangan.

Semua ini berlaku kerana penerusan rasa kehilangan yang besar yang tidak pernah kunjung padam kerana dalam hidupnya yang singkat  banyak  asas pembangunan bangsa dan negara yang  ditinggalkannya.

Sebagai seorang lelaki saya tidak sewajarnya menangis dihadapan umum. Kepada orang cina menangis di depan umum adalah menampakkan kelemahan seorang lelaki. Maka itu PM Singapura ,Lee Kuan Yew, tidak pernah menangis di depan umum seperti kerapnya Mahathir menitiskan air mata kecuali pada hari perpisahan Singapura dari Malaysia yang memusnahkan harapannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Bagaimanapun titisan air mata saya setiap kali mengenang kembali pemergiannya, saya tidak anggap sebagai kelemahan saya tetapi terbit dari rasa ikhlas penilaian terhadap kebesaran kejayaannya menukarkan haluan dan identiti bangsanya,menukar  kampung menjadi bandar, menebus marauh bangsa dan negara diatas tragedi dan peristiwa berdarah dengan kebijaksanaannya mengatur langkah dan stratiji yang adil. 

Beliau mengenali dengan tepat punca masalah ketidakstabilan negara dan mencegahnya dari menjadi lebih buruk  dengan melaksanakan dasar  ekonomi seimbang dengan dukungan seluruh parti politik kecuali parti perkauman DAP.

Diatas tanah hutan rimba beliau bangunkan kehidupan bangsanya,menukar orang kampung yang miskin menjadi petani yang berjaya,menjadikan anak-anak mereka terpelajar dan orang profesional. 

Apapun langkah yang diambilnya dalam menghadapi cabaran politik terhadap dirinya namun beliau tidak hilang pertimbangan  dan tidak menampakan tangannya dalam tindakan mahkamah dan sebagainya  kecuali berlaku sesudah kematiannya. Beliau tidak terlihat sebagai seorang pemimpin murahan yang kehilangan peradaban,menjadi panik dan mengambil tindakan undang-undang kepada siapa sahaja yang mencabarnya.

Beliau tidak menjadikan tindakan  saman malu sebagai senjata untuk  menutup mulut musuh politiknya seperti yang dilakukan oleh PM  Singapura, Lee Kuan Yew kerana menyedari  akan  menampakan ketakutannya kepada demokrasi setelah mengembalikan demokrasi di negara ini selepas perisitiwa 13 Mei.

Beliau menjadikan bangsanya berani mengambil risiko dengan menggalakan penghijrahan  mereka secara teratur tidak sahaja ke tanah-tanah hutan rimba tetapi juga  ke bandar -bandar untuk memperjudikan hidup  dan beliau tidak menjual tanah Melayu di bandar kepada orang asing setelah mendakwa membangunkan organisasi  untuk meluas dan mengekalkan aset Melayu di bandar. 

Dalam mengingati semula permergiannya selama 40 tahun, saya berhasrat untuk menyepikan diri  untuk  kerkabung atas keruntuhan sebuah   legasi agung yang ditinggalkannya.

Tanpa wasiat  yang ditinggalkannya,Tun  Mahathir  tidak akan menjadi  Perdana Menteri. Mahathir adalah legasi Tun yang terakhir tetapi Mahathir telah mewariskan negara ini kepada satu demi satu  tangan yang salah.

Tun Razak  tidak pernah mahu menerima Anwar Ibrahim ke dalam UMNO (Tanyalah dengan Sanusi Junid)tetapi Mahathir memberi kepercayaan yang besar kepadanya yang diikuti dengan pemilihan yang salah hingga kepada Datuk Seri Najib.

Di hari ulang tahun pemergian Tun Abdul Razak ini, titisan air mata saya kali ini bukanlah lagi kerana kebanggaan atas keagungan warisannya tetapi atas kecemaran, kehilangan dan kehancuran  maruah  kemuliaan suatu bangsa yang b yang sekian lama dihormati oleh dunia yang bertolak dari kesanggupan sebatang dian membakar dirinya sendiri sehingga saat menutup matanya.

Sanjungan yang ada hari ini hanyalah  diatas hipokrasi pemimpin-pemimpin yang tidak percaya kepada apa yang mereka ucapkan. Kemusnahan ini tidak mungkin akan dapat diperbaiki lagi.

Seperti kata Rafidah Aziz jika Tun Razak masih hidup, Allahyarham juga akan kecewa.Pandangan ini dikongsi oleh hampir seluruh rakyat dari berbagai lapisan kecuali mereka yang percaya kepada politik denial syndrom dan  hipokrasi sebagai kebenaran.

