Wednesday, 19 December 2012

KONSPIRASI ANWAR IBRAHIM DENGAN INDONESIA DARI KACAMATA BEKAS KETUA POLIS NEGARA

Dipetik dari Utusan Online 16 Disember 2012  
WAWANCARA INI TELAH DISIARKAN DALAM MINGGUAN MALAYSIA PADA 16 DISEMBER LALU
Pertahan gaya hidup Malaysia
Tan Seri Abdul Rahim Noor

BEKAS Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie diberi penghormatan oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk menyampaikan pidato bertajuk ‘Habibie dan Transisi Indonesia ke Demokrasi’ di Universiti Selangor (Unisel) baru-baru ini.

Peristiwa itu seterusnya menarik minat Karyawan Tamu Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Zainuddin Maidin untuk menulis sebuah artikel bertajuk ‘Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim’. Artikel itu disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 10 Disember lalu.

Memang tidak salah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersahabat dengan BJ Habibie. Namun seperti yang dibayangkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Seri Abdul Rahim Noor, dikhuatiri ada agenda tersembunyi di sebalik hubungan akrab itu.

Dalam satu pertemuan bersama wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, MOHD. NAIM AZIZ di kediamannya di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Abdul Rahim menyatakan pandangannya tentang hubungan Anwar dengan BJ Habibie dan beberapa tokoh politik lain di Indonesia serta kaitannya dengan agenda Islam liberal yang ingin disuburkan di negara ini.

Abdul Rahim turut menjelaskan tentang usaha kumpulan neo-conservative yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mengetengahkan individu-individu terpilih yang berpotensi dilantik sebagai pemimpin di negara-negara Islam bagi melunakkan bantahan keras dunia Islam terhadap kewujudan negara Israel dan gaya hidup Barat.

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri tentang ceramah yang disampaikan oleh BJ Habibie di Unisel pada 6 Disember lalu?

ABDUL RAHIM: Secara jujur, saya tidak berada di Unisel semasa BJ Habibie menyampaikan ceramah pada hari tersebut. Saya tidak melihat laporan atau artikel penuh tentang ceramah beliau dari mula hingga selesai serta soalan-soalan yang dibangkitkan oleh hadirin dan jawapan-jawapan yang diberikan oleh BJ Habibie.

Saya hanya mengetahui pandangan BJ Habibie tentang kehidupan dan nilai-nilai moral dalam masyarakat menerusi petikan-petikan ceramah beliau yang disiarkan oleh pihak media. 

Saya difahamkan, beliau ada menyentuh tentang topik yang hangat diperkatakan sekarang iaitu isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Dalam laporan media, BJ Habibie ketika menyampaikan ceramah itu seolah-olah berkata, masyarakat Indonesia lebih maju pemikirannya dalam menangani soal-soal seperti LGBT.

Ringkasnya, perkara-perkara seperti itu tidak menjadi isu di Indonesia namun menurut BJ Habibie, rakyat Malaysia mempunyai pendirian berlainan. Perkara itu menjadi isu, bukan sahaja kepada umat Islam malah bagi penganut-penganut agama lain yang sebahagian besarnya tidak bersetuju dengan budaya dan nilai-nilai moral seperti ini.

Pada pandangan saya, BJ Habibie seolah-olah berasa megah dengan gaya hidup sedemikian di Indonesia sedangkan beliau mungkin menganggap reaksi rakyat Malaysia terhadap nilai-nilai moral yang sama sebagai aneh. BJ Habibie turut memberi sebab-sebab yang tersendiri mengapa nilai-nilai moral seperti itu dibolehkan di Indonesia.

Tan Sri Zainuddin Maidin turut menyentuh hubungan antara BJ Habibie dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam artikelnya baru-baru ini. Apa pendapat Tan Sri?

ABDUL RAHIM: Saya telah membaca artikel tulisan Zainuddin Maidin dan saya tertarik dengan keberanian beliau menyuarakan pandangan.

Beliau sudah tentu banyak membaca dan mengikuti perkembangan masyarakat di Indonesia sejak negara itu merdeka.

Zainuddin juga barangkali berkesempatan mengunjungi Indonesia semasa beliau bertugas sebagai wartawan dan bergaul dengan wartawan-wartawan di sana. Saya fikir beliau menulis artikel tersebut berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatiannya yang luas.

