Monday, 26 May 2014

MENGENANG TAN SRI H.M. SHAH

Allahyarham Tan Sri H.M Shah
Tan Sri H.M. Shah seorang ahli perniagaan tersohor yang di rawat di China kerana kanser prostat sejak enam bulan lalu telah meninggal dunia jam 2 petang ini dalam usia genap 93 tahun; sehari sebelum pemergiannya.

Beliau mempunyai sejarah panjang dengan Utusan Melayu, menyertai akhbar ini 10 tahun selepas ditubukan di Singapura. Beliau diltantik oleh penaja dan Pengarah Urusan Utusan Melayu, Yusuf Ishak sebagai Pembantu Bahagian Iklan Utusan Melayu pada tahun 1948.

Setelah melihat keupayaannya yang besar dalam membawa masuk wang iklan ke Utusan Melayu, Yusuf telah melantiknya menjadi agen Utusan Melayu di Utara yang membolehkannya mengembangkan pengedaran akhbar ini dengan begitu pesat.

Beliau juga berusaha mendapatkan tanah dari Sultan Selangor bagi tapak bangunan ibu pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin yang ada sekarang ini dan juga menjual saham Utusan pada Sultan Sultan.

Beliau juga yang  menjodohkan Yusuf Ishak dengan seorang gadis dari Pulau Pinang setelah Yusuf gagal dipujuk oleh ayahnya sendiri ketika usia semakin lewat. Beliau juga yang menyampaikan kepada Yusuf arahan Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman supaya meninggalkan Utusan kerana gagal untuk mengawal wartawan-wartawan kiri Utusan Melayu yang pro Indonesia dan condong kepada sosialisme dan komunisme. Bekas Penasihat Undang-undang Utusan, Lee Kuan Yew yang menjadi Perdana Menteri Singapura kemudiannya melantikYusuf menjadi Presiden Singapura.

Ketika Utusan Melayu menghadapi krisis mogok pekerjanya dalam tahun 1961, Shah adalah di antara tenaga utama yang memecahkan mogok bagi menyelamatkan Utusan Melayu dan kemudian menjadi Pengarah Urusan Utusan Melayu.

Selepas meninggalkan Utusan  Melayu, beliau menceburkan dirinya dalam bidang pembikinan filem, perhotelan dan hartanah.Shah Village merupakan motel terkenal yang terletak di Petaling Jaya. Beliau adalah sahabat rapat P. Ramlee dalam masa kesusahannya, membantunya dalam penerbitan filem dan memberikan sumbangan kepada pengurusan pengkebumian jenazahnya.

Jenazah H.M.Shah dijangka akan tiba di tanah air dalam sehari dua ini.

Kepada Allahyarham; saya terhutang budi kerana beliaulah yang mencadangkan pertukaran saya dari Alor Setar ke Kuala Lumpur selepas mogok Utusan dan sering menjemput saya pada ulangtahun harijadinya.

Saya mengingatinya sebagai seorang yang berketerampilan dengan personaliti yang tampan gagah, keyakinan diri yang tinggi tanpa mempunyai rasa rendah diri dengan sesiapapun, berani mengambil risiko; terutama di bidang perniagaan.

ALFATIHAH