Pemimpin dan mereka yang percaya bahawa keadaan kita berada pada keadaan yang diharapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak  adalah terdiri dari mereka yang  tidak menjiwai perjuangan dan perjalanan rohnya  seperti yang dimadahkan oleh penyair Sabda S dalam buku saya: Tun Razak Jejak Bertapak Seorang Patriot:

PERJALANAN ROH

Ketika aku mengucap 
Ina lilallah wa ina ilaihi rajiun
Kau bukan mati perdana
tetapi sekadar istirehat

Dari makrifat sebuah zat

dari perjalanan  semalam
yang penuh perjuangan

Siapapun bakal kembali

menghadapi Ilahi

Yang tidak terduga bila serunya


Ketika air mata gugur berderai

kami bukan menangisimu pahlawan
sekadar manifestasi selamat tinggal
menuju ke pengadilan yang maha tunggal

Di Makam Pahlawan kau terbaring sepi

berceritalah tentang perjuangan dan pembangunan
Ssesungguhnya Allah maha mengetahui

Al Fatihah


Sabda S
Kuala Lumpur
15 Januari 1976.



Monday, 11 January 2016

PAS AKAN MENJADI PARTI ALTERNATIF KEPADA UMNO

KOMEN:
I am no umno but the Idealism in umno is now dead no one listen to its fore neither nor take heed as what the forefather leaders that laid it's foundation foresight
My perspective is different from TS. PKR, bukan PAS, adalah alternative untuk pengundi umno/bn yang dah muak dengan umno. Take into account sarawak and sabah voters too. And take into account yang pengundi2 pun dah tahu yang PAS ni cakap lebih, kelantan cam tu jugak

Jika orang Melayu dan Islam melihat kerjasama Pas dan UMNO pada pilihanraya akan datang sebagai suatu perkembangan kearah  perpaduan Melayu dan Islam maka itu adalah konklusi yang  berasaskan  sentimen tanpa memperhetongkan  fakta-fakta yang mendorongkan  kerjasama ini.

Media arus perdana UMNO dan juga media sosialnya cuba  menggambarkan perkembangan ini  menuju kearah  perpaduan Melayu tetapi sebenarnya ia merupakan usaha untuk menyelamatkan Perdana Menteri Malaysia Najib dan kepada Pas adalah untuk survival jangka panjangnya.Dalam situasi ini, PAS berada dalam keadaan lebih advantage dalam keadaan UMNO hilang sokongan

Hakikat yang tidak mahu diakui oleh pemimpin-pemimpin UMNO  ialah orang Melayu di luar UMNO  tidak lagi melihat UMNO sebagai parti yang mewakili orang Melayu sebaliknya mereka melihat PAS sebagai parti  alternatif kepada   UMNO kerana pemimpin-pemimpin UMNO telah terpalit dengan kehilangan kredebiliti pemimpin mereka.

UMNO sekarang berada keadaan "syok sendiri" sendiri di bawah pimpinan yang tiap hari suaranya adalah suara self denial yang tidak lagi didengar atau dipedulikan oleh orang ramai.Kenyataan terakhir Najib bahawa isu 1MDB hampir selesai dan tidak menggunakan tabung awam tidak memberi kesan untuk memulihkan moral politiknya yang jatuh kepada taraf yang sangat rendah.

Buatlah kajian yang jujur di lapangan dari penjawat awam tinggi dan rendah, bermula dari pemandu-pemandu kereta kerajaan hingga setingginya dan dari kalangan  rakyat biasa dintepian jalan atau di kampong-kampong. Mereka  tiada lagi keyakian kepada UMNO.

Di mana-mana saya pergi akan ada orang bertanya atau akan menyekat saya untuk bersuara tentang keadaan sekarang. Terakhir seorang pegawai kerajaan dari Johor yang menegur saya di Alamanda Putrajaya semalam yang terus bertanya : Apakah akan jadi pada cucu cicit kita akan datang? Tan Sri tak bolehkah  buat sesuatu ? dan saya bertanya pada diri saya sendiri" Siapa saya?

Sebenarnya rakyat berada dalam kehilangan keyakinan kepada pucuk pimpinan negara yang tidak pernah mereka rasakan sejak zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman hingga ke Tun Mahathir.Orang Melayu mahu lari dari keadaan ini,mahu lari dari UMNO kerana mereka tidak lagi nampak ada pemimpin yang berkeupayaan.

Pas walaupun  berada dalam krisis kredebiliti ,umum melihatnya sebagai parti yang bermoral dan berintegriti yang lebih baik dari UMNO.

Keyakian President Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang  bahawa Pas akan terus kekal sebagai sebuah parti politik walaupun tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak dan tidak tergugat dengan pembentukan kerjasama   PKR,DAP dan PAN ,lebih meyakinkan dari kenyataan Najib tentang masa depan UMNO.