BJ Habibie menyatakan nilai-nilai moral seperti itu secara umumnya tidak menjadi isu di Indonesia walaupun saya percaya terdapat bantahan-bantahan yang timbul di beberapa wilayah dalam negara itu. Mungkin nilai moral seperti itu biasa di Jakarta tetapi tidak di Aceh atau di Kalimantan misalnya.

Namun, dalam populasi rakyat Indonesia yang melebihi 200 juta orang itu, bantahan-bantahan tersebut tenggelam.

Sudah tentu ada penjelasan di sebalik penerimaan berbeza rakyat Malaysia dan Indonesia terhadap nilai-nilai moral berkenaan. Kita harus ingat bahawa nilai-nilai kehidupan rakyat Malaysia dan Indonesia adalah berlainan walaupun pada asalnya kita serumpun. Tidak dinafikan sebahagian orang Melayu di negara ini berasal dari pelbagai wilayah di Indonesia.

Contohnya, susur galur saya berasal dari Sulawesi dan saya merupakan generasi keenam yang menetap di Malaysia. Negara kita juga mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan manakala Indonesia pula mengguna pakai sistem republik di bawah kepimpinan seorang Presiden.

Perlembagaan Persekutuan secara jelas menghuraikan bentuk pemerintahan negara kita dan menyebut dengan jelas bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan.

Maka, kerajaan yang memerintah perlu memastikan setiap dasar yang digubal tidak bertentangan dengan syariat Islam. Kita dapat melihat fungsi Mahkamah Syariah yang mempunyai kuasa dalam bidang-bidang tertentu melibatkan umat Islam di negara ini.

Berbeza dengan Indonesia, tidak terdapat sebarang catatan di dalam Undang-Undang Dasar 1945 yang menyatakan Islam adalah agama republik. Walau bagaimanapun, ia bukan bermakna agama Islam tidak boleh berkembang di Indonesia.

Tiada sekatan untuk mengamalkan ajaran Islam di negara itu. Bahkan perkembangan Islam di Indonesia dalam bidang-bidang tertentu lebih pesat berbanding Malaysia. Misalnya, sistem pendidikan agama Islam di pesantren-pesantren di Indonesia telah melahirkan ramai graduan yang berkepakaran dalam bidang agama.

Kita juga seharusnya memahami falsafah di sebalik Pancasila yang bertapak kukuh dalam hati rakyat Indonesia sejak negara itu merdeka. Lima prinsip yang terkandung dalam Pancasila: Ketuhanan yang Maha Esa, Kemanusiaan yang Adil dan Beradab, Persatuan Indonesia, Kerakyatan yang Dipimpin oleh Hikmat Kebijaksanaan dalam Permusyawaratan/Perwakilan dan Keadilan Sosial bagi Seluruh Rakyat Indonesia. 

Rakyat Indonesia benar-benar menghayati Pancasila, berlainan dengan segelintir rakyat Malaysia yang hanya menghafal Rukun Negara semasa bersekolah tetapi selepas itu mereka lupa.

Semasa era pemerintahan Sukarno dan Suharto, Pancasila sering dicanang sebagai mekanisme penyatuan bangsa Indonesia dan menanam semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyatnya. Tidak silap saya, Sukarno pernah mengungkapkan kata-kata yang bermaksud, setiap sesuatu aspek dalam kehidupan bangsa Indonesia mesti 'dipancasilakan' termasuk dalam bab beragama.

Pada pemahaman saya, Pancasila sebagai ideologi negara mengajar rakyat Indonesia bersikap toleran dari segi agama. Berdasarkan kata-kata Sukarno itu, Pancasila juga mengatasi semangat kedaerahan dan ekstremisme keagamaan.

Gaya hidup yang toleran adalah selaras dengan falsafah Pancasila. Maka, gaya hidup LGBT tidak menjadi isu di sana asalkan suka sama suka. Golongan ulama memang menentang tetapi dalam ruang lingkup Indonesia yang jauh lebih besar, tentangan itu tenggelam lebih-lebih lagi semasa era pemerintahan Sukarno dan Suharto.

Kalau tidak silap saya, Suharto pernah menyatakan Indonesia tidak perlu menjadi sebuah negara Islam kerana bagi mereka, Pancasila sudah memadai.

Adakah Anwar mempunyai ramai kenalan rapat di Indonesia selain BJ Habibie?

ABDUL RAHIM: Mengikut pengetahuan saya, hubungan antara Anwar dan BJ Habibie sudah lama terjalin dan tidak pernah terputus.

