Sunday, 7 April 2013

ADA ORANG TAK ADA KAKI NAK PAKAI KASUT

Seperti biasa bila saya keseorangan minum teh di gerai atau restoran, ada orang yang menyapa atau  meminta izin untuk duduk depan saya untuk bercerita atau nak beritahu sedikit tentang itu dan ini tetapi biasanya cerita itu jadi panjang.

Demikianlah juga pada suatu pagi baru-baru ini ketika saya sedang minum di Medan Selera Presint 8 Putrajaya. Saya tidak kenal dengannya. Dia meminta maaf sebelum duduk.

Bila dia membuka mulut dan menyatakan "Saya ni orang UMNO dah lama, tetapi saya tidak dapat apapun." Saya serta merta berperasangka buruk terhadapnya, dapat meneka penyesalan yang hendak dinyatakan kepada UMNO dan kerajaan.

Bagaimanapun tidak selalu perangka buruk itu betul. Katanya lagi "Saya walaupun tidak dapat apa-apa, tetapi saya dapat aman di hati, tidak bimbang bila isteri saya pergi kerja atau anak saya pergi sekolah, tak ada bom atau kacau di sana sini macam Pakistan.

"Apa yang saya dapat ialah keamanan dan kestabilan negara ini. Isteri saya masih berkerja terus menerus, tak kena berhenti pun sebagai pegawai kerajaan, saya dulu miskin tetapi anak saya dapat meneruskan pelajaran mereka sehingga ke peringkat universiti dan berjaya."

"Itulah yang saya dapat, saya tidak perlu mendapat seperti orang lain, kerana keadaan dan kedudukan yang berbeza, ada orang yang dapat RM100,000 sebulan tetapi tentunya mereka telah berusaha lebih dan kerja lebih, masa kerja dan sebagainya lebih banyak dari saya. Tetapi pokoknya, saya dapat makan setiap hari, saya juga ada kereta walaupun kereta saya kecil dan murah. Orang lain dapat lebih kerana mereka berkerja lebih, tak dapat banyak rehat macam saya.

"Pokoknya di negeri kita ini ada kerja, ada peluang untuk dapat rezeki, tak ada bom di sana sini, tak takut nak keluar rumah,  pagi petang, siang malam boleh duduk dekat kedai mamak.

"Saya dulupun usaha lebih, bila dapat naik pangkat ada orang tuduh saya ampu ketua, tetapi mereka tidak tengok saya pergi kelas malam.

"Saya asal dari orang miskin, tetapi saya telah berusaha sendiri, saya pergi kelas malam sehingga dapat ke univeristi, tetapi sekarang saya dah bersara, saya syukur saya dapat pencen tiap bulan,  isteri masih kerja, anak-anak saya pun semuanya dah berkerja," katanya.

Saya merasa perlu mencatitkan sembang kecil ini kerana ada kelainannya dengan cerita-cerita orang lain yang kebayakannya bila duduk depan saya bersungut tentang apa yang dia tidak dapat, tetapi orang ini tahu apa yang dia dapat. Ini termasuklah pegawai-pegawai kerajaan yang mengadu pada saya tentang orang politik dapat kontrak besar, gaji pegawai GLC sangat tinggi , jauh lebih besar dari pegawai kerajaan.

Dalam hati saya berkata "Awak berhentilah, pergilah berniaga, awak ada ke kepakaran macam pegawai GLC walaupun awak ada kelulusan tinggi. Awak cerita orang politik itu rasuah.ada cable dengan menteri, dapat peluang besar, tetapi kenapa tak cerita tentang pegawai kerajaan yang rasuah, malas kerja, tak ada dedikasi dan sebagainya

"Kalau orang politik dapat peluang kontrak besar tetapi wangnya pergi pada rakyat juga kerana dia perlukan sokongan rakyat, tetapi bila pegawai kerajaan rasuah, pegawai kastam, pegawai imigresen, pegawai bahagian pembelian universiti rasuah, wangnya masuk poket untuk keluarga sendiri sahaja.

Demikianlah dalam negara kita, banyak orang yang menepati kata pepatah Cina "Sesetengah orang mengadu tak ada kasut, tetapi ada yang tidak ada kaki nak pakai kasut."

2 comments:

  1. Salam Tan Sri....orang yg bersara dari perkhidmatan kerajaan,walau pun pencen nya kecil, harus merasa bertuah...kenapa ?..kerana mendapat manfaat yg palng mahal,ia itu ' medical benefit '.Tak payah lah cerita panjang,semua orang tahu betapa lega nya ada benefit ini di, kala kita sakit dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.....tq

    ReplyDelete
  2. zaman dulu UMNO sebagai wadah bangsa Melayu untuk maju. Zaman berubah, UMNO dah dijadikan wadah untuk menadah kebendaan......UMNO tetap benar..yang berubah pemimpin....

    ReplyDelete