PAS pasti  mendapat maklumat bahawa penyokong-penyokong UMNO dan juga orang Melayu pada keseluruhannya sekarang melihat PAS sebagai alternatif kepada UMNO dan bersedia untuk mengubah undi kepada PAS.

PAS akan lebih mudah dan berkesan  untuk menarik sokongan Melayu  dan Islam kiranya perubahan drastik dilakukan dengan penyusunan semula kepimpinan PAS , mengembalikan kedudukan mereka yang pernah suatu masa dicampak keluar sedangkan mereka berpontensi  untuk membina  masa depan PAS.Panggillah mereka kembali.

Pas mempunyai  ramai  pemimpin- pemimpin muda yang berkaliber besar,bersih dan berintegriti.

Pas akan lebih menarik sebagai parti alternatif orang Melayu sekiranya Haji Hadi berundur walaupun kedudukannya  tidak seburuk Najib,malah perletakan jawatan nya akan menampakan keikhlasannya kepada rakyat bahawa beliau lebih memetingkan pemulihan  PAS dari kepentingan diri.

Tindakan ini juga dan akan menjadi suatu cabaran besar kepada Datuk Seri Najib  yang mahu terus bertahan walaupun tidak lagi dikehendaki oleh  rakyat.

PAS tidak perlu melakukan pembersihan dalaman kerana makhluk-makhluk perosak dan kotor   telah melakukan pengasingan diri  yang tanpa disedari oleh mereka sendiri, banyak membantu memulihkan semula   keperibadian asal PAS disamping pemodenan yang dialaminya dalam proses penyesuaian diri dengan   politik semasa negara.

PAS berada dalam situasi yang lebih baik dari UMNO  untuk menjadi pilihan kepada orang Melayu dan Islam di negara ini bagi menggantikan  UMNO yang berpotensi akan hancur pada Pilihnarya Umum akan datang.

PAS menyedari hakikat ini dan pastinya  tidak akan memberi laluan mudah kepada UMNO  sekiranya UMNO mahu memainkan sentimen Melayu dan Islam untuk menyelamatkan Najib. Pas tidak akan dapat diperkudakan untuk menyelamatkan Najib dan Rosmah.

PAS berada pada kedudukan yang lebih baik dari UMNO berasaskan perubahan sikap rakyat diakar umbi dan PAS sekarang adalah parti alternatif kepada UMNO dan kerana itu mempunyai kuasa tawar menawar yang lebih besar dari UMNO sekiranya UMNO mengharapkan kerjasama dengannya.

Nota:

Maaf sekiranya terdapat banyak kesilapan ejaan yang belum diperbetulkan.


Sunday, 3 January 2016

PERTEMUAN ZAM LIM KIT SIANG DI FIREFLY PENANG

PAK TAM PENARIK BECA PEMINAT BLOG



Pak Tam, penarik beca di Penang 

Saya tidak merasa bangga jika diperkenalkan atau dikenali sebagai mantan menteri tetapi segar ceria  bila sesaorang mengenali saya sebagai wartawan,penulis buku atau blogger.

Kebanyakan orang tidak terus menegur saya kerana tidak pasti tetapi bila saya tersenyum pada sesaorang yang memerhatikan saya bekali-kali  maka dia akan bertanya "Ini Zainuddin Maidin Zamkata ke?",Ya kata saya dan jawapan yang selalu saya terima" Kami takut nak tegur,takut salah orang"

Saya telah bersara sebagai Menteri Penerangan lebih 7 tahun tetapi saya yakin  orang tidak lagi akan mengenali kalau saya tidak terus  menghubungi mereka  menerusi  penulisan saya. Walaupun tidak lagi boleh menulis di Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia di bawah pemerentahan  Demokrasi Ala Najib tetapi saya masih boleh bernafas  menerusi blog Zamkata

Saya tidak terkejut  jika kalangan profesional,pegawai tinggi kerajaan ,orang koporat dan sebagainya  mengenali saya sebagai penulis tetapi saya terkejut, terharu dan berbangga bila baru -baru ini seorang penarik beca di Pulau Pinang memberitahu dia mengikuti blog saya.

Namanya Din tetapi katanya orang panggilnya Pak Tam kerana dia hitam.Dia benar-benar hitam sehingga bila diambil gambarnya, saya tidak dapat mengenali wajahnya menyebabkan saya terpaksa mengulangi pengambilannya.

Ceritanya bagini: Bila saya keluar dari Hotel Bayview George Town  untuk menyewa sebuah beca yang kelihatan di hadapan hotel itu saya mendapati penariknya tidak ada.