Kita juga tahu Anwar sering bertemu dengan BJ Habibie apabila beliau berkunjung ke Indonesia. Selain BJ Habibie, Anwar juga rapat dengan tiga tokoh politik lain iaitu Amien Rais, Allahyarham Abdurrahman Wahid dan Goenawan Mohamad. Amien Rais dikenali sebagai seorang 'jago' gerakan reformasi yang menggulingkan pemerintahan Suharto sekitar 1996 hingga 1998.

Populariti beliau dalam bidang politik bangkit secara mendadak semasa keresahan rakyat Indonesia memuncak akibat krisis ekonomi yang melanda negara itu.

Sebelum itu, beliau tidak begitu dikenali sebagai seorang aktivis politik. Amien Rais yang juga bekas Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) memainkan peranan besar dalam gerakan massa di Indonesia yang dinamakan sebagai Reformasi.

Gerakan itu aktif memanipulasi tohmahan politik serta menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam usaha mereka menumbangkan pemerintahan Suharto. Amien Rais juga aktif berpidato di serata tempat sambil menceritakan keburukan pemerintahan Suharto.

Walaupun terlibat aktif dalam gerakan Reformasi, Amien Rais tidak dapat menjadi Presiden Indonesia. Beliau hanya kekal sebagai seorang king maker.

Menerusi sokongan Amien Rais dan kumpulan-kumpulan di sebalik gerakan reformasi, BJ Habibie berjaya menjadi Presiden Indonesia yang ketiga selepas Suharto. Amien Rais sangat rapat dengan Anwar. Apabila Anwar dipecat dari Kabinet, hubungan itu semakin erat malah telah terbukti Anwar menggunakan taktik gerakan reformasi di Malaysia. Amien Rais mempunyai keperibadian yang menarik.

Menurut sumber, beliau pernah melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS) dan ada maklumat mengatakan beliau bergaul rapat dengan pihak-pihak yang mempunyai latar belakang meragukan semasa berada di negara berkenaan.

Perkara ini tidak menghairankan malah dianggap lumrah apabila sesebuah negara kuasa besar seperti AS mengambil langkah-langkah bersifat futuristik. Salah satu langkah yang diambil adalah memilih individu-individu tertentu yang boleh ditonjolkan sebagai pemimpin di dunia Islam.

Amien Rais yang dianggap sebagai tokoh Islam sederhana dan liberal di Indonesia menganggotai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Jaringan Islam Liberal (JIL) bersama bekas Presiden Indonesia yang keempat, Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur.

Gus Dur yang pernah mengetuai Nahdatul Ulama (NU) juga dikatakan seorang tokoh Islam di Indonesia yang cenderung kepada fahaman liberalisme. Fahaman Islam liberal berkembang di Indonesia semasa Gus Dur berkuasa. Beberapa NGO yang menyokong fahaman pluralisme semakin tangkas menonjolkan diri dalam kalangan masyarakat Indonesia.

NGO yang paling menonjol adalah Komunitas Utan Kayu yang sangat aktif dalam kegiatan memperjuangkan hak kebebasan bersuara dan agenda LGBT.

Allahyarham juga pernah mengunjungi negara ini pada 2008 dengan diiringi beberapa pemimpin NU dan mereka bertemu pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau kenal secara rapat. Seorang lagi tokoh di Indonesia yang rapat dengan Gus Dur dan Anwar ialah pejuang liberalisme, Goenawan Moehamad. Pengasas majalah Tempo itu juga mengetuai sebuah pertubuhan Islam liberal yang dinamakan Aliansi Kebangsaan untuk Kebebasan Bersuara (AKKB).

Ramai orang di Malaysia tidak mengetahui tentang Goenawan. AKKB bergerak aktif seolah-olah sebagai sebuah badan induk yang menghimpunkan tokoh-tokoh Islam liberal di Indonesia termasuk Gus Dur. Anwar juga dikatakan sering berjumpa dengan Goenawan di Indonesia.

Boleh Tan Sri jelaskan tentang kaitan antara hubungan Anwar dengan tokoh-tokoh terbabit dengan agenda memperjuangkan fahaman liberalisme?

ABDUL RAHIM: Semasa Gus Dur masih bergelar Presiden Indonesia, kalau tidak silap saya, beliau pernah menyatakan tiada salahnya Indonesia menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Kenyataan itu bukan sahaja dibantah pihak-pihak tertentu di Indonesia malah pemimpin negara-negara Islam yang lain. Ada juga maklumat mengatakan pada 2004, Gus Dur pernah membuat pengakuan bahawa beliau telah memainkan peranan dalam mempertemukan Anwar dengan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan AS, Paul Wolfowitz di Munich, Jerman.

