Saturday, 26 September 2015

SAYA KEHILANGAN SEORANG KAWAN WARTAWAN YANG JUJUR

 Allahyarham Jamaluddin Ali 

Hari ini saya kehilangan kawan lama yang  jujur, Jamaluddin Ali 78 tahun,  bekas wartawan Bernama. Kami terhutang budi antara satu sama lain.Saya membawanya masuk ke dunia kewartawanan  dan dia yang memandu saya ke rumah seorang kawan di Kuala Lumpur  apabila saya membawa diri untuk mencuba nasib di dunia kewartawanan.

Saya menemuinya pertama kali dalam perjalanan keretapi dari Alur Setar ke Kuala Lumpur dalam tahun 1958. Jamal yang berpakaian baju putih seluar putih sedang belajar di Kuala Lmpur untuk mengambil pepereksaan HSC (Sijil Tinggi Persekolahan) dan kerana saya tidak tahu jalan maka sebaik tiba di KL dia memandu saya ke rumah Abu Zaki Fadhil Pengarang Agama Utusan Melayu. di Jalan Nakhoda Yusuff, Kampong Pandan. 

Saya bertujuan untuk singgah hanya beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan  ke Singapura tetapi dinasihatkan oleh Abu Zaki untuk pulang menjadi Pemberita  Sambilan di Alur Setar atas persetujuan Pengarang Utusan Melayu Said Zahari dengan elaun $50 sebulan.

Setelah berpisah setahun dua, beliau menemui saya semula  di Alur Setar sebagai seorang kerani di Cawangan Kesatuan Perkerja  Pengangkutan . Beliau menjadi rapat dengan "Geng Pasar Yaacob" di mana bertempat pejabat saya yang sering menjadi perhimpunan kawan-kawan.

Rupa-rupanya Jamal  hilang kerana  pergi belajar di sebuah Universiti di Jakarta.Indonesia,katanya,  tidak sehebat yang kita sangkakan.Dia menceritakan buku-buku teks universiti  dari stensil buku-buku asal dan dia dimarahi oleh pensyarah-pensyarahnya kerana kritikal terhadap keadaan ini.

Apabila pulang dari Jakarta, Jamal  membawa pulang buku-buku komunis yang ditulis oleh pemimpin- pemimpin Parti Komunis Indonesia(PKI). Bapanya seorang pegawai kerajaan di Kedah telah membaling keluar buku-buku itu dari rumahnya di Jitra.Saya ketawa besar dengan ceritanya.Dia juga ketawa.

Kawan-kawan di Pasar Yaacob memanggilnya Pak Din. Pak Din  disenangi oleh semua rakan-rakan kerana tidak tahu marah walau  disakiti hatinya dengan bermacam-macam cara.

Saya tidak dapat ingat bagaimanakah dia kembali menemui saya di Kuala Lumpur apabila saya bertugas  Kuala Lumpur pada tahun 1962. Dia  tinggal bersama saya di sebuah bilik kecil  di belakang sebuah rumah di Jalan Raja Uda Kampung Bharu.

Pak Din suka membaca tetapi saya tidak tahan dengannya dan kadang-kadang memarahinya kerana apabila ada sesuatu yang menarik dari buku yang dibacanya dia membangunkan saya yang sedang tidur untuk memberitahu saya.

Suatu malam dia menunjukan kepada saya surat dari bapanya untuk diberikan kepada bapa saudaranya  Pak Ariff  Ketua Polis Selangor  yang meminta supaya dicarikan  perkerjaan untuknya " kerana saya tak tahu nak buat apa lagi dengan anak saya". Saya ketawa. Dia tidak menyampaikan surat ini kepada Pak Ariff.

Apabila saya menyewa sebuah rumah kembar di jalan Raja Muda Musa Kg Bharu menjelang perkahwinan saya pada tahun 1964,saya membawanya  tinggal dengan  saya bersama dengan dua orang  lagi pegawai  pelatih dari Jabatan Penerangan Sarawak yang ditempatkan di Utusan iaitu Rakawi dan Deli.