Saya bertanya mana tuannya pada seorang lain yang bila melihat saya terus mendekati saya dan bertanya ini Maidin Zainuddin ke? Jawab saya bukan. "Ini Zainuddin Maidin" dan penarik beca yang tadinya tidak kelihatan muncul dari sebalik pokok besar dan berkata kepada kawannya  " Eh hang tak kenal ini  Zamkata."

Itu nama blog saya. Saya  bangga dan terus bertaya" Hang baca blog aku?. "Bila rehat-rehat bacalah,"katanya bersahaja  dan saya tersedar betapa kesilapan penilaian saya terhadap kualiti manusia berasaskan kepada kerja mereka .

"Orang kata blog aku anti Najib?",kata saya kepadanya "Tak adalah Tan Sri, Saya tak  rasa bagitu, saya rasa  Tan Sri tak terikat dengan sesiapa, Tan Sri bebas,"
Saya semakin mengkagumi pandangan waras seorang penarik beca  yang tidak terbawa oleh sentimen.

Selama dua hari di Penang saya menggunakan penarik beca ini  untuk  membawa saya melalui lorong-lorong kecil di pulau ini yang telah banyak bertukar rupa menjadi lorong-lorong yang romantik,cantik, bersih dan artistik dengan studio 3D di sana sini yang menampakan kerativiti seni dan inovasi kerajaan negeri untuk menjadikannya lebih menarik disamping mendatangkan rezki kepada pengusaha.

Dinding-dinding kedai lama di sani sini dihiasi  dengan lukisan dan rekaan bentuk logam yang  menarik untuk kamera para pelancong.

Hari kedua setelah mendapat  upah kecil dari saya , Pak Tam datang dengan pakaian lebih kemas dan bersih,bercermin mata hitam yang menambahkan hitamnya dan bercincin batu hitam besar.

"Hebat Pak Din hari ini,"kata saya dan dia tersenyum lebar. Saya tanya Pak Din  dah khawin ke?.Dia bercerita  tak pernah khawin kerana tidak  pernah mempunyai perkerjaan tetap sejak muda, dari pemandu  lori, menjadi pengawal dan membuat   berbagai-bagai kerja lain lagi sehinggalah berakhir sebagai penarik beca.

Saya katakan padanya" banyak orang tak kerja  tetap pun  tetapi khawin juga. yang betulnya hang ni kaki rumbu masa muda sampai lupa nak khawin, betul tak?" Dia ketawa besar dan memberitahu bahwa 80% penarik beca tidak khawin,tidak mempunyai rumah tetap,tidur dibeca atau berkongsi bilek yang disewa bersama kawan-kawan.

Pak Din biasanya tidur diatas beca sahaja tapi jarang sekali sakit demam,tak ada darah tinggi atau kencing manis. Pencarian cukup makan.Di belakang becanya saya lihat  tergantung berbagai-bagai bungkusan makanan yang diberi orang.

Dari penarek beca ini dan juga dari seorang  pembawa teksi dari Lapangan Terbang  Pulau Penang ke hotel, saya mendapati banyak  cerita tentang pendekatan kerajaan negeri yang menjijak hati rakyat dengan berbagai bantuan   yang mungkin tidak diketahui atau tak dipedulikan  oleh orang-orang UMNO atau BN seperti bantuan tetap tahunan kepada pemandu-pemandu teksi,kepada nelayan-nelayan untuk tukar pukat enam bulan sekali,kepada ibu ibu  yang melahirkan anak dan berbagai lagi yang tidak pernah kita dengar di bawah pemerentahan Gerakan(BN) dulu.

Saya bimbang kerana caranya adalah lebih berkesan dari BRIM dan berlaku secara senyap tetapi meresap di hati rakyat biasa.

Ketika di  Lapangan Terbang  Pulau Pinang saya bertembong dengan bapa Ketua Menteri Pulau Pinang,anggota Parlimen DAP "tergantung" , Lim Kit Siang dan keluarganya  yang hendak  menaiki Firefly bersama saya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Lama saya tidak berjumpa dengannya.

Katanya kepada saya " Ini orang merbahaya, Najib makin kuat". Saya tertawa.Siapa saya?

"Kuatnya hanya dengan sokongan padu pemimpin-pemimpin  UMNO dan tidak di kalangan rakyat.Tetapi itulah caranya untuk memelihara perpaduan parti. Saudara lebih tahu" kata saya dan Kit Siang nampak  bersetuju kerana dia lebih maklum tentang rahsia menguasai perpaduan parti dengan caranya yang  dianggap sebagai dictatorial.

Asyik bercakap ,lupa saya hendak bergambar dengan pemimpin besar pembangkang itu  untuk disiarkan dalam blog saya yang  pastinya akan  menjadi bahan spekulasi media social  "Konspirasi Baru Zam Lim Kit Siang" setelah konspirasi dengan Tun Mahathir dan Tun Daim.