Thursday, 16 May 2013

KERJASAMA UMNO-PAS TANPA RETORIK PERPADUAN MELAYU DAN ISLAM

HENTIKANLAH CAKAP CAKAP SELAMATKAN BANGSA.

Datuk Mukhriz Tun Mahathir
Cakap-cakap untuk perpaduan Pas dan UMNO bagi menyelamatkan bangsa Melayu dan Islam eloklah dihentikan kerana tidak praktikal serta tidak mungkin akan berlaku antara sebuah parti yang berasaskan ideologi agama dengan sebuah parti Melayu liberal.

Kerjasamanya PAS dengan DAP tidak seharusnya dilihat sebagai kesanggupan untuk PAS keluar dari dasar asalnya, sebaliknya lebih didorongkan oleh matlamat untuk mencapai kuasa.

Demikianlah juga matlamat asal UMNO, MCA dan MIC apabila bergabung dalam PERIKATAN, tetapi bezanya  ketiga-tiga parti ini lebih dahulu meletakan asas perpaduan.

Kontrak Sosial boleh dianggap sebagai Ideologi Nasional Perpaduan Perikatan yang dilanjutkan kepada Barisan Nasional yang diterokai oleh Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun idelogi ini rapoh kerana ketiga-tiga parti tetap tidak mengorbankan dasar parti masing-masing, tetapi sekadar menutupnya dan tidak menguburkannya. Perpaduan diwarisi oleh BN tanpa pembubaran parti-parti yang bergabung.

Namun demikian dengan adanya semangat bermasyurah dan tolak ansur yang lebih mementingkan rakyat dan negara   maka atas dasar yang rapoh inilah Malaysia telah dapat membina kejayaan yang besar bagi mencapai kesetabilan dan kemakmuran. 

Bagaimanapun kerana dasar yang rapoh inil tidak dihayati keakar umbi terutama generasi baru maka  dari semasa ke semasa berlaku perselisihan dalaman yang ada kalanya terpancar keluar, tetapi kejayaan kepimpinan Perikatan dan Barisan Nasional untuk menyapu di bawah tikar masalah-masalah yang timbul telah membolehkan dasar-dasar nasional berjalan terus.

Pilihan Raya 2008 menyaksikan dasar yang rapoh itu retak apabila MCA dan Gerakan mahu mewarnakan diri mereka sama sebagai DAP apabila melihat kemajuan parti itu, tetapi orang Cina memikirkan lebih baik memilih DAP sebenar dari memilih DAP celup.

Walaupun MCA dan Gerakan kembali kepada dasar-dasar nasional pada Pilihan Raya 2013, tetapi keretakan telah menjadi barah diakar umbi; orang Cina telah nampak dalam Pilihan Raya UMUM 2008 bayang-bayang kuasa jika sokongan terus diberikan kepada DAP. Maka mereka berkumpul menjadi Tsunami Cina yang hanyir dengan perkauman.

Saya mengemukakan ini sebagai contoh bagaimanakah kesedaran dan kerjasama boleh diwujudkan secara kecil-kecilan lebih dahulu antara Pas dan UMNO tanpa menzahirkan sentimen Melayu, perpaduan Melayu, kuasa Melayu dan sebagainya yang lebih memberikan kesan negatif, menakutkan bukan Melayu  dari mencapai matlamat. 

Kerjasama PAS dengan UMNO boleh dimulai  tanpa retorik hebat di peringkat kerajaan negeri dan seterusnya ke peringkat nasional di dalam  bidang-bidang tertentu dengan melupakan semangat kepartian masing-masing.

Umpamanya bagaimana jika Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Mukriz Mahathir menjemput ADUN-ADUN Pas menyertai beberapa jawatankuasa yang boleh berkerjasama bagi kepentingan rakyat seperti dibidang sukan, kebajikan, agama dan sebagainya.

Ini adalah suatu langkah yang radikal, tetapi jika berani dirintis oleh kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh BN, maka dengan secara beransur-ansur akan dapat mengikis perbezaan dan perselisihan fahaman politik.

Kita selalunya melihat langkah-langkah besar, tetapi tidak melihat perlunya langkah kecil lebih dahulu. 

Jika ini berani dirintis oleh kerajaan BN di peringkat negeri, maka kesannya sangat baik pada pandangan rakyat yang selama ini menjadikan perbezaan parti sebagai permusuhan.

