Sunday, 31 January 2016

KEMAKMURAN GUGAT KETENTERAMAN DAN KESELAMATAN DI FELDA.

-
Apabila menyertai  Felda Lepar Gambang Pahang lebih 30 tahun lalu, Pak Long di lantik sebagai ketua salah sebuah blok di rancangan ini oleh kerana mempunyai kualiti kepimpinan dan latar belakang keagamaannya.

Pak Long lah yang mengambil berat tentang kebajikan peneroka setempat masa itu,sakit demam mereka,urusan persekolahan anak- anak mereka dan hal-hal yang bersangkutan urusan peneroka dengan penghulu dan pejabat  kerajaan.

Kata seorang penduduk jika di tengah malam pun diminta pertolongannya,dia akan datang.

Beliau adalah diantara perintis peneroka yang mahu keluar dari kemiskinan menerusi   rancangan Felda yang  terancang dan bersistematik yang diperkenalkan oleh kerajaan sebaik sahaja merdeka pada tahun  1957.

Telah pun diketahui umum bahawa semua rancangan Felda berjaya,digambarkan oleh penambahan besar pendapatan peneroka, keadaan rumah mereka sendiri yang asalnya hanyalah sebagai pondok tetapi sekarang telah bertukar menjadi rumah-rumah batu atau kayu yang jauh lebih besar dan lebih sempurna.

Rumah asal di  Felda Lepar Gambang( gambar di atas)  tidaklah memberikan gambaran tentang keadaan kehidupan  masyarakat Felda seluruh negara sekarang sebaliknya ini  hanya satu dalam seribu dari rumah-rumah yang asal yang masih boleh ditemui oleh sebab- sebab yang hanya diketahui oleh pemiliknya.

Kawasan-kawasan Felda telah bertukar menjadi bandar yang lengkap dengan segala kemudahan infrastrukur , yang menggambarkan kepada dunia  suatu revolusi sosial dan ekonomi yang besar telah berlaku di Malaysia dalam mengubah kehidupan  orang-orang kampung  yang miskin menjadi  peladang-peladang yang makmur,menikmati kehidupan yang terjamin dan kejayaan  generasi barunya  menerusi pendidikan, malah banyak yang menjadi gulongan profesional.

Sesetengah  mereka tidak lagi menjadi peladang sebaliknya membina kehidupan sendiri   dengan menjalankan perusahaan kecil seperti membaiki rumah, paip air,kerosakan letrik,membuka bengkel motor dan kereta yang keperluan ini semua datang diatas limpahan  kejayaan Felda.

Walaupun pendapatan mereka semakin kecil dengan kejatuhan harga kelapa sawit  dan getah  tetapi mereka yang berjimat dan menabung mampu hidup seperti biasa malah yang lebih menarik dalam keadaan kemerosotan ekonomi sekarang pun,mereka masih mampu  untuk melancong  ke negara-negara jiran dan juga menunaikan umrah.


Bagi saya yang menyaksikan sendiri pelancaran Felda Sungai Tiang 16 km  dari Pendang Kedah lebih 50 tahun dahulu oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak cukup insaf bila melihat pencapaian Felda Lepar Gambang walaupun saya pernah melihat kejayaan Felda di tempat lain tetapi tidak pernah bermalam dan berinteraksi dengan peneroka-peneroka asal seperti di Lepar.

Di waktu pagi kita dapat melihat banyak orang minum dan makan di kedai-kedai kopi  atau membeli makanan untuk di bawa pulang.Demikian juga di malam hari. Pekan Sehari juga  dikunjungi ramai.


Di sebalik cerita indah  ini,terbukti kemakmuran di Felda tidak menjamin ketenteraman,keselamatan  dan keharmonian  hidup masyarakatnya sebaliknya mereka  terancam oleh masalah sosial yang sama seperti di bandar malah lebih buruk.