Kononnya, pertemuan itu adalah untuk menjadikan Anwar sebagai orang tengah dalam usaha membendung generasi muda Islam daripada menjadikan agama Islam sebagai pegangan hidup mereka serta dalam usaha mereka mencapai cita-cita negara Islam. Secara ringkasnya, matlamat mereka adalah untuk menjadikan generasi muda Islam sebagai golongan yang berfikiran liberal.

Perlu diingat, dalam majalah Time beberapa tahun lalu, Wolfowitz yang juga bekas Presiden Bank Dunia pernah menulis sebuah artikel yang menggambarkan Anwar sebagai seorang pemimpin yang berani dan akan memainkan peranan penting di pentas dunia.

Berdasarkan buku bertajuk Plan of Attack tulisan Bob Woodward, Wolfowitz yang berketurunan Yahudi Amerika merupakan dalang yang kuat mendesak Presiden George W. Bush membuat keputusan untuk menyerang Iraq pada 2003.

Wolfowitz juga tergolong dalam sebuah kumpulan yang saya anggap mirip pelobi Yahudi iaitu kelompok neo-conservative yang tujuannya adalah untuk memastikan dasar luar AS lebih mengutamakan kepentingan-kepentingan berkaitan kewujudan negara Israel selain daripada tujuan-tujuan lain.

Misi kumpulan neo-conservative ini adalah untuk memastikan abad ke-21 kekal sebagai abad kebesaran pihak Barat khususnya AS yang berhadapan dengan dua pencabar yang dianggap kuat iaitu kebangkitan dunia Islam dan China.

Pakar-pakar strategi Barat bimbang dengan kebangkitan dunia Islam selepas hancurnya ancaman komunisme yang dipelopori Kesatuan Soviet. Lambat-laun, kebangkitan gaya hidup Islam dikhuatiri akan mencabar gaya hidup masyarakat Barat. Fenomena Arab Spring yang melanda beberapa negara di rantau Asia Barat dan Afrika Utara merupakan sebahagian daripada agenda neo-conservative.

Mereka memperalatkan rakyat tempatan untuk menggulingkan pemerintah. Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, matlamat neo-conservative adalah untuk memastikan negara-negara yang disasarkan melaksanakan pentadbiran mengikut cara yang dikehendaki kumpulan tersebut, bukannya menjadikan negara-negara itu sebagai koloni.

Namun, kita lihat apa yang berlaku di Mesir selepas bekas Presidennya, Hosni Mubarak disingkirkan. Rakyat berdemonstrasi di sana sini. Keadaan di Libya masih tidak tenang dan beberapa negara Arab lain turut diserang kumpulan neo-conservative ini.

Isu kewujudan negara Israel menjadi salah satu punca perbalahan antara dunia Islam dan Barat. Individu seperti Wolfowitz pasti berusaha mencari kenalan-kenalan yang dapat ditonjolkan sebagai pemimpin Islam yang berkebolehan menerajui pemerintahan negara mereka.

Sekiranya perkara itu berlaku, dasar-dasar anti Israel seperti yang diamalkan oleh Malaysia dapat dikendurkan. Sebab itu Anwar pernah menyatakan beliau menyokong segala usaha menjaga keselamatan Israel ketika diwawancara Wall Street Journal awal tahun ini.

Banyak pihak menuduh Anwar sebagai ejen Israel dan mengaitkan beliau dengan dana-dana yang dibiayai penyangak mata wang berketurunan Yahudi, George Soros tetapi Anwar diam sahaja.

Saya bimbang pihak pembangkang bukan sekadar mahu menimba pengalaman Indonesia dari segi perjuangan politik tetapi mereka mahu membawa idea perjuangan ala reformasi ke negara kita.

Dari perspektif yang lebih luas, terdapat 'jari-jari halus' yang memainkan peranan mereka di sebalik tabir untuk memastikan pemimpin-pemimpin Islam liberal bersikap terbuka dan sesuai dengan strategi global mereka.

Wajarkah kita menerima secara bulat-bulat nilai kehidupan masyarakat di Indonesia?

ABDUL RAHIM: Tidak semua cara hidup di Indonesia boleh kita tiru. Saya tidak nafikan dalam bidang-bidang tertentu, mereka lebih maju daripada kita.

