Monday, 5 August 2013

TERJUMPA MALUNGUN DAN IBRAHIM BACHEK MENJELANG SYAWAL

Ibrahim Bachek
Dalam membalik-balik fail lama semasa berkhidmat dengan Kementerian Penerangan dan Penyiaran, saya  telah menemui lembaran sebuah sajak yang dicipta oleh Malungun Menjelang Syawal dan tercatit lagu oleh Ibrahim Bachek. Tentunya sajak itu adalah untuk lirik lagu gubahan Ibrahim Bachek tetapi  saya tidak pernah mendengar lagunya.

Saamada telah digubah lagunya atau tidak atau tersimpan tanpa dirakamkan saya tidak tahu.

Jika ada dalam simpanan RTM,alangkah baik jika  lagu ini dimainkan dalam suasana menyambut Aidilfitri dan bagi mengenangkan Allahyarham yang pertama kali tidak lagi  bersama kita di di Aidilfitri ini. 

Ibrahim dan Malungun  adalah rakan saya yang telah meninggal dunia.Ibrahim dan saya sering bertemu hingga hampir keakhir hayatnya tetapi saya tidak dapat ziarahi jenazahnya kerana berada di luar Kuala Lumpur.
Malungun seorang sasterawan yang terkenal dengan cerita-cerita pendeknya terutama ketika beliau berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka .Ibrahim Bachek adalah penggubah lagu puisi dan patriotik selain dari lagu-lagu romantis yang banyak terpahat di hati rakyat. Antara lagunya yang paling menyayat hati ialah Tak Seindah Wajah nyanyian S.M. Salim dan Disebut Jangan, Dikenang Jangan nyanyian Rafeah Buang yang juga telah meninggal dunia.

Al fatihah untuk mereka yang pemergiannya mendahului kita.

Inilah puisi karya Malungun:

MENJELANG SYAWAL

Bening -beningnya malam ini
Bulan tua menyisih lalu
Anak Syawal menjenguk mesra
Esok tibalah Aidilfitri
Hari yang berbahagia.

Anak yang sedang nyenyak tidur
Apalah yang diimpikannya
Isteri yang sedang sibuk didapur
Apalah restu dipohonnya
Untuk esok Aidilfitri.

Sepenuh kasih sekuat tenaga nak
Itulah hadiah ku untuk mu
Seluruh cinta sebulat jiwa dek
Itulah ganjaran setia mu

Tuhan oh Tuhan restui mereka
Sampaikan segala harapan
Murahkan rezeki limpahkan rahmat
Biar selamat berbahagia
Untuk setahun di muka.

Bening-beningnya malam ini
Bulan tua menyisih lalu
Anak syawal menjenguk mesra
Esok tibalah Aidilfitri hari yang berbahagia.

Sajak: Malungun
Lagu : Ibrahim Bachek

2 comments:

  1. Sdr Zam, saya pernah akrab dengan Malungun ketika kami bertugas di Karangkraf. Saya diarahkan DBP membuat kajian proses kreatif Malungun dan buku JAMBAK diterbitkan oleh DBP. Saya berminat pada cerpen Memburu Tahun Baru yang dihasilkan 1967 -- kisah bujang kota kalangan marhaen dan setinggan yang seronok bekerja sebagai kuli binaan... dan tanpa sedari siapnya projek pembinaan, setinggan mereka dirampas untuk pembinaan seterusnya.

    ReplyDelete
  2. Saya gembira rakannya telah menemui tulisan saya ini.Sampaikanlah kabar kepada kawan kawan lain supaya setelah membaca puisi peninggalannya ini yang mungkin tidak pernah tersiar di mana- mana maka mereka akan dapat bersama menghadiahkan Fatihah untuknya di hari yang berbahagia ini.

    ReplyDelete