Barangkali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri dapat membuat pembaruan dalam pendekatan politiknya dengan menjalankan dasar mesra dengan kerajaan Kelantan dengan membantu kerajaan Kelantan dalam usaha-usahanya untuk memberi kemajuan asas, kebajikan dan kemajuan rakyat Kelantan.

Ziarah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Perdana Datuk Seri Najib dan Tun Dr. Mahathir ke atas Mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Razak yang sedang uzur sudah cukup memberi kesan dalam pandangan rakyat di peringkat bawah tentang hubungan antara PAS dan UMNO.

Carilah ruang di mana kerjasama boleh diadakan dari membuka lebih luas ruang untuk perbezaan dan permusuhan.

Hentikanlah cakap-cakap perpaduan Melayu di peringkat nasional jika dalam pekara yang tidak bersifat ideologi pun tidak boleh dilakukan.

6 comments:

  1. Sampai bila pun saya tak bersetuju UMNO bergabung dengan Parti Ajaran Sesat.

    Tapi sebagai seorang manusia, tidak ada salahnya orang Melayu nak bantu kaumnya biar pun mereka itu penyokong tegar PAS. Tapi bila bantu, jangan sesekali mengharap balasan. Besar kemungkinan cacian yang dapat.

    PAS ni sebenarnya kefanatikan mereka lebih kurang DAP aje. That's why they can work well together.

    ReplyDelete
  2. Tak perlu untuk bersatu atau berpadu dengan PAS atau DAP. BN hanya perlu bersatu dan berpadu dengan rakyat yang mengundi BN saja. Yang lain lain tu suruh mereka minta PAS dan DAP jaga mereka. Nasihat aku pada BN jagalah orang yang mengundi kamu dan jagalah kebajikan mereka dan mereka akan lebih berterima kasih dan jangan lupa jaga orang muda baru sebab di PRU14/2018 nanti akan ada hampir 4 juta orang muda pengundi baru.

    ReplyDelete
  3. MP dan ADUN, bakal bakal calon seharusnya bergaul dgn msykt setempat semua kaum, menggerakkan program program yg melibatkan penyertaan semua kaum utk menggalakkan integrasi antara kaum setempat. Program program sukan, gotong royong, acara acara kebudayaan, sambutan hari perayaan, dsb boleh diadakan dr semasa ke semasa utk menggalakkan interaksi semua ahli msykt dr semua kaum, bermula dr peringkat taman, kampung, pekan, DUN, Parlimen hinggalah ke peringkat daerah. Jawatankuasa jawatankuasa setempat prgkt taman, kampung dsbnya pula harus disertai oleh semua kaum dan dinaungi oleh MP atau ADUN, atau bakal bakal calon. Jawatankuasa BN setempat mungkin boleh memulakan utk menggerakkan usaha usaha ini. Juga jgn dilupa Pusat Khidmat Wakil Rakyat hendaklah sentiasa beroperasi sbg pusat rujukan.

    ReplyDelete
  4. Salam Tan Sri....tak payah cakap pasal bergabung antara UMNO dan PAS lagi,dah ' overdone '....yg terbaik ialah ' infiltrate ' pemikiran PAS atau lain2 parti pembangkang...biar mereka insaf yg BN ada lah terbaik untuk Melayu. Setuju dengan CB16May,BN harus beri priority pada orang/kawasan,negeri yang memenangkan BN.

    ReplyDelete
  5. Yg komen sini byk yang emosional..mungkin darah muda fikiran belum matang..mungkin yang hidup kat rumah flat tak peduli hidup bermasyarakat..kalau orang kampung mungkin faham kebergantungan org pas dan umno adalah perlu untuk aktiviti seharian

    ReplyDelete
  6. UMNO sebenarnya sudah banyak bertolak ansur dengan PAS. Bantuan diberi tanpa memilih parti tetapi pihak PAS memberi bantuan hanya kepada orang mereka sahaja.

    Orang yang emosional tu bukan fikiran tak matang tetapi fikiran dah letih. Letih dah nak fikir macam mana lagi nak berbaik dengan orang PAS.

    Maaf lah nak cakap, orang PAS negeri nik aziz lebih keras dan degil daripada orang PAS negeri lain. Sebab itulah di kedah, ada masa UMNO menang, ada masa PAS menang. Tapi di Kelantan ? Sendiri fikirlah.

    ReplyDelete