Namun, kita hendaklah memastikan sama ada nilai-nilai kehidupan di Indonesia itu sesuai dengan norma-norma yang dipegang rakyat Malaysia. Pakar dalam semua agama di negara ini perlu menyelidiki sama ada nilai-nilai yang ingin diimport itu halal atau haram.

Mungkin kita boleh mencontohi kejayaan Indonesia membentuk identitinya sebagai sebuah negara bangsa. Saya akui Indonesia lebih maju di hadapan berbanding kita dalam hal ini. Mereka bangga dengan gelaran bangsa Indonesia.

Kalau kita hendak ikut cara mereka, kita mesti ada komitmen dan kemahuan politik yang kuat supaya dapat diterjemahkan dari segi pelaksanaan.

Kita boleh timba pengalaman mereka mempraktikkan segala kata-kata yang dilafazkan dalam Sumpah Pemuda yang diikrarkan pada 1928.

Rakyat Indonesia berpegang teguh kepada tiga tekad yang terkandung dalam Sumpah Pemuda iaitu kesetiaan kepada negara Indonesia, bersatu sebagai bangsa Indonesia dan menjunjung bahasa Indonesia.

Segelintir pemimpin dalam pakatan pembangkang gemar memburuk-burukkan kerajaan semasa mereka di Indonesia. Komen Tan Sri?

ABDUL RAHIM: Saya hairan apabila melihat keghairahan pihak-pihak tertentu di negara ini yang asyik memuji kelebihan Indonesia dan pada masa yang sama menunjukkan sikap bodoh mereka memperlekeh-lekehkan negara sendiri. Kononnya, negara kita jauh ketinggalan berbanding Indonesia.

Ada pemimpin politik Malaysia yang gemar terpekik, terlolong mengatakan negara kita mundur semasa mereka berada di Indonesia. Saya tidak faham dengan sikap mereka ini. Sepatutnya mereka mempertahankan gaya hidup kita yang berbeza dengan Indonesia kerana sejarah kita berlainan.

Saya pernah terbaca laporan akhbar tentang Mitt Romney semasa beliau melawat London beberapa hari sebelum temasya sukan Olimpik 2012 berlangsung.

Pada masa itu, kempen pilihan raya Presiden AS sedang hangat dan Romney merupakan calon yang mencabar Barack Obama untuk jawatan itu. Ketika wartawan-wartawan di London menanyakan soalan-soalan tentang suasana politik di AS yang bersifat peribadi, Romney menjawab, apabila berada di luar negara, beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan maruah, nama baik atau membawa keburukan terhadap negaranya dan musuh politiknya.

Lain pula dengan pihak pembangkang di negara ini. Mereka lebih gemar memburuk-burukkan negara sendiri semata-mata untuk memuaskan hati hadirin yang mendengar ceramah mereka di Indonesia

Setelah Tan Sri menerangkan secara panjang lebar, sebagai kesimpulan, mungkin Tan Sri ada nasihat yang ingin disampaikan kepada golongan yang taksub dengan nilai moral dari negara lain.

ABDUL RAHIM: Saya berpendapat mana-mana pihak tidak seharusnya menonjolkan atau mempromosi gaya hidup dari negara-negara lain yang asing dengan budaya kita semata-mata untuk mendapatkan pengaruh dan kepentingan politik.

Teman-teman saya dalam bidang risikan di Indonesia dahulu sering bertanya, bagaimana Malaysia yang rakyatnya berbilang agama, bangsa dan budaya ini boleh hidup dalam keadaan aman damai dan menempa kemajuan yang pesat tahun demi tahun.

Soalan itu mengingatkan kita agar sentiasa insaf dengan segala kelebihan yang dimiliki. Setelah 55 tahun merdeka, negara kita sebenarnya sangat kaya dengan pengalaman-pengalaman yang positif.

9 comments:

  1. ....kenyataan dari bekas Ketua Polis Negara, TS Rahim Noor ini bukan calang-calang ulasan yg boleh dipersoalkan kerana ia datang dari seorang pakar yg memang tugasnya memantau keselamatan negara...setiap apa yg diperkatakan mengenai hubungan Anwar dan pemimpin pembangkang post era Suharto seperti Gus Dur dan Amien Rais itu sewajarnya perlu diambil kira sewajarnya..tambah lagi dgn Habibie juga tumpang sekaki dalam soal hubungan ini....saya kira persoalan keseluruhannya ialah wajarkah Anwar diberi tempat dalam kepimpinan negara sekarang...? sewajarnya juga jawapannya ialah TIDAK...kesan daripada penilaian dan analisis TS Rahim itu menggambarkan betapa kelibat Anwar ini jika diberi peranan memimpin Malaysia boleh diibaratkan sebagai 'lembu kena cucuk hidung' oleh Yahudi, US dan sekutunya...sewajarnya juga penilain ini mengambil kira apa yg sebelum ini jarang diperbahaskan dan dijawap oleh Anwar sendiri tetapi sebaliknya penafian dan kutukan kepada mereka yg mempersoalkan latar belakang politiknya yg ada sekarang...jika perkara ini berterusan...nampak gayanya musnahlah negara ini dan rakyatnya...terutama yg bernama Melayu...akibat terlalu taksub dgn gaya kehebatan Anwar...