Oleh kerana tidak mempuyai perkerjaan maka Pak Din bertindak sebagai tukang masak untuk kami makan malam di rumah bila perlu.Ketika  memasak dia memakai kain pelikat ke paras lutut  yang diikat seperti mamak kedai restoran.(di masa dulu)

Suatu hari dia memberitahu saya bahawa dia mendapat kerja sebagai penjual iklan bagi majallah Deplomat. Namanya hebat tetapi saya  mendapat tahu dia mendapat  sekali sahaja bayaran  iaitu $5 bagi belanja kenderaan.

Apabila saya mendapat tahu bahawa akhbar Malayan Times yang dalam keadaan "tenat" memerlukan pemberita saya memperakukannya untuk bekerja. Dia gembira sekali  dan sangat berminat dengan kerjanya tetapi tidak lama kemudian MT ditutup dan disambung dengan Estern Sun tetapi akhbar ini juga ditutup kemudianya.

Pak Din bernasib baik dengan pengalaman singkat di dunia akhbar dia dapat menyambung kariernya di dunia kewartawanan di Bernama yang ketika itu memerlukan pemberita.Dedikasi, komitmen dan kejujurannya telah membantunya  meningkat naik dalam jawatannya sehingga dia diberikan kepercayaan menjadi wakil negeri dan  telah dihantar mewakili  Bernama di Jakarta.

Saya pernah  mengujunginya bersama dengan isteri saya  dan bermalam di rumahnya di Jakarta. Sebelum keluar dari rumah dan meninggalkan isteri saya di rumahnya, Pak Din  memberithau orang gajinya" Jaga  ibu ya,engkau jangan pergi mana-mana"

Tetapi menurut isteri saya, sebaik  sahaja kami keluar,orang gajinya pun keluar jalan-jalan jumpa kawan-kawannya.Siapa takut dengan Pak Din yang tak tahu marah

Dalam suatu kunjungan yang lain ke Jakarta , pada suatu malam Pak Din membawa saya dan rakan-rakan untuk menukar wang di pasar gelap di Jakarta. Bila tiba disuatu lorong gelap dia beritahu "kau orang ikut aku di belakang" dan dia berada didepan sekali.Kami tahu dia seorang yang penakut,tak suka gaduh dan tak mungkin akan dapat melindungi kami jika apa-apa berlaku.Kami berteriak padanya" Pak Din Hang tak usah nak gempak la". Dia berhenti,tersenyum dan kembali berjalan dengan kami.

Sesuatu yang akan dikenang oleh semua rakan-rakan ialah dia seorang yang sangat penyabar dan tak tahu marah. Mungkin oleh kerana menyimpan perasaan marah dan tidak tahu meluahkannya maka dia diserang stroke sejak 17 tahun lalu.Wallahualam.

Ketika mengunjuginya bersama rakan bekas wartawan Utusan, Latiff Nordin Jumaat  lalu di PPUM, Pak Din yang dalam keadaan tenat, masih dapat mengenali suara kami dan kami tahu bahawa kami akan kehilangan seorang kawan tidak lama lagi.

Pada 1.30 pagi  tadi saya kehilangan seorang kawan yang banyak kenangan dengannya. Allahyarham seorang yang baik,seorang yang tidak tahu menunjukan kemarahan dan tidak tahu mengangkat suaranya ketika marah.Dunia kewartawanan yang liar tidak meliarkan kehidupannya.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam  Bukit Kiara Damansara tengah hari ini( 26 September 2015). Alfatihah untuknya. Semuga Allah merahmati rohnya.


Nota: pohon maaf banyak kesilapan ejaan dan sebagainya dalam posting terdahulu.



13 comments:

  1. Al-Fatihah.....ejaan 'semuga' yang betul ialah 'semoga';

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih. Teguran ejaan ini insaalah akan ingat selamanya. Moga-moga.

