Friday, 12 July 2013

DI SINILAH MEMBENIH UTUSAN MELAYU SEBAGAI AKHBAR PERJUANGAN

          "DI DEPAN API DI BELAKANG DURI" MEMASUKI 
CETAKAN KEDUA

Balu Allah Yarham Yusuf Ishak Puan Noor Aisah Md Salim
menerima buku Di Depan Api  Di Belakang Duri  dari penulis. 
Bercermin mata di belakanngnya ialah bekas Menteri Kenan 
bagi Hal Ehwal Luar  Singapura Zainul Abidin Rasheed. Di kiri
penulis, Datuk Zaini Hassan Ketua Konvoi Kembara Queen Street.
























Saya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana limpah rahmatnya telah membolehkan saya menyampaikan sendiri buku: Kisah Sejarah Utusan Melayu: Di Depan Api Di Belakang Duri tulisan saya kepada balu Penaja dan Pengarang Utusan Melayu yang pertama Allahyarham Yusof Ishak.

Yusof Ishak setelah berhenti dari Utusan Melayu  menjadi Yang Dipertuan Negara dan seterusnya Presiden Singapura yang pertama.

Balunya Puan Noor Aisah Md. Salim telah menerima buku itu dari saya dalam suatu majlis yang sederhana bagi memberikan penghormatan kepadanya oleh Konvoi Kembara Queen Street bermotosikal dari Kuala  Lumpur  terdiri dari kakitangan Utusan Melayu di Taman Warisan Melayu Kampung Gelam Singapura pada Ahad lalu( 7 Julai 2013)

Dinamakan kembara ini Queen Street oleh kerana matlamatnya adalah ke  Queen Street di mana masih terletaknnya bangunan asal pertama Utusan Melayu menjalankan operasinya dengan cetakan naskah pertama berada di pasaran pada 29 Mei 1939. Sebelum ke Queen Street mereka telah menziarahi makam Allahyarham di Tanah Perkuburan Perang Kranji Singapore (Singapore War Memorial)

Seperti isteri pembesar-pembesar Singapura lain, Puan Noor Aisah jarang muncul bersama suaminya ketika menjadi Presiden Singapura dan demikian juga selepas kematian suaminya maka itu kehadirannya di majlis bersama kakitangan Utusan Melayu itu  menunjukkan penghargaannya yang tinggi kepada Utusan Melayu yang masih ingat jasa suaminya.

Allahyarham Yusof Ishak
Walaupun beliau diketahui tidak pernah berucap  dalam mana-mana majlis tetapi dengan kebijaksanaan bekas Menteri Kanan bagi Hal Ehwal Luar Singapura, Zainul Abidin Rasheed dan desakan bertubi-tubi Datuk Zaini Hassan maka beliau bercakap secara ringkas tentang suaminya yang menampakkan beliau sendiri memahami semangat tinggi Yusof untuk menghidupkan Utusan Melayu.

Zainul Abidin  sekarang adalah  Duta Begerak Singapore ke Timur Tengah.

Puan Noor Aisah mengakui Yusof bersikap keras, garang dan tegas terhadap semua pekerjanya yang menjadikannya seorang yang disegani, ditakuti dan dihormati " tetapi niatnya baik untuk menjayakan Utusan Melayu", katanya.

Puan Noor Aishah  menceritakan bahawa apabila mesin cetak  baru yang dipesan dari London tiba, beliau menunggu mesin itu dipasang setiap hari sehingga siap untuk digunakan bagi  percetakan.

Sekurang-kurangnya apabila membaca buku Di Depan Api Di Belakang Duri ini  , Puan Noor Aisah  akan dapat mengenang kembali jalan-jalan pahit manis yang telah dilalui oleh suaminya di Utusan Melayu dan betapa pengikhtirafan telah diberikan kepada  jasa baktinya.

Dalam ucapan di majlis itu, saya memberikan  pengikhtirafan kepada Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu(KKBUM) kerana kembara itu merupakan suatu inovasi yang berkesan bagi mengingatkan generasi baru Utusan dan juga masyarakat  terhadap  mereka yang telah berjasa kepada Utusan Melayu.

Saya mengangkat topi kepada Datuk Zaini Hassan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan Melayu yang menginisiatifkan usaha ini dan juga kejayaannya membawa balu pengasas utama bekas Utusan Melayu  ke majlis untuk mengenang Utusan Melayu di Singapura sempena ulangtahunnya yang ke 75.

Kehadhiran Puan Noor Aisah  menjadikan majlis itu sangat berarti  sekalipun berlangsung dalam suasana yang amat sederhana di  bangunan Warisan Melayu Singapura..

Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) pastinya akan berkembang dengan mudah untuk menarik penyertaan lebih ramai generasi muda di Utusan seperti pegawai, wartawan dan kakitangan bagi meneruskan usaha yang lebih besar untuk menarik perhatian ramai terhadap sejarah, jasa dan sumbangan Utusan Melayu kepada bangsa, agama dan negara.

Kelab ini juga akan berkesan dalam menggembelingkan nama Utusan Melayu  kerana kelab ini secucuk  dengan  cita rasa  sekarang.

Bagi saya dengan penyampaian buku sejarah Utusan  kepada balu Allahyarham Yusof Ishak maka sempurnalah tugas saya dalam mengenang jasa mereka yang  telah  berjasa besar kepada diri saya dan juga kepada Utusan Melayu.

Buku ini telah pun saya sampaikan kepada Osman Wok sifu saya yang menjadi contoh tauladan kepada saya dalam membina karier kewartawanan dan juga kepada Said Zahari Pengarang Utusan Melayu yang mengambil saya berkerja pada tahun 1958.

Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu sekalipun tidak sempat melihat siapnya buku ini tetapi beberapa bab dari manuskripnya telah saya berikan untuk tatapannya.

Sementara itu  Pengurus Kanan UP&D (Utusan Publication & Distributors) Mohammad Fahmi Asraf memberitahu  buku ini (Kisah sejarah Utusan Melayu: Di Depan Api Di Belakang Duri) telah memasuki cetakan kedua kerana cetakan pertama telah habis dalam pasaran.


Jika sukar untuk mendapatnya ,anda boleh memesannya dari beberapa kedai buku terbesar seperti MPH atau lain lain kedai di negeri negeri selain dari membuat pesanan terus dari UP&D. Laman web: www.mybooks.com.my  Tel: 03-92856577

No comments:

Post a Comment