Generasi baru dan lama Felda  tidak  berbangga dengan mempunyai saham FGV (Felda Global Ventures) sebagai peningkatan  taraf hidup mereka menyamai peladang-peladang negara maju  sedangkan  mereka tidak lagi tenteram, tidak dapat meninggalkan rumah dalam keadaan selamat, hasil tanaman mereka;pisang,durian ,rambutan,kelapa dan apa juga yang boleh mendatangkan wang untuk membeli dadah dicuri di hadapan mata mereka sendiri.

Penagih-penagih dalam Felda lebih berani dari orang-orang setempat  kerana ibubapa mereka mengenali antara satu sama lain malah diantara mereka adalah anak kepada peneroka-peneroka yang kaya dan berjaya. Rasa hormat menghormati,segan malu antara satu sama lain menyebabkan keengganan untuk bertindak.

Saya amat tersentuh hati bila Pak Long Ketua Blok 14  peneroka asal Felda Lepar menceritakan  lebih 50 tandan pisangnya  yang dibajai dan dijaga dengan rapi, dibalutnya dengan sarung plastik supaya tidak di serang serangga tetapi pada suatu pagi mendapati semuanya telah hilang ,yang  tinggal hanya sarung balutannya sahaja.

Sebagai peneroka perintis pada tahun 1982.Pak Long diingati sebagai seorang yang penuh dedikasi, menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk  peneroka setempat ,mengambil  berat sakit demam mereka,menguruskan hal persekolahan anak-anak  mereka dan memberikan apa juga pertolongan  yang diperlukan  walaupun di tengah malam buta.

Pak Long tidak pernah terfikir untuk melihat balasan yang pedih dan kejam dari sesetengah anak-anak Felda  yang mendapat nikmat dari pengorbanan ibu bapa mereka.

Bukan semua anak Felda menjadi penagih dadah tetapi jumlah mereka yang kecil sudah cukup untuk meganggu  kehidupan banyak peneroka. Polis telah bertindak dari masa ke masa,penagih dan pencuri ditangkap,dibicarakan dan dihukum penjara tetapi setelah dibebaskan mereka kembali kepada tabiat lama. Ada diantara mereka yang telah mati akibat dadah tetapi semua ini tidak memberi kesan atau pengajaran kepada yang lain.

Pak Long adalah diantara 450 orang peneroka asal Felda Lepar,usianya sudah melampaui 70 tahun,keadaan kesihatannnya juga merosot,100 orang  rakannnya telah pun meninggal dunia. Pak Long ingat satu persatu.Dia bersukur dan gembira kerana keluarganya juga berjaya

Tetapi Pak Long sedih kerana beliau dan juga rakan-rakan yang masih hidup  dan  yang telah pergi tidak pernah terfikir  bahawa kemakmuran tidak akan menjamin kebahagian dan keselamatan.Mereka telah diyakinkan bahawa dengan menebus kemiskinan akan membahagiakan kehidupan dan mengangkat maruah mereka sebagai petani dan orang Melayu.

Mereka menilai kejayaan yang telah dicapai,perubahan besar kepada diri mereka sendiri tetapi sekarang mereka tidak lagi  merasa berada dalam keadaan selamat seperti yang yakinkan.

Yang masih mengikat perasaan mereka pada Felda adalah  kasih sayang terhadap tanah yang berjasa kepada mereka, yang menjadi kediaman mereka sejak berpuluh tahun  lalu tetapi persekitaran terasa mengancam.

Ketika menyertai Felda dahulu mereka  diberitahu supaya  berdisiplin dan berkerja keras  bagi masa depan mereka.Formula ini semua telah menjayakan kehidupan mereka.

Anak-anak Felda yang membesar dalam keadaan selamat sedang meruntuhkan keselamatan yang dibina dengan titik peluh ibu bapa mereka diatas kemiskinan dan penderitaan hidup.

Pak Long tidak lagi melihat  kemakmuran  menjamin keselamatan dan ketenteraman hidup, tidak berlaku seperti  yang diyakinkan kepada ketika menyertai Felda.

