Thursday, 28 March 2013

NAMA BESARNYA DI HATI KITA

Zainon Ahmad (Allahyarham) turut meraikan perlantikan
saya sebagai Senator dalam tahun 1998 di suatu majlis yang
diberikan oleh rakan-rakan wartawan di sebuah hotel
di Kuala Lumpur. Di kanan sekali ialah Allahyarham Tan Sri
Mazlan Nordin.
Kita tidak dapat menilai erti persahabatan seseorang dengan kita, tetapi bila pemergian mengejutnya amat  mendalam sebagai suatu kehilangan, maka kita baru tersedar, bahawa Allahyarham telah menempah kebesarannya di hati kita.

Demikianlah bila saya menerima berita kematian sahabat lama Zainon Ahmad 70 yang terbilang sebagai seorang wartawan dengan laporan-laporan  besar, penulisan politik dan sosial yang bebas, berani, sinis, tajam dan tidak pernah sunyi dari kritikan.

Jawatan terakhirnya ialah Editor Perunding akhbar The Sun.  

Rakan-rakannya tidak tahu bahawa beliau sakit dalam keceriaannya. Kepada sayapun tidak pernah diceritakannya. Suaranya menjawab panggilan telefon pun  senantiasa riang. 

Maka itu kematian Zainon kerana kanser hati di Temenggong Hospital Raja Perempuan Zainab,  Kota Bharu, Kelantan pada hari Rabu 27 Mac 2013 telah mengejutkan  semua kawan dalam dunia  kewartawanan dan juga mereka yang mengenalinya. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol pada 28 Mac 2013.

Takziah kepada isterinya Hasnah Abdulllah,  anak-anak serta kaum keluarganya yang ditinggalkan.

Saya mengenalinya sejak beliau berkhidmat dengan New Straits Times dan saya di Utusan Melayu.  Laporannya yang masih menjadi ingatan saya hingga sekarang ialah dari Afghanistan ketika negara itu berada dalam krisis persengketaan dan beliau berada di tengah-tengah pejuang-pejuang Mujahideen  yang  menghadapi pelbagai ancaman.

Wartawan yang dedikasi kepada profesyennya mencari kepuasan dalam memberikan laporan besar kepada pembacanya dengan kesanggupan mengambil risiko yang tinggi. Zainon adalah salah seorang darinya.

Kehilangan Zainon dirasakan besar kerana kebesaran itu telah sekian lama dirasakan  dari penulisan-penulisannya. 

2 comments:

  1. Saya juga sering mengikuti tulisannya tetapi sayang Zainon tidak menulis dalam Bahasa Melayu.Allahyarham lebih dikenali kepada masyarakat bukan Melayu terutama kerana sikap liberalismenya. Bagaimanapun he is a great journalist.

    ReplyDelete
  2. Gunakan chop stick mungkin lebih selesa dari gunkan sudu/ tangan.....makan di hotel.......kelebihan Melayu menyesuaikan diri.....

    ReplyDelete