    saya hairan memikirkan betapa ramai juga pemimpin muda Melayu yg terpesona dgn gelagat dan idea Anwar yg sewajarnya tau akibat pengakhirannya jika berterusan menyokongnya...tambah-tambah lagi kalau ditakdirkan tuhan Anwar jadi PM..a'uzubillah-minzaliq....semoga dijauhkan bala ini....

    ...dalam soal ini sebaik pecahnya artikal Zam mengenai hubungn Habibie dan Anwar..yg saya jangkakan byk yg tidak menyangkakan juga betapa seriusnya fenomena hubungan ini terutamanya yg bersangkutan dgn kepimpinan Melayu di negara ini....hanya yg boleh membuka pekung kekeliruan mengenai penghapusan kepimpinan Melayu secara halus itu adalah orang-orang seperti TS Rahim Noor sahaja....dengar lah cakap orang ini...pedulikan walau dia pernah dipenjara kerana 'mengajar' Anwar yg 'biadap dan berangai macam hantu' tetapi hanya itu cara mempertahankan maruahnya dan pasukan polis negara ini....mereka yg faham tentu aja berpuashati dgn tindakan itu manakala yg anggap seolah 'melampaui batas' sanggup terlompat-lompat macam monyet dihutan semata-mata kerana tak sngka ada yg sanggup beri 'penumbuk sulung' pada Anwar...saya kira ramai yg amat mnyokong tindakan TS Rahim Noor ketika itu dan hingga kini masih menganggap beliau adalah hero sebenar dalam kes Anwar ini....alhamdullillah...memang TS Rahim Noor adalah antara juara Melayu yg wajar disanjung di Malaysia....

    ReplyDelete
  2. FUCK YOU ALL...!!!

    ReplyDelete
  3. Ayat-ayat terakhir Rahim Noor sarat falsafah.

    Mat, Gombak

    ReplyDelete
  4. entah buaya entah katak...

    ReplyDelete
  5. Rimau agaknya. Kalau tidak tak kan Anwar lari tengok TS Rahim. Dengar suara TS Rahim saja Anwar dah terkentut-kentut.

    ReplyDelete
  6. Sudah seharusnya kedua negara saling hormat menghormati dan harga menghargai. Kedepan malaysia akan sangat bergantung pada Indonesia. Dengan kekuatan ekononomi dan Industrinya yang besar, Indonesia sekarang tergabung dalam kelompok (group) negara negara ekonomi&industri maju yaitu G20 bersama US,UK,Germany,France Brasil,Rusia,China,etc. Dengan ekonomi rakyatnya yang bertambah kuat tersebut maka Militer Indonesia juga semakin bertambah kuat/ besar dan semakin bertambah modern/ up date peralatannya. Dengan ekonomi yang kuat serta jumlah rakyatnya yang ratusan juta manusia maka Indonesia akan menjadi kekuatan regional yang besar.

    ReplyDelete
  7. Saya berdoa bagi kesejahteraan dan kemakmuran bangsa dan negara Indonesia supaya kita dapat berkongsi kemakmuran bersdama.

    ReplyDelete
  8. Harusnya pak Abdul Rahim Noor lebih rapat dengan pak BJ Habibie,karena susurgalurnya sama-sama dari Sulawesi. Pengetahuan bapak tentang Indonesia, ok lah. Tapi pemahaman bapak tentang Amien Rais harus di update lagi. Pak Amien adalah Prof Dr dari UGM (Universiti Gadjah Mada) dan mantan Ketua Umum Muhammadiyah, organisasi Islam modern terbesar kedua setelah NU.

    ReplyDelete
  9. Admin

    Saya sudah marah dan bosa dengan Ulah si Zam dan wajahnya ini dengan anggotanya.
    Tunggu saja kejutan dari saya dan team

    INDONESIAN HACKER TEAM.

    ReplyDelete