Dimanakah silap kita?





21 comments:

  1. Anak Felda Pahang1 February 2016 at 08:06

    Jika Pengerusi Felda sendiri sudah tidak ambil berat,maka eloklah anak-anak Felda yang telah berjaya,menjadi jutawan dan lain-lain kerja profesional melihat masalah dadah di kalangan anak-anak peneroka Felda secara serious.
    Pihak polis dan juga AJK kampong boleh membantu dalam usaha untuk menyelamatkan generasi baru ini supaya tidak merebak menjadi suatu masalah atau wabak yang tidak terkawal

    ReplyDelete
  2. Ramai juga anak anak melayu yang telah berjaya di bandar bandar yang telah menjadi mangsa perang saraf yang dijalankan secara halus dan sistematik! Bagi anak melayu peneroka felda yang menjadi penagih...apakah hubung kaitnya dgn sendiket sendiket dadah yg tumbuh macam cendawan lepas hujan sejak akhir akhir ini terutama banyak nya tangkapan dan serbuan yang di buat olih pihak berkuasa terutamanya di P.Pinang?

    ReplyDelete
  3. Masalah ini bukan di kawasan felda saja malah menjalar ka kawasan kampong kampong Nelayan baik di pantai timur juga pantai barat macam di kedah ,Penang ,perak dan selangor ,yang peliknya mesti melibatkan kawasan melayu ,hai Tan Sri ini la beban yang kena tanggung bila dah senang.

    ReplyDelete
  4. Saya mat setuju sekali dengan tulisan TS Zam. Ya, kemakmuran telah menyebabkan kita tidak lagi merasa tenteram dan selamat.

    Saya masih ingat ketika masih kanak-kanak pada 1970an. Pintu dan tingkap rumah dibiar tergangga hingga ke malam. Nak tidor, baru di tutup. Pada ketika itu, tidak menjadi keperluan untuk memasang palang-besi dan grill pada pintu atau tingkap.

    Jika kehilangan ayam pun, setakat seekor-dua saja, dimakan ular sawa atau dicuri budak-budak nakal untuk mengalas perut. Ketika itu Kerajaan, pada pendapat saya, masih secular. Tiada 'bacaan doa' di sekolah-sekolah. Jika ada perempuan yang pakai scarf pun, kita sudah rasa pelik. Tidak ada 'Polis-moral' untuk menangkap sesiapa yang minum arak atau berdua-duaan. Dadah synthetic belum dikenali. Selain candu, hanya ganja lebih digemari, ketika itu.

    Hari ini, bapa saya yang sudah tua, tidak lagi bela ayam kerana satu-reban (10 ekor lebih) telah dicuri. Lepas itu, 4 ekor merbok masuk reban. Bapa bergegas tutup pintu. Malangnya kesemua merbok itu dicuri pula, selepas 4 bulan. Sekarang, dia sudah tidak ada 'hobi' untuk masa terluang yang juga merupakan 'senaman' baginya.

    "Dimanakah silap kita?"

    Saya rasa 'silap' kita ialah mendidik 'agama' kepada anak-anak kecil, secara tidak betul dan keterlaluan. Kita tidak sepatutnya mengajar mereka bahawa sesuatu 'ibadat' itu boleh menghapuskan dosa, misalnya. Kanak-kanak, apabila diajar bahawa, naik Haji akan menghapuskan dosa dan mereka pula sudah didaftarkan sebagai pendeposit TH dengan gartis RM2, sudah tentu mereka tidak takut mencuri keran berpendapat dosa itu akan terhapus dihari tua ketika mereka pergi Haji.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sedikit tambahan.

