Thursday, 17 October 2013

BUDGET 2014: PERLU KAJI SEMULA REBET GULONGAN BERGAJI SEDERHANA.

Oleh: Lukman Moidin

25 hb Oktober ini kita bakal mendengar Budget 2014 yang akan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Baru-baru ini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyatakan akan ada 'berita gembira' pelepasan cukai untuk golongan sederhana yang berpendapatan RM3 ribu ke atas.

 Benarkah ianya benar-benar berita gembira atau sebaliknya. Hanya selepas 25hb baru kita akan menilai semula keyakinan dan harapan yang diberikan itu. Namun sebenarnya golongan kakitangan kerajaan atau swasta yang 'bergaji senderhana' amat tertekan dengan sistem rebet LHDN yang tidak sesuai dengan kos kehidupan semasa.

 Perkara yang menyebabkan golongan ini sangat tertekan ialah apabila tabungan dan simpanan peribadi pun amat sukar dihimpun atau disimpan, tiba-tiba beban percukaian tertimpa kepada mereka. Dalam masa yang sama mereka melihat golongan kaya dan mewah 'tanpa penyata gaji' seperti peniaga, penoreh getah yang mempunyai berekar tanah, penanam kelapa sawit atau usahawan 'tanpa penyata gaji' ini hadir mengambil wang BR1M.

 Bertapa sakit mata memandang dan bertapa sakit hati merasai gaji dan pendapatan yang tak seberapa ini dikenakan cukai tetapi orang yang kaya dan berharta pula dengan mudah terlepas dari membayar cukai kepada LHDN.  Inikah keadilan LHDN kepada golongan ini ?. 

Kajian semula sepatutnya dilakukan terhadap kemampuan kewangan golongan sederhana yang sebenarnya amat-amat kritikal hinggakan untuk menabung bagi urusan kecemasan pun ada dari kalangan mereka terpaksa membuat kerja sambilan atau membuat penjimatan perbelanjaan. Kadar pelepasan cukai oleh LHDN amat tidak relevan dengan kos perbelanjaan semasa. 

Walaupun pendapatan kami kelihatan tinggi, namun setelah ditolak berbagai potongan, ianya berbaki sekitar RM2000. Kenaikan kos keperluan rumahtangga merangkumi bil-bil dan lain-lain pun kadangkala  tidak dapat ditampung dengan baki gaji berkenaan. Keadaan mungkin sedikit lega jika pasangan turut bekerja. Desakan ini menyebabkan kebanyakkan mereka pula ada yang mengambil pembantu rumah yang kos pengambilannya mencecah RM8000 hingga RM10000. Malah gaji pembantu pula juga agak tinggi iaitu sekitar RM700. Semua ini tidak terkandung dalam pelepasan cukai termasuk kos bayaran bulanan kenderaan dan penyelenggaran. Malah kos petrol yang tinggi dan keperluan lain harus menjadi perhatian LHDN dalam meningkatkan rebet percukaian peribadi seseorang pekerja. 

Amatlah  perlu untuk LHDN dan Kementerian Kewangan mengkaji rebet perbelanjaan diri dan dirangkumkan dengan kos semasa serta tanggungan termasuk sumbangan kepada ibu bapa pekerja. Di dalam pelepasan cukai sedia ada hanya dikhususkan kepada bayaran perubatan tetapi dalam situasi sebenar setiap anak dituntut oleh agama membantu kos kehidupan hari tua mereka. Dalam situasi ini seharusnya LHDN mengkaji semula rebet ini dan disesuaikan sebagai kos tetap yang mesti disediakan oleh anak-anak kepada ibu bapa. Pembuktian boleh dilakukan melalui transaksi bank atau kaedah lain yang wajar.

Kerajaan juga boleh memasukkan kos percutian keluarga dan perbelanjaan umrah sebagai rebet pengecualian cukai bagi mengalakkan aktiviti kekeluargaan. Kos umrah sebagai contoh adalah agak tinggi dan menjadi impian golongan berpendapatan sederhana dan alangkah baiknya jika ibadah ini turut mendapat pelepasan cukai bagi mengalakkan lebih ramai umat Islam menabung dan memperuntukan perbelanjaan mengerjakannya. Malah ibadah korban juga boleh dijadikan sebagai rebet pengecualian cukai dengan sokongan Jabatan Agama Islam agar ibadah dan kebajikan yang dilaksanakan mendapat pelepasan yang sewajarnya. 

Semoga pandangan ini diambil peduli oleh Kementerian Kewangan khususnya dalam pembentangan Bajet 2014 kelak. Percayalah impak kelonggaran rebet cukai kepada golongan sedehana ini mempunyai kesan besar yang mampu mengubah langskap politik negara khususnya sokongan kepada Barisan Nasional. 


2 comments:

  1. Salute, setuju.
    May all the wishes will come true.

    ReplyDelete
  2. Sorry Zam. Dong Zhong lagi penting, golomngan pertengahan boleh balaik tidur.

    ReplyDelete