    ReplyDelete
  3. Tepat sekali Zam. Pak Din seorang yang tak tahu marah dan sangat baik hati. Alfatihah. Syed Jamil bekas Pengurus Besar Bernama.

    ReplyDelete
  4. Tan Sri, begitu banyak kenangan manis mengenai Arwah Pak Din. Terima kasih kerana berkongsi kisah lama- Azman Ujang bekas wartawan Bernama

    ReplyDelete
  5. Terima Kasih Tan Sri for this meaningful entry. From: Mimi Jamal (anak Pak Din)

    ReplyDelete
  6. Al fatihah.......Komen saya mungkin lari daripada tajuk. Apabila TS sebut fasal pasar yaakub saya teringat banyak perkara.

    Pada tahun 1950an saya pernah dibawa oleh keluarga tengok sarkas. Sekitar tahun 1960an kerap makan mee goreng mamak. Tahun 1970 an saya tempoh tepak sirih pertunangan saya ketika pasar yaakub sedang dalam hilang nama . Saya tak perasan ada pejabat utusan di.situ .

    Pada sekitar tahun 1964 saya kerap ke pejabat utusan di jalan langgar untuk hantar berita aktiviti persatuan belia kampung saya . Saya setiausha nya . Waktu itu.wartawan utusan ialah Mansor Tobeng dan Ramli Saad . Kedua-duanya baik.

    ReplyDelete
  7. Terima kasih uncle... Memori yg tidak pernah diceritakan... Sebak membacanya...

    ReplyDelete
  8. Pasar Yaacob meninggalkan kenangan yang amat mendalam pada saya.Saya sewa pejabat kecil dg harga $5 sebulan dari Syarikat Pekan Rabu dari sejak 1958 hingga 1962 bila saya dipindahkan ke Kuala Lumpour. Lepas itu Ramli dan Mansor Tobeng ganti saya.
    Pengutip sewa pun tak bayar pada syarikat kerana dia guna untutk tikam ekor.Kawan kawan saya ramai dari pegawai kerajaan,cikgu,pengusaha sendiri dan rakan-rakan jiran kedai yang sering masuk kecuali bila mereka nampak saya sedang menaip.
    Kawan-kawan banyak yang kaki pi haadyai hujung minggu.Sembahyang Jumaat di hotel-hotel.Saya seronok ikut mereka walaupun tak ambil bahagian tetapi mereka suka saya ikut dan anggap saya sebagai lelaki tak berguna.
    Ada yang kaki minumBila mabuk saya yang tukang bawa balik mereka kerana saya tak minum dan tak pernah mabuk.Ada yang masih hidup dan ramai yang sudah mati.Bila dah berkahwin ramai yang jadi baik. Demikianlah manusia.

    Gunting rambut pada Man Misai(dah meninggal) hanya seringgit sahaja. Ada kedai tukang jahit Abbas yang baik dan senantiasa smart dan ada kedai tukang jahit Karim orang Acheh.
    Bila ada rambong dan juga Rose Chan show di Park jalan ke Mergong kami pergi ramai-ramai.
    Hidup masa muda tidak sia-sia kecuali jika kita tidak berkawan dan tak tahu gunakan dengan sebaik-baik. Sekurag kurangnya boleh ketawa sendiri di hari tua.

    ReplyDelete
  9. Kebahagian akhiratmu atas ingatan yang baik dari semua kawan-kawan yang mengenalimu.Air mataku menitis kerana suatu masa nanti aku juga akan hilang sepertimu

    ReplyDelete
  10. Al fatihah buat beliau

    ReplyDelete
  11. Al Fatihah buat Allahyarham
    *********
    As Salam Tan Sri,
    Boleh saya dapatkan alamat e-mel untuk kirim undangan ke majlis pelancaran buku saya?
    Terima kasih

    ReplyDelete