      Mungkin ketika kecil, kita terlalu banyak diajar Agama berpandukan riwayat yang direka oleh, apa yang kita gelar Ulama atau Pewaris Nabi. (Mereka mencatatkan kisah-kisah Nabi Muhammad SAW, 200 tahun selepas Baginda wafat). Kita diajar dari kecil, cara-cara atau 'ibadat' yang boleh menghapuskan dosa. Juga bahawa sesuatu ritual itu, akan diberi ganjaran beribu atau beratus kali-ganda pahala dan balasan-syurga di akhirat. Jadinya, kita terlebih diajar 'beribadat' demi menagih balasan & ganjaran di akhirat, dan supaya terhapus dosa dunia yang sementara. Akhirat, kekal abadi.

      Mungkin sebab itu, anak-anak kecil berani mencuri, misalnya.
      Anak saya, darjah 5 ditangkap abangnya mencuri basikal di rumah jiran, dua lorong dari rumah saya. Saya marah dan suruh dia pulangkan. Pada malamnya, saya nasihatkan bahawa mencuri itu amat berdosa. Saya kata kepadanya: Cuba bayangkan, kalau orang curi harta-benda kita. Apa kita akan rasa?
      Dia jawab:
      "Ek..elh Abah, Esok besar Arith pergi Haji, habis la dosa Arith, Abah..."

      Terkejut beruk saya. Saya tak pernah ajarnya begitu. Kalau bukan dari Sekolah, dimana lagi, dia belajar ilmu penghapus-dosa itu.
      Dia pula boleh tanya saya; "Abah bil nak pergi Haji?".

      Saya perli dia balik: 'Abah tak pernah mencuri dan tak banyak dosa macam Arith. Orang tak ada dosa, buat apa pergi Haji'.

      Delete
    2. panglimo potaseh1 February 2016 at 19:09

      Sekarang saya tengok ceramah agak sepesen saja .. semua masalah dan dosa boleh diselesaikan dengan perbuatan nabi yang dilakukan pada 1400 tahun dulu.

      Malah ada uztas menyatakan di TV, kita orang Islam sangat bernasib baik sebab tata hidup kita dah ada panduannya yang telah di gariskan oleh nabi .. tak perlu jadi macam orang kafir yang setiap masalah perlu diselesaikan dengan kajian dan analisis sehingga sampai nak pecah kepala si kafir memikirkannya.

      Kita juga dilupakan yang perbuatan nabi itu hanya sunat, diikut okey tak ikut tak apa .. kita juga kekadang gelap juga biji mata memikirkan sama ada segala perbuatan nabi yang di ceritakan itu soheh atau rekaan. Pada saya sampai masa nya kita mencari satu metodologi baru untuk membaik pulih masyarakat kita hari ini.

      Delete
    3. Tak kan Nabi mewariskan kenabiannya itu kepada golongan yang bodoh?Macamana ostad-ostad yang sombong ini sangat yakin yang mereka adalah pewaris nabi?Hasil dakwah mereka sangat meleset.Al-Quran mengajar jangan belajar ilmu Islam itu daripada orang yang mengambil upah.

      Delete
  5. Salam TS,
    Pembetulan sikit....
    Felda Sg.Tiang tu 16km@10 batu dari Pendang.

    Anak Sg.Tiang Bangi

    ReplyDelete
  6. Tackle the roots of the problem....

    ReplyDelete
  7. panglimo potaseh1 February 2016 at 17:47

    Kalau ada sekumpulan budak lelaki melayu sedang lepak-lepak. Maka pada masa tu melintas pula beberapa anak gadis .. maka riuh rendah lah anak lelaki tersebut mengurat .. yang cantik nya ada yang sahut "assalamualaikum kalau tak jawab dosa .. masuk neraka". Mungkin kalau kerbau tu bertudung dan berbaju kurung, mungkin budak melayu ni pun akan riuh rendah juga .. stim tak tentu arah.

    Cuba kita lihat pula pada budak cina yang sedang lepak .. jika melintas amoi berskirt atau berseluar pendek .. mereka buat-buat tak tahu saja .. kata budak cina tu, amoi-amoi ini lebih berminat pada lelaki yang "gentlement".

    Mana silapnya kita, orang melayu .. ostaz ngajar dah di merata tempat .. di tv ostaz mewah berceramah dari subuh hingga ke subuh esoknya .. di sekolah jumlah kelas ugama dah ditambah berlipat kali ganda .. ayat nak dihafal dah berjela-jela panjangnya .. doa ada bermacam-macam doa, melangkah je sikit ada doanya .. tulah apa yang tak kena lagi. Budak cina tadi belajar ugama kat mana agaknya ya.

    Cuba kita bayangkan, saya ada rakan berbangsa inggeris yang agamanya setengah masak (aties kot) .. yang nyuruh saya memandu sebab lesen memandu nya belum diperbaharui, kalau nak juga dia pandu tunggu esoknya bila lesennya dah hidup.

    Walhal di tempat kita yang sarat dengan hembusan doa, banyak kemalangan lori dan bas didapati pemandunya tak de lesen dan cukai jalan .. cuba bayangkan remaja perempuan yang hilang dua kaki di langgar lori yang takde permit, cukai jalan dan lesen. Apa yang tak kena pada kita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju sangat dengan anda.Kita menganut agama 'kepercayaan' yang dibawa oleh tok guru,bukannya kebenaran dari Al-Quran.Bandingkanlah kepercayaan tadi dengan apa yang ada dalam Al-Quran,....ada perbezaan ketara.Ceramah,kuliah,pengajian,usrah dan pelbagai lagi yang berbunyi Arab selama ini, tidak akan menjadikan kita pemimpin di dunia ini.Kebodohan adalah tahap paling mulia dalam kepercayaan ini.Tidak perlu berfikir untuk mencapai taraf warak,....cukup dengan berjanggut dan berjubah.

      Delete
  8. Salahkan janggut dan jubah.Salahkan semua benda.Salahkan semua orang....kecuali diri sendiri!.Bayi yang baru lahir umpama kain putih.Ibu bapa lah yang akan mencorakkannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kau ada janggut dan suka pakai jubah ke?

      Delete
    2. Hanya orang lemah sahaja suka menyalahkan orang lain.

      Delete
  9. Mungkin kita kena hantar 'orang agama' dan pendakwah ke Jepun untuk belajar atau bagaimana mahu didik anak-anak tidak menjadi seorang pencuri atau suka amabil harta-benda orang lain.

    Kalau dah pemimpin pun 'menyamun' harta Rakyat, jadilah 'bapa-borek, anak rintik.

    ReplyDelete
  10. Budak budak nak buat sesuatu yang ada elemen thrill, bukannya yang boring boring macam dengar ceramah atau pergi kursus motivasi. Sebab tu laa ramai merempit, hisap rokok, pas tu naik pangkat hisap dadah. Budak budak zaman p ramlee dulu cari benda benda thrilling jugak, rempit dengan vespa; joget lambak, funfare. Cuma bezanya dulu jumlah yang tumbang tak ramai.

    ReplyDelete
  11. Apa yang boleh dibuat untuk minimakan masalah ini....
    1. Micro level
    2. Macro level
    3. Short term
    4. Long term


    Nak dengar cadangan bernas TS.......

    Wssalam



    Anak Sg.Tiang Bangi

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum Tan Sri ,

    Membaca tulisan Tan Sri kali ini macam baca sebuah novel . Ada mesej yang tersirat . Temanya adalah pencuri .Felda adalah suatu entiti yang dibangunkan oleh pemimpin terdahulu untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat . Namun generasi baru yang sepatutnya memelihara legasi tersebut tidak berbuat demikian sehingga menimbulkan kebimbangan peneroka bahawa kehidupan tidak lagi sedamai dan semakmur dahulu. Keselamatan terancam. Demikian tema dan mesej yang dapat saya faham daripada tulisan Tan Sri kali ini .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saudara telah membaca mesej saya dengan tepat sekali.Terima Kasih

      Delete
  13. Semua ini salah DAP dan Amanah. Apatah lagi sekarang ini Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz dan konco-konconya turut kalabu mata.

    ReplyDelete